PROGRAM VAKSINASI KANAK- KANAK BERUMUR 5-11 TAHUN
- Sejak bermulanya pandemik COVID-19, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memantau status jangkitan COVID-19 terutama di dalam populasi remaja dan kanak-kanak.
- Bagi tempoh 25 Januari 2020 hingga 19 Januari 2022, jumlah kes COVID-19 melibatkan individu berumur kurang daripada 18 tahun adalah sebanyak 579,624 kes. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 269,773 kes melibatkan kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun.
- Walaupun kebiasaannya kanak-kanak hanya mengalami gejala ringan, terdapat juga sebilangan kanak-kanak yang mengalami gejala teruk serta memerlukan rawatan di hospital termasuk di unit rawatan rapi (ICU).
- Secara keseluruhannya, sebanyak 144 kematian telah direkodkan akibat daripada jangkitan COVID-19 dalam kalangan populasi berumur 18 tahun dan ke bawah. Daripada jumlah tersebut, 31 kes kematian melibatkan kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun.
- Mutakhir ini, terdapat peningkatan jangkitan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak terutamanya setelah pembukaan sekolah pada awal tahun 2022 ini. Selain itu, varian baharu Omicron didapati lebih mudah merebak dan berpotensi tinggi untuk menjangkiti kanak-kanak serta orang dewasa.
- Data yang diperolehi daripada negara-negara yang terkesan dengan varian Omicron ini juga menunjukkan terdapat peningkatan kemasukan ke hospital dalam kalangan kanak-kanak.
- Selain daripada risiko penyakit Long-COVID, kanak-kanak yang dijangkiti COVID-19 juga berisiko tinggi untuk mendapat kesan serius yang dikenali sebagai Multi-System Inflammatory Syndrome in Children (MIS-C).
- Kejadian MIS-C ini boleh berlaku satu dalam 3200 kanak-kanak yang dijangkiti oleh COVID-19. Kanak-kanak tersebut boleh mengalami gejala yang sangat teruk seperti demam yang berlarutan, tekanan darah rendah, sawan serta keradangan pelbagai organ termasuk jantung (miokarditis), paru-paru, buah pinggang, otak, kulit, mata, saluran usus dan lain-lain.
- Populasi kanak-kanak juga turut mengalami kesan tidak langsung kepada kehidupan sosial terutama dari segi persekolahan dan pendidikan. Ini seterusnya memberikan kesan yang buruk kepada psikologi serta perkembangan sosial kanak-kanak secara keseluruhannya.
- Melihat kepada keperluan untuk melindungi populasi kanak-kanak ini, KKM melalui Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (DCA) Malaysia telah menganalisa data-data keselamatan dan keberkesanan serta bersetuju untuk memberikan kelulusan bersyarat kepada Vaksin Comirnaty® 10mcg Concentrate for Dispersion (Pfizer-BioNTech)pada 6 Januari 2022 untuk kegunaan kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun.
- Vaksin mRNA ini telah menjalani kajian klinikal yang sangat ketat dan teliti bagi memastikan kualiti, keselamatan, serta keberkesanan vaksin tersebut. Hasil dapatan kajian klinikal vaksin menunjukkan keberkesanan sebanyak 90.7% serta berupaya untuk meningkatkan tindak balas imun yang tinggi terhadap penyakit COVID-19.
- Namun, seperti vaksin yang lain, vaksin Comirnaty® formulasi khas untuk kanak-kanak ini juga boleh memberikan kesan sampingan vaksin yang biasa dialami oleh kanak-kanak seperti sakit pada tempat suntikan, kemerahan dan bengkak. Tindak balas sistemik pula termasuklah keletihan, pening kepala, sakit otot, menggigil dan demam. Kebanyakan kesan sampingan vaksin ini adalah ringan dan sederhana, serta tidak berpanjangan.
- Program vaksinasi COVID-19 untuk kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun menggunakan vaksin Comirnaty® formulasi khas untuk kanak-kanak ini juga telah dilaksanakan di beberapa negara termasuklah Amerika Syarikat, Kanada, Israel, Australia dan Singapura. Real World Data melaporkan insiden miokarditis atau radang otot jantung setelah pengambilan vaksin mRNA adalah sangat rendah.
- Amerika Syarikat telah melaksanakan pemberian vaksin ini hampir 8.7 juta dos menggunakan formulasi khas kanak-kanak dan data awal Adverse Event Following Immunization (AEFI), telah mendapati insiden AEFI adalah jauh lebih rendah berbanding insiden AEFI dikalangan remaja berumur 12 hingga 17 tahun.
- Melihat kepada keperluan untuk memastikan keselamatan kepada kanak-kanak yang akan menerima vaksin COVID-19 ini, KKM akan sentiasa memantau perkembangan terkini terutamanya pola AEFI tersebut di peringkat global.
- Buat masa ini, vaksinasi COVID-19 ini adalah disyorkan bagi kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun. Walau bagaimanapun, keutamaan untuk pemberian vaksin pada permulaan program ini adalah kepada kanak-kanak yang mempunyai masalah kesihatan kerana mereka lebih berisiko untuk mendapat penyakit COVID-19 yang teruk termasuklah kemasukan ke hospital dan ke unit rawatan rapi (ICU) serta kematian. Masalah kesihatan tersebut merangkumi:
- Penyakit respiratori kronik;
- Penyakit kardiovaskular;
- Immunosuppression;
- Kencing manis;
- Penyakit ginjal kronik; dan
- Penyakit saraf.
- Sebagai makluman, formulasi vaksin COVID-19 Comirnaty® yang akan digunakan dalam program vaksinasi adalah formulasi khas untuk kanak-kanak dan dibekalkan di dalam bebuli 10-dos (penutup jingga) dan perlu dicampur dengan 1.3 mL larutan garam biasa. Setiap dos yang diberikan adalah 0.2 mL dan mengandungi 10mcg vaksin mRNA. Dos ini merupakan satu pertiga daripada doa yang digunakan di dalam dos dewasa.
- Program vaksinasi kanak-kanak ini memerlukan dua suntikan dos vaksin dengan sela masa lapan (8) minggu selepas dos pertama.
- Berdasarkan data terkini yang diperolehi, sela masa lapan (8) minggu di antara dua dos yang diberikan akan memberi kesan tindak balas imuniti dan kadar keberkesanan yang lebih tinggi serta berpotensi untuk memberikan perlindungan yang lebih lama. Selain itu, data ini juga menunjukkan sela masa tersebut mampu mengurangkan risiko miokarditis dan telah disyorkan oleh badan-badan kesihatan seluruh dunia termasuk United Kingdom, Kanada dan Australia.
- Berdasarkan data, maklumat dan pandangan Kumpulan Kerja Teknikal (TWG) dan panel penulis Garis Panduan Klinikal Vaksinasi COVID-19 Kanak-Kanak, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanakan pemberian vaksin COVID-19 untuk kanak-kanak berusia 5 hingga bawah 12 tahun bermula Februari 2022 sebaik Vaksin Pfizer (kanak-kanak) tiba di Malaysia mulai 31 Januari 2022.
- Pelancaran program pemberian vaksinasi kanak-kanak berusia 5 hingga bawah 12 tahun akan diadakan pada 3 Februari 2022 di Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur.
- Sistem tempahan janji temu melalui MySejahtera akan mula dibuka pada penghujung Januari 2022. Sebagai permulaan, ibu bapa boleh mula mendaftarkan anak sebagai tanggunggan dalam aplikasi MySejahtera mereka.
- Tempahan janji temu vaksinasi bagi kanak-kanak berusia 5 hingga bawah 12 tahun akan dibuka secara berperingkat bermula 31 Januari 2022 dan dibuka kepada ibu bapa yang tinggal di Lembah Klang dahulu.
- Perincian mengenai akses kepada sistem tempahan janji temu akan dimaklumkan dalam masa terdekat.
- Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (CITF-C) yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan 1, YB Dato’ Dr Noor Azmi bin Ghazali, telah mengadakan mesyuarat pertamanya pada 19 Januari 2022.
- CITF – C berperanan membentuk dasar, menyelaras strategi pengoperasian, mengenal pasti perkara yang boleh serta pemantauan pencapaian Program Imunisasi COVID-19 Kanak-kanak (PICKids).
- Saya ingin mengambil kesempatan untuk memohon kepada majikan supaya memberikan cuti tanpa rekod kepada ibu bapa yang membawa anak mereka untuk vaksinasi dan juga untuk membuat pemerhatian kepada kesihatan anak mereka selepas vaksinasi.
- KKM mensasarkan 70% kanak-kanak 5 hingga bawah 12 tahun dalam sistem pendidikan dapat diberikan dos 1 vaksin Pfizer (kanak-kanak) dalam tempoh 2 bulan dari tarikh program dilancarkan pada awal Februari 2022, dan 80% akan menerima dos lengkap dalam tempoh 6 bulan pelaksanaan.
ISU PENJUALAN SIJIL VAKSINASI
- Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah berjaya mengesan dan melaporkan siasatan ke atas beberapa premis pengamal perubatan swasta yang didakwa terlibat dalam penjualan sijil vaksinasi.
- Hasil siasatan dan semakan oleh KKM dengan pihak PDRM mendapati setakat ini, kesemua kes yang dikesan adalah melibatkan pelaksanaan vaksinasi berbayar yang dijalankan oleh pihak swasta (Private Purchase Vaccination).
- Sebagai prosedur yang ditetapkan, semua proses pemberian vaksinasi yang dijalankan oleh PICK dan Private Purchase perlu dilaporkan kepada KKM melalui sistem MyVAS bagi tujuan rekod dan pengeluaran sijil vaksinasi. Bagaimanapun, dalam insiden-insiden ini, apa yang berlaku adalah pengamal perubatan swasta yang terlibat telah memberikan laporan pemberian vaksinasi palsu kepada KKM.
- Buat masa ini siasatan masih dijalankan oleh pihak polis dan KKM akan memberikan kerjasama yang sepenuhnya.
STATUS PERJALANAN MENGERJAKAN UMRAH
- Semalam, 19 Januari 2022, KKM bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah telah mengadakan sesi libat urus bersama Persatuan Agensi Pelancongan (Umrah) bagi mendapatkan maklum balas berhubung hala tuju industri umrah susulan daripada keputusan penangguhan sementara yang sedang berkuat kuasa.
- Antara perkara yang dibangkitkan oleh pemain industri pelancongan umrah pada sesi perbincangan libat urus petang ini adalah SOP berkaitan pelaksanaan perjalanan umrah, isu bayaran balik dan penjadualan semula penerbangan, perlindungan insurans, garis masa pembukaan semula perjalanan umrah dan bantuan pemulihan kepada industri pelancongan.
- Pada sesi tersebut, saya dan YB Menteri MOTAC telah menyatakan komitmen untuk memperincikan dan memperhalusi setiap isu serta cadangan yang dikemukakan di peringkat kementerian masing-masing sebelum membentangkan cadangan penambahbaikan kepada Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 akan datang.
- Antaranya termasuklah proses saringan semasa ketibaan di Pintu Masuk Antarabangsa KLIA, pelaksanaan kuarantin sama ada di stesen-stesen kuarantin ataupun di kediaman dan juga peranan agensi pelancongan umrah sebelum, semasa dan selepas mengerjakan umrah.
- Khusus bagi garis masa pembukaan semula perjalanan umrah, kedua-dua kementerian komited untuk memuktamadkan proses penilaian risiko dan SOP perjalanan umrah menjelang pertengahan Februari tahun ini.
- KKM amat berharap agar semua pemain industri dapat memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan aktiviti umrah dapat terus dilaksanakan dengan selamat.
PENGURANGAN TEMPOH KUARANTIN BAGI PENGEMBARA DARI LUAR NEGARA
- KKM telah melaksanakan perintah pengasingan ke atas pengembara yang memasuki Malaysia dari luar negara termasuk warganegara, pemastautin tetap Malaysia, ekspatariat atau kor diplomatik atau mana-mana orang asing lain yang dibenarkan oleh Ketua Pengarah Imigresen.
- Perintah ini dikuatkuasakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] bagi mengawal penularan jangkitan COVID-19.
- Berdasarkan data, sains dan pengalaman negara-negara lain berkaitan pengurusan kemasukan pengembara dari luar negara, KKM telah membuat penilaian semula tempoh pengawasan dan pemerhatian dan memutuskan ketetapan terkini seperti berikut:
- Pengembara yang telah menerima Dos PenggalakTempoh kuarantin – 5 hariMenjalani ujianRT-PCR COVID-19 dua (2) hari sebelum berlepas dengan keputusan negatif COVID-19RT-PCR COVID-19 pada hari ketibaanRT-PCR pada hari ke-4 ATAU RTK Ag yang diselia oleh petugas kesihatan pada hari ke-5 negatif
- Pelepasan kuarantin
- Pelepasan kuarantin pada hari ke-5 jika ujian RT-PCR pada hari ke-4 ATAU RTK Ag yang diselia oleh petugas kesihatan pada hari ke-5 negatif
- Tiada Dos Penggalak tetapi LENGKAP VAKSIN
- Tempoh kuarantin – 7 hari
- Menjalani Ujian:
- RT-PCR COVID-19 dijalankan 2 hari sebelum berlepas dengan keputusan negatif COVID-19
- RT-PCR COVID-19 pada hari ketibaan
- RT-PCR pada hari ke-5 ATAU RTK Ag yang diselia oleh petugas kesihatan pada hari ke-7
- Pelepasan Kuarantin:
- Pelepasan kuarantin pada hari ke-7 jika ujian RT-PCR ATAU RTK Ag yang diselia oleh petugas kesihatan pada hari ke-7 negatif
- TIADA / BELUM menerima vaksinasi lengkap
- Tempoh kuarantin -10 hari
- Menjalani Ujian:
- RT-PCR COVID-19 dijalankan 2 hari sebelum berlepas dengan keputusan negatif COVID-19
- RT-PCR COVID-19 pada hari ketibaan
- RT-PCR pada hari ke-8 ATAU RTK Ag yang diselia oleh petugas kesihatan pada hari ke-10
- Pelepasan Kuarantin:
- Pelepasan kuarantin pada hari ke-10 jika ujian RT-PCR hari ke-8 ATAU RTK Ag yang diselia oleh petugas kesihatan pada hari ke-10 negatif
- Selain itu sebagai langkah penambahbaikan proses kerja di pintu masuk antarabangsa (PMA), KKM turut membuat ketetapan seperti berikut:
- Semua pengembara yang tiba dari luar negara akan diberikan digital HSO. Maka dengan itu, pengembara-pengembara tidak perlu lagi dipakaikan gelang pengawasan biasa (warna pink).
- Bagaimanapun bagi pengembara yang tiba dari negara berisiko tinggi dan dibenarkan menjalani perintah kuarantin di kediaman, mereka masih akan dipakaikan gelang pengawasan digital.
- Pengurangan tempoh kuarantin bagi pengembara dari luar negara ini akan mula berkuat kuasa pada Isnin, 24 Januari 2022.
- Sementara itu, KKM juga bersetuju untuk mengeluarkan penggunaan pengimbas suhu daripada SOP. Cadangan ini akan dibawa ke mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk pemakluman dan kemaskini dokumen rasmi SOP Pelan Pemulihan Negara.
SITUASI KLUSTER PENDIDIKAN 2022
- Dari Minggu Epid 1 tahun 2022 hingga 19 Januari 2022, terdapat sejumlah 52 kluster pendidikan, melibatkan 30 kluster (57.7%) sekolah menengah. Daripada 30 sekolah menengah tersebut, 27 buah (90.0%) adalah sekolah berasrama.
- Sesi persekolahan telah bermula pada 9 Januari 2022 dan 10 Januari 2022 mengikut negeri-negeri tertentu. Perkumpulan ramai ini telah meningkatkan risiko penularan jangkitan menyebabkan jumlah kluster di sekolah pada minggu pertama persekolahan sebanyak 15 kluster.
- Pada minggu kedua persekolahan bilangan kluster pendidikan meningkat sekali ganda kepada 33 kluster. Semua negeri ada melaporkan kluster kecuali Perlis, Terenggau, Sarawak dan WP Labuan.
- Bagi 52 kluster Pendidikan yang telah dilaporkan sejak minggu pertama 1 tahun 2022, siasatan mendapati 44 kluster dengan kes indeksnya adalah pelajar, indeks kes adalah guru atau pensyarah bagi 5 kluster dan staf sokongan pusat pendidikan bagi 3 kluster lagi.
- KKM juga telah memberi penekanan kepada Sektor Pendidikan:
- Kepentingan untuk saringan gejala pelajar, guru dan staf sebelum masuk ke kawasan sekolah/institusi,
- Pengujian RTK Ag ke atas murid, guru dan staf mengikut strategi pengujian COVID-19.
- Pemerkasaan ibu bapa untuk memantau status kesihatan anak dan bertanggungjawab untuk tidak menghantar anak ke sekolah sekiranya bergejala.
- Menjalankan penilaian risiko penularan jangkitan COVID-19 di institusi masing-masing dari semasa ke semasa, agar Tindakan pencegahan dapat segera diambil.
- KKM juga ingin mengingatkan kepada Pegawai Kesihatan Daerah, sekiranya terdapat kes positif dilaporkan oleh pihak sekolah atau institusi pendidikan, siasatan dan penilaian risiko perlu dijalankan bagi menilai status penularan jangkitan.
- Selain itu, tindakan pembersihan dan disinfeksi serta pengesanan kontak perlu dijalankan di samping pelaksanaan aktivi-aktiviti kawalan dan pencegahan COVID-19.
- KKM akan mengadakan perbincangan dengan pihak KPM dan KPT dalam masa terdekat bagi mengukuhkan aktiviti kawalan dan pencegahan penularan jangkitan COVID-19 di institusi pendidikan.
KHAIRY JAMALUDDIN
Menteri Kesihatan
20 Januari 2022
Categories: Press