Food

Kenyataan Akhbar KPK 4 Januari 2022 – Isu Penggunaan Paku Bagi Membungkus Makanan

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum mengenai isu penggunaan paku bagi membungkus makanan yang telah tular di media sosial baru-baru ini, serta pandangan pelbagai pihak yang khuatir akan bahaya trend kaedah pembungkusan makanan yang tidak selamat ini.

Di bawah Peraturan 37(2), Peraturan-Peraturan Makanan 1985 menyatakan bahawa tiada seorang pun boleh menyimpan, membawa, menyebarkan atau menggunakan apa-apa bahan asing, beracun, berbahaya atau merosakkan yang terkandung pada mana-mana makanan hingga boleh mendedahkan makanan yang hendak dijual kepada risiko pencemaran oleh bahan-bahan tersebut. Selain itu, di bawah Peraturan 36, Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 menyatakan pengendali makanan perlu memastikan pembungkusan makanan adalah bebas daripada apa-apa pencemaran termasuk bahan seperti paku yang boleh memudaratkan pelanggan atau pengguna.

Adalah dimaklumkan bahawa hasil pemantauan KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) pada tahun 2019 hingga 2021, sebanyak 19 (3.5%) dari 546 sampel makanan yang dianalisis didapati telah tercemar dengan bahan fizikal seperti batu, plastik, pasir, rambut, serangga dan cacing. Tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya telah diambil terhadap pengusaha atau peniaga terlibat. Manakala 45,361 premis makanan telah diperiksa di seluruh negara pada 2021. Dari jumlah tersebut, sebanyak 697 atau 1.5% premis makanan telah ditutup akibat dari pelbagai kesalahan.

Sehubungan itu, KKM menasihatkan supaya peniaga makanan agar tidak menggunakan bahan seperti paku, dawai kokot dan seumpamanya pada pembungkusan makanan kerana ianya boleh menyebabkan kecederaan yang serius sekiranya bahan tersebut termasuk dalam makanan dan ditelan pengguna. Pada masa yang sama, orang ramai terutama ibu bapa dinasihatkan untuk memeriksa terlebih dahulu makanan yang diberikan kepada anak-anak sebelum dimakan.

Peniaga makanan yang menggunakan paku, dawai kokot atau bahan seumpamanya yang berbahaya pada pembungkusan makanan boleh didakwa di mahkamah dan jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua (2) tahun atau kedua-duanya. Hukuman yang lebih berat boleh dikenakan sekiranya bahan tersebut ditemui dalam makanan. Di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983, sesiapa yang menyedia atau menjual apa-apa makanan yang di dalamnya mengandungi bahan yang memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan dan jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi sepuluh (10) tahun atau kedua-duanya.

Penyedia dan peniaga makanan juga diingatkan bahawa terdapat pelbagai kaedah lain yang lebih selamat untuk membungkus makanan. Penggunaan paku, dawai kokot atau bahan lain yang berbahaya pada pembungkusan makanan tidak sepatutnya berlaku kerana sekian lama ini, sudah terdapat pelbagai kaedah pembungkusan makanan yang terbukti selamat dan berkesan membungkus makanan dengan baik.

Pengguna pula boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat atau melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan www.facebook.com/bkkmhq jika menjumpai makanan yang dibungkus menggunakan bahan seperti paku, dawai kokot dan seumpamanya serta lain-lain isu berkaitan keselamatan makanan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

4 JANUARI 2022

Categories: Food, Food Safety, Press

Tagged as: