Press

Kenyataan Akhbar KPK 21 Januari 2022 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19)

SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT CORONAVIRUS 2019 (COVID-19) DI MALAYSIA

21 JANUARI 2022

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan status terkini kes COVID-19 di Malaysia sehingga 21 Januari 2022 (jam 12:00 tengah hari);

  • Kes sembuh: 2,804 kes (2,750,261 kes kumulatif, 97.4%) 
  • Kes baharu : 4,046  kes (2,824,973 kes kumulatif);  
  • Kes import : 489 kes (388 warganegara; 101 bukan warganegara);
  • Kes tempatan : 3,557 kes [3,449 warganegara (97.0%); 108 bukan warganegara (3.0%)];
  • Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU): 149 kes (120 kes disahkan COVID-19; 29 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan);
  • Kes memerlukan bantuan pernafasan: 71 kes (49 kes disahkan COVID-19; 22 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan);
  • Jumlah kluster : 6,284 kluster;
  • Jumlah kluster baharu : 12 kluster;
  • Jumlah kluster yang telah tamat : 6,064 kluster; dan
  • Jumlah kluster aktif : 220 kluster.

Daripada 4,046 kes harian yang dilaporkan pada hari ini;

  • kes (0.8 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; dan 
  • kes (99.2 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2. 

Perincian nilai RT mengikut negeri adalah seperti di Jadual 1 yang disertakan bersama kenyataan media ini. Manakala, maklumat terperinci lain berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan COVID-19 di Malaysia akan dimuatnaik ke laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my. Data akan dikemaskini pada jam 12:00 tengah malam setiap hari.

Jadual 1: Nilai Rt Mengikut Negeri Berdasarkan Kes Yang Dilaporkan Pada 20 Januari 2022

NEGERINILAI RT
WP KUALA LUMPUR 1.13
NEGERI SEMBILAN 1.06
KEDAH 1.04
JOHOR 1.03
MELAKA 1.02
SABAH 1.01
SELANGOR 1.00
PAHANG 0.98
PULAU PINANG 0.96
PERAK 0.95
KELANTAN 0.95
WP PUTRAJAYA  0.92
TERENGGANU 0.76
SARAWAK 0.00
PERLIS 0.00
WP LABUAN 0.00
MALAYSIA 1.00 

SITUASI SEMASA MENGENAI LIPUTAN DOS PENGGALAK DALAM KALANGAN GOLONGAN YANG BERISIKO TINGGI, PETUGAS-PETUGAS KESIHATAN, DAN PENERIMA VAKSIN SINOVAC (CORONAVAC)

Penurunan imuniti atau waning immunity selepas penerimaan vaksin dalam tempoh masa  tertentu adalah perkara yang lazim berlaku pada kebanyakan penerima vaksin termasuk penerima vaksin COVID-19. Daripada pemantauan yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) di Malaysia, penurunan imuniti sebanyak 20 peratus berlaku kepada individu yang telah mengambil dos lengkap [2 (dua) dos], manakala bagi penerima vaksin Sinovac, berlaku penurunan imuniti sebanyak 40 peratus selepas tiga (3) hingga lima (5) bulan menerima dos kedua.

Pelbagai kajian dari negara Israel, United Kingdom, dan Chile juga mendapati terdapat penurunan tahap neutralising antibody kepada virus COVID-19 selepas tiga (3) hingga enam (6) bulan menerima dos primer lengkap. Ini menyebabkan risiko untuk mendapat jangkitan COVID-19 meningkat terutamanya bagi kumpulan berisiko tinggi.

Sehubungan dengan itu, dos penggalak atau booster dose COVID-19 perlu diberikan selepas beberapa tempoh tertentu untuk memastikan imuniti yang diperolehi kekal pada tahap yang optimum. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) amat menyarankan pengambilan dos penggalak kepada setiap individu yang layak dalam usaha mengelakkan berlakunya peningkatan semula kes dan kemasukan ke hospital sehingga menyebabkan sistem kesihatan negara terbeban.

Pelaksanaan pemberian dos penggalak telah dimulakan di seluruh negara sejak 13 Oktober 2021. Sehingga 20 Januari 2022, seramai 10,235,759 atau 43.7 peratus populasi Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas atau 44.7 peratus daripada penduduk dewasa yang telah mendapatkan dos lengkap, kini sudah menerima dos penggalak. Antara manfaat yang boleh diperolehi daripada penerimaan dos penggalak adalah:

  1. Mengelakkan berlaku peningkatan semula kes dan kemasukan ke hospital sehingga menyebabkan sistem kesihatan negara terbeban; dan
  2. Melindungi penduduk daripada ancaman varian baharu termasuk varian Delta dan varian Omicron. Dos penggalak boleh meningkatkan tahap imuniti terhadap jangkitan varian Omicron sehingga 70 peratus berbanding mereka yang tidak menerima dos penggalak.

Memandangkan risiko jangkitan COVID-19 boleh dikurangkan dengan dos penggalak, KKM juga telah menjalankan semakan semula tempoh kuarantin untuk pengembara dari luar negara. Berdasarkan penilaian risiko tersebut, tempoh kuarantin pengembara yang telah mengambil dos penggalak telah  dikurangkan daripada tujuh (7) hari kepada lima (5) hari.

Keutamaan pemberian dos penggalak adalah kepada kumpulan berisiko tinggi dan kumpulan rentan seperti anggota barisan hadapan (kesihatan dan keselamatan), warga emas berusia 60 tahun dan ke atas, orang kurang upaya, serta individu dengan komorbid.

Sehingga 20 Januari 2022, peratus liputan dos penggalak dalam kalangan anggota kesihatan, warga emas berusia 60 tahun dan ke atas, orang kurang upaya, serta individu dengan komorbid menunjukkan kadar liputan yang rendah seperti yang digambarkan dalam Jadual 2 .

Jadual 2 : Liputan Imunisasi Dos Penggalak Vaksin COVID-19 di Kalangan Golongan Berisiko Tinggi dan Kumpulan Rentan

KEPERLUAN DOS PENGGALAK UNTUK PETUGAS BARISAN HADAPAN DI MALAYSIA

Anggota barisan hadapan kesihatan adalah termasuk dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi bagi mendapat jangkitan COVID-19. Ianya disebabkan oleh kategori ini perlu berhadapan dengan orang ramai yang tidak diketahui status penyakit pada setiap masa seperti mereka yang:

  1. Datang mendapatkan rawatan pesakit luar di klinik dan hospital kerajaan termasuk di COVID-19 Assesment Centre (CAC);
  2. Menerima rawatan pesakit dalaman di hospital termasuk di Pusat Rawatan dan Kuarantin (PKRC);
  3. Menjalankan ujian terutama ujian pengesanan COVID-19 di makmal-makmal seluruh negara; dan
  4. Menjalankan aktiviti di lapangan seperti pengesanan kontak rapat, pemeriksaan premis, pengendalian jenazah pesakit COVID-19, dan pengambilan sampel untuk ujian COVID-19.

Pada awal Januari 2022, negara United Kingdom berhadapan dengan peningkatan kes yang sangat tinggi sehingga 218,274 kes sehari pada 4 Januari 2022, iaitu peningkatan sebanyak 15% dari 31 Disember 2021. Peningkatan ini juga secara tidak langsung menyebabkan peningkatan kemasukan ke wad dan ICU di hospital iaitu sehingga 3,700 kes sehari.

Peningkatan kadar jangkitan di negara itu juga menyebabkan jangkitan yang ketara dalam kalangan petugas kesihatan dan menyebabkan petugas-petugas kesihatan tidak dapat bertugas sama ada disebabkan oleh jangkitan atau perlu menjalani kuarantin. Ini menyebabkan sistem kesihatan di sebahagian negeri berada di dalam kritikal seperti perkhidmatan ambulans yang terjejas dan kekurangan petugas di wad dan ICU serta perlu memanggil semula pekerja yang bercuti atau berehat mahupun yang telah bersara untuk bertugas semula.

Berdasarkan pengalaman di United Kingdom tersebut, anggota barisan hadapan terutamanya petugas kesihatan di Malaysia amat digalakkan untuk mengambil dos penggalak bagi mengelakkan jangkitan COVID-19 dalam kalangan mereka sehingga menyebabkan sistem kesihatan di negara terjejas.

KEPERLUAN DOS PENGGALAK UNTUK PENERIMA VAKSIN SINOVAC (CORONAVAC) DI MALAYSIA 

Bagi penerima dos lengkap vaksin COVID-19 jenis Sinovac (CoronaVac), data kajian dalam dan luar negara menunjukkan penurunan tahap perlindungan terhadap jangkitan COVID-19. Data kajian RECoVaM (The Real World Evaluation of COVID-19 Vaccines under PICK Malaysia) juga menunjukkan tahap perlindungan terhadap jangkitan COVID-19 menurun sebanyak 48% dalam tempoh tiga (3) hingga lima (5) bulan selepas mengambil dos lengkap (Rajah 1).

Rajah 1: Perlindungan terhadap Jangkitan COVID-19 berkurangan dalam tempoh 3 – 5 bulan selepas mengambil dos lengkap

Sumber data: Data kajian RECoVaM (The Real World Evaluation of COVID-19 Vaccines under PICK Malaysia)

Sehubungan itu, penerima dos lengkap vaksin Sinovac (CoronaVac) amat digalakkan untuk mengambil dos penggalak secara heterologous iaitu sama ada vaksin AstraZeneca (Covishield/Vaxzevria) atau vaksin Pfizer-BioNTech (Comirnaty) bagi mendapat perlindungan yang optima (Rajah 2).

Rajah 2: Keberkesanan dos penggalak jenis heterologous bagi penerima dos lengkap vaksin Sinovac di Chile

Sumber : Kementerian Kesihatan Chile, Oktober 2021

KEPERLUAN DOS PENGGALAK UNTUK WARGA BERUSIA 60 TAHUN DAN KEATAS DI MALAYSIA

Kajian Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) juga mendapati sehingga hari ini, kadar kematian dikalangan warga berumur 60 tahun dan ke atas adalah tinggi iaitu sebanyak 57.2 peratus daripada keseluruhan kumpulan umur. Berdasarkan faktor tersebut dan kebarangkalian imuniti yang rendah disebabkan faktor usia, komorbiditi, sela tempoh vaksin primer yang telah ambil, penurunan imuniti dan lain-lain, individu berusia 60 tahun dan ke atas adalah diwajibkan untuk mengambil dos penggalak.

Bagi warga emas berusia 60 tahun dan ke atas, perkhidmatan vaksinasi secara walk-in akan ditawarkan di negeri Selangor, WP Kuala Lumpur & Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang, dan Sarawak melibatkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berikut (Jadual 3):

  • Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi di Lembah Klang mulai 19 Januari 2022.

Jadual 3: Lokasi PPV Integrasi di Lembah Klang bagi perkhidmatan vaksinasi secara walk-in kepada warga emas

Lokasi PPVWaktu bermula walk-in
PPV World Trade Centre, Kuala Lumpur2.00 petang – 8.00 malam
PPV Axiata Arena, Bukit Jalil2.00 petang – 8.00 malam
PPV Ideal Convention Centre, Shah Alam2.00 petang – 8.00 malam
Soka Gakkai, Klang12.00 tengah hari – 4.00 petang
  • PPV Offsite di negeri Selangor, WP Kuala Lumpur & Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang dan Sarawak mulai 24 Januari 2022. Senarai lengkap PPV Offsite yang terlibat akan diumumkan oleh pihak ProtectHealth Corporation.

KKM juga ingin memberi jaminan sekali lagi bahawa bekalan vaksin di Malaysia adalah mencukupi dan KKM sedang mempertingkatkan pemberian vaksin COVID-19 di seluruh negara. Sehubungan dengan itu, orang ramai disarankan untuk mengambil dos penggalak vaksin COVID-19 supaya perlindungan yang optima terhadap jangkitan COVID-19 dapat dikekalkan.

Semua individu yang telah menerima vaksin termasuk vaksin penggalak juga perlu mengamalkan norma baharu dan mematuhi semua SOP yang telah ditetapkan oleh MKN bagi membendung jangkitan COVID-19 dan seterusnya memastikan negara dibuka dalam keadaan yang selamat.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN DOS PENGGALAK COVID-19

KKM ingin menasihati individu yang telah mengambil dos penggalak mematuhi saranan serta nasihat-nasihat seperti berikut;

  • Berada di ruang pemerhatian yang ditetapkan sekurang-kurangnya 15 minit;
  • Memaklumkan kepada petugas kesihatan atau mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami tanda-tanda kesan teruk selepas vaksin COVID-19;
  • Mengamal norma baharu dan mematuhi langkah pencegahan penyakit COVID-19;
  • Menyimpan kad vaksinasi yang diberikan oleh anggota kesihatan; dan
  • Elakkan aktiviti lasak dalam tempoh seminggu.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

KKM ingin menasihati orang ramai agar terus mematuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan iaitu;

  • Elakkan 3S: (elakkan kawasan yang sesak, sempit, dan sembang dengan jarak yang dekat);
  • Amalkan 3W: (Amalkan Wash, Wear, and Warn);
  • Sentiasa memakai pelitup muka di kawasan awam yang tertutup. Pemakaian pelitup muka berganda adalah digalakkan;
  • Amalkan TRIIS (Trace, Report, Isolate, Inform, and, Seek) sebelum menghadiri aktiviti sosial atau sekiranya bergejala; dan
  • Dapatkan vaksin COVID-19 bagi mengurangkan risiko jangkitan yang serius dan bilangan kes kematian sekaligus membina imuniti kelompok.

Dengan pengambilan vaksin dan dos penggalak, kita dapat melindungi orang di sekeliling daripada kemungkinan jangkitan COVID-19. Dengan imuniti kelompok yang terbentuk, kumpulan yang belum layak diberi imunisasi dapat dilindungi. Perlindungan untuk semua bermula daripada diri kita.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO. KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO' SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

21 Januari 2022 @ 6:30 petang

Categories: Press

Tagged as: , , , ,