Communicable disease

Kenyataan Akhbar KPK 23 Disember 2021 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia

SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT

CORONAVIRUS 2019 (COVID-19) DAN BENCANA BANJIR DI MALAYSIA

23 DISEMBER 2021

1. SITUASI SEMASA COVID-19

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan status terkini kes COVID-19 di Malaysia sehingga 23 Disember 2021 (jam 12:00 tengah hari);

  • Kes sembuh : 4,998 kes (2,652,585 kes kumulatif, 97.1%);
  • Kes baharu : 3,510 kes (2,731,713 kes kumulatif);
  • Kes import : 95 kes (80 warganegara; 15 bukan warganegara);
  • Kes tempatan : 3,415 kes [3,255 warganegara (95.3%); 160 bukan warganegara (4.7%)];
  • Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU): 329 kes (255 kes disahkan COVID-19; 74 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan);
  • Kes memerlukan bantuan pernafasan: 179 kes (121 kes disahkan COVID-19; 58 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan);
  • Jumlah kluster : 6,094 kluster;
  • Jumlah kluster baharu : 6 kluster;
  • Jumlah kluster yang telah tamat : 5,863 kluster; dan
  • Jumlah kluster aktif : 231 kluster.

Daripada 3,510 kes harian yang dilaporkan pada hari ini;

  • 59 kes (1.7 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; dan
  • 3,451 kes (98.3 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Perincian nilai RT mengikut negeri adalah seperti di Lampiran 1 yang disertakan bersama kenyataan media ini. Manakala, maklumat terperinci lain berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan COVID-19 di Malaysia akan dimuatnaik ke laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my. Data akan dikemaskini pada jam 12:00 tengah malam setiap hari.

JADUAL 1: NILAI RT MENGIKUT NEGERI

BERDASARKAN KES YANG DILAPORKAN

PADA 22 DISEMBER 2021

NEGERINILAI RT
TERENGGANU0.99
JOHOR0.98
WP KUALA LUMPUR0.95
PERAK0.94
PULAU PINANG0.93
WP PUTRAJAYA 0.93
MELAKA0.92
PAHANG0.91
SELANGOR0.91
NEGERI SEMBILAN0.90
WP LABUAN0.89
KELANTAN0.88
PERLIS0.87
KEDAH0.87
SABAH0.83
SARAWAK0.76
MALAYSIA0.91

2. SITUASI SEMASA BENCANA BANJIR

Sehingga jam 3 petang 23 Disember 2021, KKM juga ingin memaklumkan:

  • Jumlah Pusat Perpindahan Sementara (PPS) yang masih beroperasi : 384 PPS;
  • Jumlah negeri dilanda banjir : Tujuh (7) negeri iaitu Kelantan, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Perak, WP Kuala Lumpur, dan Melaka;
  • Jumlah keseluruhan mangsa terjejas banjir : 61,264 orang;
  • Kes positif COVID-19 dalam kalangan mangsa banjir : 390 kes; dan
  • Kes baharu positif COVID-19 dikesan di PPS : Tiada.

Pada 23 Disember 2021, sebanyak 180 kes penyakit berjangkit yang dikesan dalam kalangan mangsa banjir. Bilangan kes yang dilaporkan adalah seperti dalam Jadual 2:

Penyakit BerjangkitBilangan Kes
Jangkitan Saluran Pernafasan Akut (ARI)80
Penyakit Kulit57
Acute Gastroenteritis (AGE)42
Konjunktivitis1
Jumlah180
Jadual 2 : Pecahan  kes penyakit berjangkit yang melibatkan mangsa banjir pada 23 Disember 2021

PERKEMBANGAN SEMASA KANAK-KANAK YANG DITEMUI LEMAH DI TAMAN SRI MUDA, SHAH ALAM

KKM ingin memaklumkan bahawa seorang kanak-kanak berumur 1 tahun 11 bulan telah ditemui lemah di Taman Sri Muda, Shah Alam pada 22 Disember 2021. Kejadian bermula dengan abang (berumur 15 tahun) dan kakak (berumur 8 tahun) kepada kanak-kanak tersebut mengalami gejala muntah-muntah pada 21 Disember 2021 dan telah mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar.

Pada 22 Disember 2021, kanak-kanak tersebut mulai muntah pada jam 8.30 malam, kemudian kelihatan letih dan kurang aktif. Ayahnya telah menghubungi 999 pada jam 10.00 malam untuk meminta bantuan kecemasan, seterusnya mereka sekeluarga telah dibawa ke klinik medan KKM di Taman Sri Muda pada jam 10.30 malam pada hari yang sama. Kanak-kanak tersebut kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang bagi rawatan susulan, manakala abang dan kakaknya diberi rawatan pesakit luar di klinik medan KKM dan dibenarkan pulang ke pangkuan keluarga.

Pada mulanya, kanak-kanak tersebut diletakkan di triage merah kerana mengalami dehidrasi 5%. Walau bagaimanapun, memandangkan bacaan utama tahap kesihatan secara keseluruhan adalah memuaskan, beliau kemudiannya telah dipindahkan ke Zon Kuning dan telah diberikan rawatan cecair intravena (IV). Disebabkan kanak-kanak tersebut menunjukkan respons yang positif dan semakin pulih, dia seterusnya diberikan rawatan lanjut sebagai pesakit dalam di wad kanak-kanak Kompleks Ibu dan Bayi (KRIBA) HTAR. Diagnosa definitif adalah Acute Gastroenteritis (AGE) with 5% Dehydration.

Hasil siasatan mendapati, kejadian AGE dalam keluarga ini berpunca daripada bahan mentah makanan yang rosak dan faktor kebersihan yang terjejas akibat banjir. KKM ingin memaklumkan bahawa tiada isu kelewatan respon kesihatan yang berlaku berkaitan isu ini.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN PANDEMIK COVID-19 DAN BENCANA BANJIR

KKM ingin menasihatkan orang ramai supaya:

  1. Memaklumkan status risiko COVID-19 kepada anggota      penyelamat sekiranya disahkan positif COVID-19 atau      dikenal pasti sebagai kontak rapat agar tindakan         sewajarnya dapat diambil semasa proses pemindahan    dan penyelamatan.
  2. Sentiasa patuh kepada SOP dan amalan norma baharu semasa proses pemindahan dan sepanjang tempoh berada di PPS;
  3. Elakkan 3S: (elakkan kawasan yang sesak, sempit, dan sembang dengan jarak yang dekat);
  4. Amalkan 3W: (Amalkan Wash, Wear dan Warn); dan
  5. Sentiasa memakai pelitup muka di kawasan awam yang tertutup. Pemakaian pelitup muka berganda adalah digalakkan.
  6. Elakkan dari berkumpul beramai-ramai dalam kalangan       mangsa banjir semasa berada di PPS.
  7. Memakai pelindung diri semasa operasi memindahkan mangsa banjir dan sewaktu melakukan proses-proses       pembersihan pasca banjir.
  8. Pastikan kebersihan diri terjaga dengan segera membersihkan badan yang terkena air banjir dengan air bersih dan amalkan mencuci tangan menggunakan cecair pembasmi kuman atau sabun terutamanya apabila pergi ke tempat menjadi gunasama seperti tandas.
  9. Elakkan diri daripada bermain atau meredah air banjir.
  10. Sentiasa menjaga kebersihan kawasan PPS untuk       mengelakkan daripada penyakit bawaan vektor.
  11. Elakkan daripada minum air dan makan makanan         yang sudah tercemar. Lihat, hidu dan rasa makanan sebelum memakan makanan bagi mengelakkan memakan makanan yang sudah basi.
  12. Sekiranya bergejala, segera dapatkan rawatan di klinik atau hospital yang berhampiran terutamanya bagi individu yang berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak, wanita hamil dan juga individu yang mempunyai komorbiditi.
  13. Petugas perubatan di semua fasiliti kesihatan perlu lebih berwaspada akan gejala-gejala penyakit yang sering dikaitkan dengan kejadian banjir seperti yang disebutkan di atas, seterusnya melakukan pemeriksaan yang sepatutnya agar rawatan segera dapat diberikan.

KKM akan sentiasa memantau dan menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan sebaik-baiknya agar penyakit berjangkit akibat bencana banjir terutamanya COVID-19 dapat dibendung. Untuk maklumat lebih lanjut dan kemaskini mengenai info bencana banjir, sila layari laman web:

https://infobencanajkmv2.jkm.gov.my/portal/index

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

23 Disember 2021 @ 6:30 petang