SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT
CORONAVIRUS 2019 (COVID-19) DAN BENCANA BANJIR DI MALAYSIA
27 DISEMBER 2021
SITUASI SEMASA COVID-19
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan status terkini kes COVID-19 di Malaysia sehingga 27 Disember 2021 (jam 12:00 tengah hari);
- Kes sembuh :4,620 kes (2,669,654 kes kumulatif, 97.3%);
- Kes baharu : 2,757 kes (2,743,936 kes kumulatif);
- Kes import : 163 kes (151 warganegara; 12 bukan warganegara);
- Kes tempatan : 2,594 kes [2,502 warganegara (96.5%); 92 bukan warganegara (3.5%)];
- Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU): 297 kes (247 kes disahkan COVID-19; 50 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan);
- Kes memerlukan bantuan pernafasan: 169 kes (96 kes disahkan COVID-19; 73 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan);
- Jumlah kluster : 6,110 kluster;
- Jumlah kluster baharu : 7 kluster;
- Jumlah kluster yang telah tamat : 5,887 kluster; dan
- Jumlah kluster aktif : 223 kluster.
Daripada 2,757 kes harian yang dilaporkan pada hari ini;
- 40 kes (1.5 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; dan
- 2,717 kes (98.5 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.
Perincian nilai RT mengikut negeri adalah seperti di Jadual 1 yang disertakan bersama kenyataan media ini. Manakala, maklumat terperinci lain berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan COVID-19 di Malaysia akan dimuatnaik ke laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my. Data akan dikemaskini pada jam 12:00 tengah malam setiap hari.
JADUAL 1: NILAI RT MENGIKUT NEGERI
BERDASARKAN KES YANG DILAPORKAN
PADA 26 DISEMBER 2021
NEGERI | NILAI RT |
TERENGGANU | 1.01 |
JOHOR | 0.97 |
PULAU PINANG | 0.95 |
WP PUTRAJAYA | 0.94 |
PERAK | 0.93 |
KELANTAN | 0.93 |
KEDAH | 0.91 |
PERLIS | 0.91 |
WP KUALA LUMPUR | 0.90 |
SELANGOR | 0.90 |
NEGERI SEMBILAN | 0.90 |
MELAKA | 0.87 |
PAHANG | 0.86 |
SABAH | 0.82 |
WP LABUAN | 0.72 |
SARAWAK | 0.72 |
MALAYSIA | 0.90 |
ANALISA SITUASI SEMASA JANGKITAN COVID-19 DI MALAYSIA (MINGGU EPIDEMIOLOGI KE-51)
Sehingga 25 Disember 2021 [Minggu Epidemiologi (ME) ke-51], sebanyak 2,738,401 kes kumulatif COVID-19 telah dilaporkan dengan 45,591 kes aktif dan 31,315 kes kumulatif kematian. Penurunan nilai Rt/Ro Malaysia mulai 6 Disember 2021 juga selari dengan penurunan semua indikator utama jangkitan COVID-19 pada ME ke-51.
1. Indikator-Indikator Jangkitan COVID-19
Pada ME ke-51 iaitu daripada 19 Disember 2021 sehingga 25 Disember 2021;
- Penurunan kes baharu sebanyak 18.6 peratus iaitu daripada 27,698 kes (ME ke-50) kepada 22,554 kes (ME ke-51). Tren penurunan kes ini dicatatkan sejak lima (5) minggu lepas mulai ME ke-46.
- Purata kes aktif turut mencatatkan penurunan sebanyak 13 peratus dengan purata 48,218 kes pada ME ke-51. Penurunan ini telah diperhatikan semenjak empat (4) minggu yang lalu.
- Kes kematian meningkat sebanyak 15.2 peratus dengan 242 kematian pada ME ke-51 berbanding 211 kematian pada ME ke-50. Peningkatan ini berlaku pada ME ke-51 setelah penurunan kes kematian dicatatkan selama tujuh (7) minggu berturut-turut pada ME ke-43 sehingga ME ke-50.
- Purata kes yang memerlukan rawatan di ICU menunjukkan penurunan sebanyak 12 peratus iaitu 316 kes (ME ke-50) kepada 277 kes (ME ke-51).
- Purata kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan turut menunjukkan penurunan 10.6 peratus iaitu dari 140 kes (ME ke-50) ke 125 kes (ME ke-51).
- Nilai Rt menurun sebanyak 0.64 peratus kepada 0.88 (95% CI 0.87 – 0.89) dan penurunan ini dicatat semenjak 6 Disember 2021.
Berdasarkan Rajah 1, penggunaan ICU untuk kes COVID-19 jelas mencatatkan penurunan berturut-turut mulai tujuh (7) minggu yang lepas iaitu (ME ke-44).
Selain itu, tren penurunan penggunaan ventilator untuk kes COVID-19 juga dapat dilihat dengan ketara mulai 19 minggu lepas iaitu ME ke-32 berdasarkan Rajah 2.
Walaupun terdapat penurunan kes pada penggunaan katil ICU dan ventilator, kes kematian menunjukkan peningkatan pada ME ke-51 berbanding ME ke-50 sebanyak 15.2 peratus. Berdasarkan data dalam laman sesawang COVIDNOW, kes kematian dicatatkan semakin tinggi dalam kalangan warga emas. Walaupun kebanyakan warga emas di Malaysia telah lengkap divaksinasi, namun kajian menunjukkan kadar keberkesanan vaksinasi akan menurun selepas beberapa bulan. Oleh yang demikian, KKM ingin menasihatkan agar keluarga Malaysia terutamanya warga emas (atau penjaga) supaya sentiasa cakna akan temujanji dos penggalak melalui aplikasi MySejahtera ataupun pesanan ringkas di telefon bimbit masing-masing. Alternatif lain termasuklah walk-in ke klinik berdekatan yang menawarkan khidmat pemberian dos penggalak. Semak klinik berdekatan anda di: https://vaksincovid.protecthealth.com.my/find
2. Kluster
Sehingga 25 Disember 2021, terdapat kumulatif 6,101 kluster telah dilaporkan dan 223 kluster aktif (penurunan sebanyak 11.5 peratus berbanding ME ke-50). Selain itu, sebanyak 53 kluster telah diisytiharkan tamat pada ME ke-51, menunjukkan peningkatan sebanyak 32.5% berbanding ME ke-50. Sebanyak 24 kluster telah dilaporkan pada ME ke-51 yang terdiri daripada (Jadual 2);
- Lapan (8) kluster tempat kerja;
- Lima (5) kluster komuniti;
- Empat (4) kluster pusat pendidikan;
- Tiga (3) kluster kumpulan berisiko tinggi;
- Dua (2) kluster aktiviti keagamaan;
- Satu (1) kluster pusat tahanan; dan
- Satu (1) kluster import.
Berdasarkan Jadual 2, terdapat peningkatan kepada kluster keagamaan dan pusat tahanan serta penurunan kesemua kategori kluster yang lain pada ME ke-51. Walau bagaimanapun, KKM berharap agar keluarga Malaysia dapat terus cakna dalam pematuhan SOP dan meningkatkan tindakan kesihatan kendiri (TRIIS) agar tiada lagi berlaku peningkatan pada kesemua kategori kluster. Penyertaan aktiviti dan perhimpunan sosial sememangnya boleh meningkatkan risiko jangkitan COVID-19. Oleh itu, KKM ingin mengingatkan sekali lagi bagi yang masih belum mendapatkan vaksin COVID-19 supaya segera mendaftar agar anda dan keluarga dilindungi daripada virus merbahaya ini justeru dapat mengelakkan penularan virus COVID-19 dalam kalangan masyarakat.
Rajah 3 menunjukkan penurunan kluster aktif yang dicatatkan selama 17 minggu berturut-turut (ME ke-34) dengan sedikit peningkatan jumlah kluster aktif pada ME ke-49. Jumlah kluster aktif pada ME ke-51.
3. Kapasiti Hospital
Kadar penggunaan fasiliti kesihatan seperti katil bukan ICU, katil ICU dan katil di PKRC didapati menurun pada ME ke-51. Penggunaan katil di PKRC mencatatkan penurunan sebanyak lima (5) peratus, penggunaan katil bukan ICU di hospital menurun sebanyak empat (4) peratus dan penggunaan katil ICU menurun sebanyak tiga (3) peratus berbanding ME ke-50 seperti yang digambarkan pada Jadual 3.
Terkini, KKM telah mewujudkan satu ciri baharu dalam aplikasi MySejahtera iaitu ‘MySJ Trace’ bagi mempermudahkan proses pengesanan kontak dibuat. Ciri yang menggunakan sistem Bluetooth ini akan memberi maklumat secara langsung mengenai bilangan interaksi dengan pengguna lain yang turut mengaktifkan ciri baharu berkenaan. Pengguna boleh menghantar data interaksi sekiranya disahkan positif COVID-19 dalam aplikasi tersebut dan semua data interaksi tidak akan didedahkan.
KKM akan terus menambah baik sistem yang sedia ada dari semasa ke semasa serta memantau dan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dapat dilaksanakan secara berterusan.
SITUASI SEMASA BENCANA BANJIR
Sehingga jam 3 petang 27 Disember 2021, KKM juga ingin memaklumkan:
- Jumlah Pusat Perpindahan Sementara (PPS) yang masih beroperasi – 159 PPS;
- Jumlah negeri dilanda banjir – Lima (5) (Kelantan, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka);
- Jumlah keseluruhan mangsa terjejas banjir – 23,807 orang;
- Kes positif COVID-19 dalam kalangan mangsa banjir – 429 kes; dan
- Kes positif COVID-19 di PPS – 11 kes.
KKM ingin memaklumkan satu (1) kluster komuniti pertama melibatkan penularan COVID-19 dalam kalangan mangsa banjir di sebuah PPS di daerah Bentong, Pahang telah dilaporkan pada 27 Disember 2021. Kes indeks bagi Kluster Karak Setia ini merupakan seorang perempuan warganegara Malaysia yang dikesan positif pada 19 Disember 2021 melalui saringan individu bergejala bergejala. Kes mula bergejala demam, batuk, selesema, dan hilang deria bau sejak 18 Disember 2021. Sehingga 27 Disember 2021 jam 12 tengah hari, seramai 104 individu telah disaring dalam kluster ini. Pecahan saringan bagi kluster ini adalah seperti berikut:
- 10 kes dikesan positif COVID-19 (8 kes baharu dilaporkan); dan
- 94 individu negatif COVID-19.
Punca penularan disyaki pergaulan dalam kalangan mangsa banjir di pusat penempatan tersebut. Kesemua kes positif dan kontak rapat telah diasingkan daripada mangsa banjir yang lain.
Pada 27 Disember 2021, sebanyak 99 kes penyakit berjangkit yang dikesan dalam kalangan mangsa banjir. Bilangan kes yang dilaporkan adalah seperti dalam Jadual 4:
NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN PANDEMIK COVID-19 DAN BENCANA BANJIR
KKM ingin menasihatkan orang ramai supaya:
- Memaklumkan status risiko COVID-19 kepada anggota penyelamat sekiranya disahkan positif COVID-19 atau dikenal pasti sebagai kontak rapat agar tindakan sewajarnya dapat diambil semasa proses pemindahan dan penyelamatan;
- Sentiasa patuh kepada SOP dan amalan norma baharu semasa proses pemindahan dan sepanjang tempoh berada di PPS;
- Elakkan 3S: (elakkan kawasan yang sesak, sempit, dan sembang dengan jarak yang dekat);
- Amalkan 3W: (Amalkan Wash, Wear dan Warn);
- Sentiasa memakai pelitup muka di kawasan awam yang tertutup. Pemakaian pelitup muka berganda adalah digalakkan.
- Elakkan dari berkumpul beramai-ramai dalam kalangan mangsa banjir semasa berada di PPS;
- Memakai pelindung diri semasa operasi memindahkan mangsa banjir dan sewaktu melakukan proses-proses pembersihan pasca banjir;
- Pastikan kebersihan diri terjaga dengan segera membersihkan badan yang terkena air banjir dengan air bersih dan amalkan mencuci tangan menggunakan cecair pembasmi kuman atau sabun terutamanya apabila pergi ke tempat menjadi gunasama seperti tandas;
- Elakkan diri daripada bermain atau meredah air banjir;
- Sentiasa menjaga kebersihan kawasan PPS untuk mengelakkan daripada penyakit bawaan vektor;
- Elakkan daripada minum air dan makan makanan yang sudah tercemar;
- Sekiranya bergejala, segera dapatkan rawatan di klinik atau hospital yang berhampiran terutamanya bagi individu yang berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak, wanita hamil, dan juga individu yang mempunyai komorbiditi; dan
- Petugas perubatan di semua fasiliti kesihatan perlu lebih berwaspada akan gejala-gejala penyakit yang sering dikaitkan dengan kejadian banjir seperti yang disebutkan di atas, seterusnya melakukan pemeriksaan yang sepatutnya agar rawatan segera dapat diberikan.
KKM akan sentiasa memantau dan menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan sebaik-baiknya agar penyakit berjangkit akibat bencana banjir terutamanya COVID-19 dapat dibendung. Untuk maklumat lebih lanjut dan kemaskini mengenai info bencana banjir, sila layari laman sesawang https://infobencanajkmv2.jkm.gov.my/portal/index
NASIHAT PENJAGAAN KESIHATAN KETIKA KUNJUNG MENGUNJUNGI SEMASA PANDEMIK COVID-19
Sejajar dengan perkembangan teknologi komunikasi terkini, keluarga Malaysia digalakkan untuk memanfaatkan panggilan video sebagai gantian amalan ziarah menziarahi.
Sekiranya masih lagi merancang untuk berkumpul secara fizikal atau berkunjung sepanjang musim cuti ini :
- Lakukan TRIIS (Trace, Report, Isolate, Inform dan Seek) terlebih dahulu sebelum menghadiri sambutan tersebut.
- Kekalkan amalan norma baharu seperti :
- Menjaga penjarakan fizikal;
- Memakai pelitup muka sepanjang masa kecuali ketika menjamu selera;
- Kerap mencuci tangan dengan sabun atau hand sanitizer;
- Elakkan dari menyentuh mata, hidung, dan mulut; dan
- Elakkan berkongsi perkakas makanan dan minuman.
- Perhimpunan keluarga juga seeloknya dihadkan dari segi bilangan orang yang hadir dan tempoh masa ia berlangsung.
- Ahli keluarga yang bergejala disarankan untuk menjalani kuarantin dan ujian saringan kendiri sebelum bergaul dengan ahli keluarga lain.
- Untuk memastikan pengudaraan yang lebih baik, tingkap dan pintu seharusnya dibiarkan terbuka agar pergerakan udara adalah lebih bebas. Jika boleh, adakan sambutan tersebut di kawasan luar rumah.
- Selain itu, elakkan juga dari bersembang secara dekat dan lama ketika berkumpul.
Bagi individu yang dikategorikan sebagai kontak rapat ataupun positif COVID-19, KKM ingin menegaskan bahawa disiplin adalah amat penting dalam menjalani kuarantin. Ini bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19 dan secara tidak langsung dapat melindungi warga emas serta kumpulan-kumpulan rentan daripada dijangkiti COVID-19.
Dengan pematuhan kepada nasihat yang digariskan di atas, musim cuti sekolah ini masih boleh disambut bersama keluarga tersayang, namun dengan waspada dan selamat. Bagi yang akan melancong nanti, berhati-hati di jalan raya. Biar lambat, asalkan selamat.
Sekian, terima kasih.
TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
27 Disember 2021 @ 6:45 petang
Categories: Communicable disease, Crisis & Disaster, Floods, Press
You must be logged in to post a comment.