Communicable disease

Kenyataan Akhbar KPK 17 Januari 2022 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) dan Bencana Banjir di Malaysia

SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT CORONAVIRUS 2019 (COVID-19) DAN BENCANA BANJIR DI MALAYSIA

17 JANUARI 2022

SITUASI SEMASA COVID-19

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan status terkini kes COVID-19 di Malaysia sehingga 17 Januari 2022 (jam 12:00 tengah hari);

  • Kes baharu : 2,342  kes (2,810,689 kes kumulatif);  
  • Kes import : 180 kes (114 warganegara; 66 bukan warganegara);
  • Kes tempatan : 2,162 kes [2,105 warganegara (97.4%); 57 bukan warganegara (2.6%)];
  • Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU): 184 kes (132 kes disahkan COVID-19; 52 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan);
  • Kes memerlukan bantuan pernafasan: 87 kes (52 kes disahkan COVID-19; 35 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan);
  • Jumlah kluster : 6,218 kluster;
  • Jumlah kluster baharu : 6 kluster;
  • Jumlah kluster yang telah tamat : 6,041 kluster; dan
  • Jumlah kluster aktif : 177 kluster.

Daripada 2,342 kes harian yang dilaporkan pada hari ini;

  • 34 kes (1.5 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 
  • 2,308 kes (98.5 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2. 

Perincian nilai RT mengikut negeri adalah seperti di Jadual 1 yang disertakan bersama kenyataan media ini. Manakala, maklumat terperinci lain berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan COVID-19 di Malaysia akan dimuatnaik ke laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my. Data akan dikemaskini pada jam 12:00 tengah malam setiap hari.

Jadual 1: Nilai Rt Mengikut Negeri Berdasarkan Kes Yang Dilaporkan Pada 16 Januari 2022

NEGERINILAI RT
WP KUALA LUMPUR 1.08
NEGERI SEMBILAN 1.07
SABAH 1.05
SELANGOR 1.02
MELAKA 1.00
JOHOR 0.98
PULAU PINANG 0.98
KEDAH 0.95
PAHANG 0.95
PERAK 0.93
KELANTAN 0.90
TERENGGANU 0.81
SARAWAK 0.00
PERLIS 0.00
WP PUTRAJAYA 0.00
WP LABUAN 0.00
MALAYSIA 1.00 

SITUASI SEMASA BENCANA BANJIR

Sehingga jam 3 petang 17 Januari 2022, KKM juga ingin memaklumkan:

  • Jumlah Pusat Perpindahan Sementara (PPS) yang masih beroperasi – satu (1) PPS [Johor (1)];
  • Jumlah negeri dilanda banjir –satu (1) (Johor);
  • Jumlah keseluruhan mangsa terjejas banjir – 37 orang;
  • Jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di PPS – 15 kes (tiada kes baharu hari ini);
  • Jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 dalam kalangan mangsa banjir – 471 kes (tiada kes baharu hari ini); dan
  • Jumlah kluster COVID-19 di PPS –satu (1) kluster (tiada pertambahan kluster baharu hari ini).

Pada 17 Januari 2022,  tiada penyakit berjangkit yang dikesan dalam kalangan mangsa banjir. Bilangan kes yang dilaporkan adalah seperti dalam Jadual 2.

ANALISA SITUASI SEMASA JANGKITAN COVID-19 DI MALAYSIA (MINGGU EPIDEMIOLOGI 2/2022)

Bagi Minggu Epidemiologi 2/2022 yang bermula dari 9 Januari 2022 sehingga 15 Januari 2022, jumlah kes baharu COVID-19 yang dilaporkan adalah 22,006 kes dengan jumlah kes kematian sebanyak 126 kes, manakala purata kes aktif adalah sebanyak39,507. Berikut adalah perincian Indikator-Indikator Jangkitan COVID-19;

1. Indikator-Indikator Jangkitan COVID-19

  • Peningkatan kes baharu sebanyak 0.7 peratus iaitu daripada 21,859 kes (ME 1/2022) kepada 22,006 kes (ME 2/2022);
  • Purata kes aktif turut dilihat meningkat sebanyak 2.4 peratus dengan purata sebanyak 38,581 kes (ME 1/2022) kepada 39,507 kes (ME 2/2022) setelah penurunan kes aktif dicatatkan sejak ME 48/2021;
  • Walau bagaimanapun, kes kematian menunjukkan penurunan yang konsisten sebanyak 11.3 peratus dengan 126 kematian pada ME 2/2022 berbanding 142 kematian pada ME 1/2022. Penurunan ini dicatatkan mulai ME 52/2021.
  • Purata kes yang memerlukan rawatan di ICU juga menunjukkan penurunan sebanyak 8.0 peratus iaitu 185 kes (ME 2/2022) berbanding 201 kes (ME 1/2022). Penurunan berterusan indikator kes ICU secara konsisten telah dilaporkan sejak sembilan (9) minggu lalu pada ME 45/2021;
  • Selain itu, purata kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan turut menunjukkan penurunan 18.1 peratus iaitu 68 kes (ME 2/2022) berbanding 83 kes (ME 1/2022). Purata ini kekal menunjukkan tren penurunan semenjak 21 minggu yang lalu pada ME 33/2021) dan;
  • Purata nilai Rt meningkat sebanyak 1.0 peratus daripada 0.98 (95% Cl 0.96-0.99) pada ME 1/2022 kepada 0.99 (95% CI 0.98 – 1.00) pada ME 2/2022.

Rajah 1 di bawah jelas menunjukkan tren penggunaan ICU untuk kes COVID-19 semakin menurun sejak sembilan (9) minggu yang lalu iaitu ME 45/2021.

Selain itu, tren penurunan penggunaan alat bantuan pernafasan untuk kes COVID-19 juga dapat dilihat dengan ketara mulai 21 minggu lepas iaitu ME 33/2021 berdasarkan Rajah 2. #

Walaupun jangkitan varian Omicron dilihat kurang serius daripada segi keseriusan berbanding varian Delta, namun kadar kebolehjangkitannya adalah amat tinggi dan boleh menyebabkan peningkatan kemasukan pesakit yang memerlukan rawatan untuk tempoh yang singkat di hospital (short stay) terutamanya daripada kalangan pesakit yang berisiko tinggi seperti warga emas, individu dengan komorbid, dan juga kanak-kanak yang seterusnya memberi tekanan kepada sistem perkhidmatan hospital.

Oleh itu, sebagai langkah kesiapsiagaan bagi menghadapi sebarang peningkatan kes dalam masa terdekat, KKM  telah mempersiapkan untuk:

  • Menggunakan hospital-hospital daerah sebagai hospital hibrid untuk merawat pesakit COVID-19 kategori 1-3;
  • Merujuk pesakit COVID-19 kategori 4 dan 5 ke hospital berpakar;
  • Pesakit COVID-19 yang stabil akan dipantau di rumah melalui COVID-19 Assessment Centre (CAC) sehingga selesai tempoh pengasingan; dan
  • Menggunakan ubat antiviral yang telah dikenalpasti, lebih awal di peringkat CAC dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC).

Walau bagaimanapun, penglibatan setiap individu dan semua pihak melalui "whole government, whole society approach" adalah sangat penting bagi menentukan sama ada lonjakan kes COVID-19 disebabkan oleh varian baharu dapat dibendung atau tidak. Justeru, KKM juga ingin menyeru orang ramai supaya sentiasa mengamalkan dan memperkukuhkan kawalan kendiri, terus mematuhi SOP, dan segera mendapatkan vaksin COVID-19 (dos 1, dos 2, dan dos penggalak) supaya kes COVID-19 negara dalam keadaan terkawal.

2. Kluster

Daripada kumulatif 6,205 kluster yang dilaporkan setakat 15 Januari 2022, terdapat 176 kluster aktif (tiada perubahan jumlah kluster aktif berbanding ME 1/2022). Sebanyak 43 kluster telah diisytiharkan tamat pada ME 2/2022 dan menunjukkan penurunan sebanyak 32.8% berbanding ME 1/2022. Terdapat 43 kluster baharu telah dilaporkan pada ME 2/2022, iaitu:

  • 15 (34.9 peratus) kluster pusat pendidikan; 
  • 10 (23.3 peratus) kluster tempat kerja; 
  • Sembilan (9) (20.9 peratus) kluster komuniti; 
  • Lima (5) (11.6 peratus) kluster kumpulan berisiko tinggi; 
  • Tiga (3) (7.0 peratus) kluster import; dan 
  • Satu (1) (2.3 peratus) kluster keagamaan. 

Kebanyakan kategori kluster menunjukkan tren peningkatan pada ME 2/2022 berbanding ME 1/2022, kecuali bagi kluster tempat kerja dan kluster import (Jadual 4). Kluster pusat tahanan pula tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara pada ME 2/2022 berbanding minggu epidemiologi sebelumnya.

Kluster pendidikan dan kluster komuniti meningkat secara mendadak sebanyak 400 peratus dan 350 peratus pada ME 2/2022 berbanding ME 1/2022 susulan pembukaan semula sesi persekolahan di seluruh negara bermula pada 9 Januari 2022 yang lepas (Jadual 4). Peningkatan kluster pendidikan perlu diambil serius oleh semua pihak kerana ia boleh mengakibatkan jangkitan yang lebih meluas dalam kalangan pelajar, guru, pekerja di institusi pengajian, ahli keluarga mereka, dan seterusnya merebak ke komuniti.  Pematuhan SOP perlu sentiasa ditekankan sama ada sebelum, semasa, dan selepas sesi persekolahan. Keselamatan dan kesihatan warga sekolah perlu diberi perhatian agar dapat mengurangkan serta mencegah kluster baharu pendidikan.

Kluster kumpulan berisiko tinggi juga turut menunjukkan peningkatan sebanyak 66.7 peratus. Hal iniamat membimbangkan kerana jangkitan COVID-19 kepada golongan tersebut akan mendedahkan mereka kepada risiko gejala yang lebih teruk sekiranya tidak divaksinasi atau status vaksinasi sudah melebihi tiga bulan.

Sebagai usaha untuk memperlahankan gelombang varian Omicron, semua jemaah umrah yang pulang ke Malaysia wajib menjalani kuarantin di pusat kuarantin mulai 3 Januari 2022 selain penangguhan sementara pelaksanaan umrah mulai 8 Januari 2022. Susulan tindakan tersebut, kluster import kelihatan menurun pada ME 2/2022 berbanding ME 1/2022.

3. Kapasiti Hospital

Pada ME 2/2022, kadar penggunaan katil bukan ICU dan katil PKRC menunjukkan peningkatan berbanding ME 1/2022. Kadar penggunaan katil ICU dan alat bantuan pernafasan pula menunjukkan penurunan berbanding minggu epidemiologi sebelumnya (Jadual 5).

Penurunan kadar penggunaan katil ICU dan alat bantuan pernafasan adalah selari dengan peningkatan liputan vaksinasi seluruh negara yang kini telah mencatatkan 78.6 peratus populasi keseluruhan lengkap divaksinasi. Selain itu, sejak bulan Oktober 2021, negeri Sarawak mencatatkan penurunan yang drastik pada semua indikator jangkitan COVID-19 setelah program dos penggalak giat dijalankan. Sehingga kini, Sarawak kekal mencatatkan peratusan dos penggalak yang paling tinggi iaitu 48.3 peratus (sehingga 16 Januari 2022, 11.59 malam).

Namun begitu, jumlah kemasukan pesakit COVID-19 kategori 1 dan 2 didapati meningkat pada ME 2/2022, manakala bagi kategori 3, 4, dan 5 pula kelihatan menurun pada ME 2/2022 berbanding ME 1/2022. Kebanyakan pesakit COVID-19 kategori 3, 4, dan 5 yang dimasukkan ke hospital tersebut adalah terdiri daripada warga emas.

Secara keseluruhannya, walaupun kes baharu COVID-19, kes aktif, dan nilai Rt menunjukkan peningkatan pada ME 2/2022, indikator-indikator jangkitan COVID-19 yang lain seperti jumlah kematian, kadar penggunaan katil ICU, dan alat pernafasan menunjukkan penurunan. Kebanyakan kes baharu COVID-19 yang dilaporkan adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2 sama seperti yang berlaku di negara-negara luar, yang mana turut melaporkan bahawa varian Omicron mempunyai kadar kebolehjangkitan yang lebih tinggi dengan kadar keparahan yang kurang serius berbanding varian Delta.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN PANDEMIK COVID-19 DAN BENCANA BANJIR

KKM ingin menasihatkan orang ramai supaya:

  • Memaklumkan status risiko COVID-19 kepada anggota penyelamat sekiranya disahkan positif COVID-19 atau dikenal pasti sebagai kontak rapat agar tindakan sewajarnya dapat diambil semasa proses pemindahan dan penyelamatan;
  • Sentiasa patuh kepada SOP dan amalan norma baharu semasa proses pemindahan dan sepanjang tempoh berada di PPS;
    • Elakkan 3S: (elakkan kawasan yang sesak, sempit, dan sembang dengan jarak yang dekat);
    • Amalkan 3W: (Amalkan Wash, Wear dan Warn); dan
    • Sentiasa memakai pelitup muka di kawasan awam yang tertutup. Pemakaian pelitup muka berganda adalah digalakkan.
  • Elakkan dari berkumpul beramai-ramai dalam kalangan mangsa banjir semasa berada di PPS;
  • Memakai pelindung diri semasa operasi memindahkan mangsa banjir dan sewaktu melakukan proses-proses pembersihan pasca banjir;
  • Pastikan kebersihan diri terjaga dengan segera membersihkan badan yang terkena air banjir dengan air bersih dan amalkan mencuci tangan menggunakan cecair pembasmi kuman atau sabun terutamanya apabila pergi ke tempat menjadi gunasama seperti tandas;
  • Elakkan diri daripada bermain atau meredah air banjir;
  • Sentiasa menjaga kebersihan kawasan PPS untuk mengelakkan daripada penyakit bawaan vektor;
  • Elakkan daripada minum air dan makan makanan yang sudah tercemar;
  • Sekiranya bergejala, segera dapatkan rawatan di klinik atau hospital yang berhampiran terutamanya bagi individu yang berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak, wanita hamil, dan juga individu yang mempunyai komorbiditi; dan
  • Petugas perubatan di semua fasiliti kesihatan perlu lebih berwaspada akan gejala-gejala penyakit yang sering dikaitkan dengan kejadian banjir seperti yang disebutkan di atas, seterusnya melakukan pemeriksaan yang sepatutnya agar rawatan segera dapat diberikan.

KKM akan sentiasa memantau dan menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan sebaik-baiknya agar penyakit berjangkit akibat bencana banjir terutamanya COVID-19 dapat dibendung. Untuk maklumat lebih lanjut dan kemaskini mengenai info bencana banjir, sila layari laman sesawang  https://infobencanajkmv2.jkm.gov.my/portal/index .

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO' SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

17 Januari 2022 @ 7:00 petang