Communicable disease

Kenyataan Akhbar KPK 24 Disember 2021 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia

SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT

CORONAVIRUS 2019 (COVID-19) DAN BENCANA BANJIR DI MALAYSIA

24 DISEMBER 2021

1. SITUASI SEMASA COVID-19

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan status terkini kes COVID-19 di Malaysia sehingga 24 Disember 2021 (jam 12:00 tengah hari);

  • Kes sembuh : 4,489 kes (2,657,074 kes kumulatif, 97.1%);
  • Kes baharu : 3,528 kes (2,735,241 kes kumulatif);
  • Kes import : 103 kes (90 warganegara; 13 bukan warganegara);
  • Kes tempatan : 3,425 kes [3,247 warganegara (94.8%); 178 bukan warganegara (5.2%)];
  • Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU): 339 kes (261 kes disahkan COVID-19; 78 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan);
  • Kes memerlukan bantuan pernafasan: 180 kes (117 kes disahkan COVID-19; 63 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan);
  • Jumlah kluster : 6,098 kluster;
  • Jumlah kluster baharu : 4 kluster;
  • Jumlah kluster yang telah tamat : 5,869 kluster; dan
  • Jumlah kluster aktif : 229 kluster.

Daripada 3,528 kes harian yang dilaporkan pada hari ini;

  • 66 kes (1.9 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; dan
  • 3,462 kes (98.1 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Perincian nilai RT mengikut negeri adalah seperti di Lampiran 1 yang disertakan bersama kenyataan media ini. Manakala, maklumat terperinci lain berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan COVID-19 di Malaysia akan dimuatnaik ke laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my. Data akan dikemaskini pada jam 12:00 tengah malam setiap hari.

JADUAL 1: NILAI RT MENGIKUT NEGERI

BERDASARKAN KES YANG DILAPORKAN

PADA 23 DISEMBER 2021

NEGERINILAI RT
TERENGGANU0.99
JOHOR0.96
WP KUALA LUMPUR0.94
PERAK0.94
PULAU PINANG0.94
WP PUTRAJAYA 0.94
SELANGOR0.90
NEGERI SEMBILAN0.89
PAHANG0.88
KELANTAN0.88
PERLIS0.88
KEDAH0.87
MELAKA0.85
WP LABUAN0.85
SABAH0.82
SARAWAK0.74
MALAYSIA0.90

2. SITUASI SEMASA BENCANA BANJIR

Sehingga jam 3 petang 24 Disember 2021, KKM juga ingin memaklumkan:

  • Jumlah Pusat Perpindahan Sementara (PPS) yang masih beroperasi – 363 PPS;
  • Jumlah negeri dilanda banjir – Tujuh (7) (Kelantan, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Perak, WP Kuala Lumpur, dan Melaka);
  • Jumlah keseluruhan mangsa terjejas banjir – 53,696 orang;
  • Kes positif COVID-19 dalam kalangan mangsa banjir – 405 kes; dan
  • Kes positif COVID-19 di PPS: Tiada.

Pada 24 Disember 2021, sebanyak 324 kes penyakit berjangkit yang dikesan dalam kalangan mangsa banjir. Bilangan kes yang dilaporkan adalah seperti berikut:

  • Jangkitan Saluran Pernafasan Akut (ARI) : 148 kes
  • Penyakit Kulit : 93 kes
  • Acute Gastroenteritis (AGE) : 75 kes
  • Konjunktivitis : 8 kes

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN PANDEMIK COVID-19 DAN BENCANA BANJIR

KKM ingin menasihatkan orang ramai supaya:

  1. Memaklumkan status risiko COVID-19 kepada anggota penyelamat sekiranya disahkan positif COVID-19 atau dikenal pasti sebagai kontak rapat agar tindakan sewajarnya dapat diambil semasa proses pemindahan dan penyelamatan;
  2. Sentiasa patuh kepada SOP dan amalan norma baharu semasa proses pemindahan dan sepanjang tempoh berada di PPS;
  3. Elakkan 3S: (elakkan kawasan yang sesak, sempit,  dan sembang dengan jarak yang dekat);
  4. Amalkan 3W: (Amalkan Wash, Wear dan Warn); dan
  5. Sentiasa memakai pelitup muka di kawasan awam yang tertutup. Pemakaian pelitup muka berganda adalah digalakkan.
  6. Elakkan dari berkumpul beramai-ramai dalam kalangan mangsa banjir semasa berada di PPS
  7. Memakai pelindung diri semasa operasi memindahkan mangsa banjir dan sewaktu melakukan proses-proses pembersihan pasca banjir;
  8. Pastikan kebersihan diri terjaga dengan segera membersihkan badan yang terkena air banjir dengan air bersih dan amalkan mencuci tangan menggunakan cecair pembasmi kuman atau sabun terutamanya apabila pergi ke tempat menjadi gunasama seperti tandas;
  9. Elakkan diri daripada bermain atau meredah air banjir;
  10. Sentiasa menjaga kebersihan kawasan PPS untuk mengelakkan daripada penyakit bawaan vektor;
  11. Elakkan daripada minum air dan makan makanan yang sudah tercemar;
  12. Sekiranya bergejala, segera dapatkan rawatan di klinik atau hospital yang berhampiran terutamanya bagi individu yang berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak, wanita hamil dan juga individu yang mempunyai komorbiditi; dan
  13. Petugas perubatan di semua fasiliti kesihatan perlu lebih berwaspada akan gejala-gejala penyakit yang sering dikaitkan dengan kejadian banjir seperti yang disebutkan di atas, seterusnya melakukan pemeriksaan yang sepatutnya agar rawatan segera dapat diberikan.

KKM akan sentiasa memantau dan menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan sebaik-baiknya agar penyakit berjangkit akibat bencana banjir terutamanya COVID-19 dapat dibendung. Untuk maklumat lebih lanjut dan kemaskini mengenai info bencana banjir, sila layari laman sesawang  https://infobencanajkmv2.jkm.gov.my/portal/index

NASIHAT PENJAGAAN KESIHATAN KETIKA MENYAMBUT PERAYAAN HARI NATAL SEWAKTU PANDEMIK COVID-19

KKM ingin mengucapkan Selamat Hari Natal kepada semua warga Malaysia yang menyambut perayaan ini, terutamanya buat kakitangan KKM. Semenjak COVID-19 melanda negara ini, masyarakat telah pun menyambut perayaan masing-masing dengan norma baharu. Justeru, KKM ingin mengingatkan keluarga Malaysia yang menyambut perayaan ini supaya sentiasa patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah digariskan kerana pada hakikatnya, kita masih lagi berjuang untuk melawan COVID-19.

Sejajar dengan perkembangan teknologi komunikasi terkini, keluarga Malaysia digalakkan untuk memanfaatkan panggilan video sebagai gantian amalan ziarah menziarahi. Sekiranya masih lagi merancang untuk berkumpul secara fizikal atau berkunjung untuk sambutan Krismas, lakukan TRIIS (Trace, Report, Isolate, Inform dan Seek) terlebih dahulu sebelum menghadiri sambutan tersebut.

Jagalah penjarakan fizikal dan pakai pelitup muka sepanjang masa kecuali ketika menjamu selera. Elakkan berkongsi perkakas makanan dan minuman. Kerapkan mencuci tangan dengan sabun atau hand sanitizer, dan elakkan dari menyentuh mata, hidung dan mulut.

Sebaiknya, hadkan bilangan orang yang hadir ke perkumpulan keluarga. Ahli keluarga yang tidak sihat dinasihatkan untuk mengelak bercampur gaul bersama ahli keluarga yang sihat. Tempoh masa perkumpulan juga seeloknya dihadkan. Untuk memastikan pengudaraan yang lebih baik, tingkap dan pintu seharusnya dibiarkan terbuka agar pergerakan udara adalah lebih bebas. Jika boleh adakan sambutan tersebut di kawasan luar rumah. Selain itu, elakkan juga dari bersembang secara dekat dan lama ketika sedang berkumpul.

Bagi individu yang dikategorikan sebagai kontak rapat ataupun positif COVID-19, KKM ingin menegaskan bahawa anda perlu disiplin dalam menjalankan kuarantin. Ini bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19 dan secara tidak langsung dapat melindungi warga tua serta kumpulan-kumpulan rentan daripada dijangkiti COVID-19.

Dengan pematuhan kepada nasihat yang digariskan di atas, anda masih boleh menyambut perayaan ini di samping keluarga tercinta, namun dengan cermat dan selamat. Bagi yang berada di jalan raya sepanjang musim perayaan dan cuti sekolah ini, berhati-hati di jalan raya. Ingatlah kepada orang yang anda sayang.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

24 Disember 2021 @ 6:30 petang