Communicable disease

Kenyataan Akhbar KPK 26 Januari 2022 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19)

SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT CORONAVIRUS 2019 (COVID-19) DI MALAYSIA

26 JANUARI 2022

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan status terkini kes COVID-19 di Malaysia sehingga 26 Januari 2022 (jam 12:00 tengah hari);

  • Kes sembuh: 3,646 kes (2,766,254 kes kumulatif, 97.2%)
  • Kes baharu : 4,744 kes (2,844,969 kes kumulatif);
  • Kes import : 429 kes [289 warganegara (67.4%); 140 bukan warganegara (32.6%)];
  • Kes tempatan : 4,315 kes [4,112 warganegara (95.3%); 203 bukan warganegara (4.7%)];
  • Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU): 129 kes (110 kes disahkan COVID-19; 19 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan);
  • Kes memerlukan bantuan pernafasan: 72 kes (48 kes disahkan COVID-19; 24 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan);
  • Jumlah kluster : 6,349 kluster;
  • Jumlah kluster baharu : 21 kluster;
  • Jumlah kluster yang telah tamat : 6,090 kluster; dan
  • Jumlah kluster aktif : 259 kluster.

Daripada 4,744 kes harian yang dilaporkan pada hari ini;

  • 30 kes (0.6 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; dan
  • 4,714 kes (99.4 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Perincian nilai RT mengikut negeri adalah seperti di Jadual 1 yang disertakan bersama kenyataan media ini. Manakala, maklumat terperinci lain berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan COVID-19 di Malaysia akan dimuatnaik ke laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my. Data akan dikemaskini pada jam 12:00 tengah malam setiap hari.

Jadual 1: Nilai Rt Mengikut Negeri Berdasarkan Kes Yang Dilaporkan Pada 25 Januari 2022

NEGERINILAI RT
Negeri Sembilan 1.13
Johor 1.10
Kedah1.09
WP Kuala Lumpur 1.07
Selangor 1.05
Pulau Pinang1.03
Melaka1.03
Sabah1.01
Pahang 1.01
Kelantan 1.00
Perak1.00
WP Putrajaya0.99
Terengganu0.83
WP Labuan0.00
Sarawak 0.00
Perlis0.00
MALAYSIA1.09

SITUASI SEMASA KLUSTER COVID-19 DALAM SEKTOR PENDIDIKAN

Sesi persekolahan di Malaysia telah bermula pada 9 dan 10 Januari 2022. Susulan itu, terdapat peningkatan kes COVID-19 dalam kalangan pelajar dan warga pendidikan berikutan peningkatan risiko penularan COVID-19 semasa perkumpulan ramai berlaku. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan status terkini kejadian kluster COVID-19 dalam sektor pendidikan sehingga 25 Januari 2022 (setakat jam 12:00 tengah hari).

Bermula 1 Januari 2022 sehingga 25 Januari 2022, terdapat sebanyak 107 kluster COVID-19 dalam kategori pendidikan yang telah melibatkan 4,633 kes. Peningkatan ketara dicatatkan selepas pembukaan sesi persekolahan pada tahun 2022 berbanding sesi persekolahan pada tahun 2021.

Pada Minggu Epidemiologi (ME) 1 tahun 2022, hanya terdapat tiga (3) kluster pendidikan direkodkan. Namun kenaikan kluster dilihat pada permulaan sesi sekolah pada ME ke-2 di mana 15 kluster telah direkodkan dan peningkatan sebanyak 313% pada ME ke-3.  Pada ME ke-4, sehingga 25 Januari 2022, sebanyak 26 lagi kluster pendidikan telah dilaporkan.

Secara keseluruhan, daripada 107 kluster pendidikan, kategori institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyumbang bilangan tertinggi iaitu sebanyak 56 kluster (52.3%) diikuti oleh kategori pendidikan lain (24.3%), kategori pendidikan tinggi (20.6%), dan institusi pendidikan swasta berdaftar KPM (2.8%). Perincian kategori kluster pendidikan adalah seperti di Gambarajah 1.

Daripada 4,633 keseluruhan kes kluster pendidikan, sebanyak 4,092 kes (88.3%) telah lengkap menerima vaksin COVID-19 dan 112 kes (2.4%) pula telah menerima dos penggalak. Majoriti kes yang dilaporkan hanya bergejala ringan (kategori 1 dan 2) iaitu 99.7% (4,621 kes), manakala hanya 0.2% (12 kes)  lagi adalah terdiri daripada kategori 3 dan 4 (rujuk Graf 2). Kesemua 12 kes tersebut kini berada dalam keadaan stabil dan dirawat di fasiliti kesihatan.

Berdasarkan hasil siasatan yang dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) ke atas kes dan kluster yang dilaporkan,  kejadian ini berpunca daripada:

  • Ketidakpatuhan SOP warga institusi pendidikan semasa di sekolah dan di luar waktu persekolahan formal terutamanya apabila berada di asrama;
  • Individu bergejala lewat dikesan dan masih lagi hadir ke kelas;
  • Murid yang dikuarantin di sekolah  tidak mematuhi arahan dan prosedur kuarantin;
  • Ruangan tumpuan ramai tidak dilakukan pembersihan dan disinfeksi secara berkala; dan
  • Sistem pengudaraan yang kurang memuaskan di kelas dan asrama.

KKM telah menggariskan beberapa garis panduan saringan COVID-19 bagi sektor pendidikan dalam Strategi Pengujian COVID-19 Kebangsaan. Sekolah rendah dan prasekolah pelbagai agensi perlu melakukan ujian pengesanan COVID-19 menggunakan RTK-Ag ke atas 10% daripada kohort murid yang hadir ke sekolah pada setiap minggu. Pengujian perlu dipantau oleh pihak sekolah dan PKD. Tujuan aktiviti ini diadakan adalah untuk mengesan awal kes COVID-19 dalam kalangan murid sekolah.

Berikut adalah laporan ujian pengesanan kohort 10% yang disediakan oleh KPM:

Melihat kepada peningkatan kes dan kluster sektor pendidikan, satu mesyuarat khas KKM bersama dengan KPM, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional (JPNIN), dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah diadakan pada 22 Januari 2022.

Antara cadangan penambahbaikan bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan pelajar dan warga pendidikan ialah:

  1. Pihak sekolah dinasihatkan untuk mematuhi sepenuhnya Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 yang dikeluarkan oleh KPM;
  2. Melakukan penilaian risiko dengan segera supaya pelajar yang dijangkiti COVID-19 dapat diasingkan dan tindakan segera dapat dilakukan ke atas kontak rapat;
  3. Pelajar perlu segera membuat laporan kepada guru, warden atau wakil pelajar, walaupun bergejala ringan seperti selesema;
  4. Pihak pengurusan institusi perlu menyediakan ruang yang bersesuaian bagi pengasingan kes COVID-19 dan kontak rapat;
  5. Individu yang layak untuk menerima vaksin COVID-19 dan dos penggalak adalah digalakkan untuk berbuat demikian;
  6. Ibu bapa juga diingatkan untuk memainkan peranan dalam memastikan hanya anak-anak yang sihat sahaja dihantar ke sekolah;
  7. Memastikan semua warga pendidikan mematuhi SOP yang ditetapkan oleh MKN dan KKM sepanjang masa;
  8. Pembersihan dan disinfeksi perlu kerap dilakukan terutama di permukaan yang kerap disentuh;
  9. Memastikan ventilasi di kelas, bilik asrama dan ruang-ruang tertutup dalam keadaan yang baik bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19; dan
  10. Keputusan ujian kendiri COVID-19 yang dilaksanakan oleh murid dengan bimbingan ibu bapa atau penjaga di rumah perlu dilaporkan kepada pihak sekolah.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

KKM ingin menasihati orang ramai agar terus mematuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan iaitu;

  • Elakkan 3S: (elakkan kawasan yang sesak, sempit, dan sembang dengan jarak yang dekat);
  • Amalkan 3W: (Amalkan Wash, Wear, and Warn);
  • Sentiasa memakai pelitup muka di kawasan awam yang tertutup. Pemakaian pelitup muka berganda adalah digalakkan;
  • Amalkan TRIIS (Trace, Report, Isolate, Inform, and, Seek) sebelum menghadiri aktiviti sosial atau sekiranya bergejala; dan
  • Dapatkan vaksin COVID-19 bagi mengurangkan risiko jangkitan yang serius dan bilangan kes kematian sekaligus membina imuniti kelompok.

Bagi yang langsung belum menerima vaksin namun tidak pernah dijangkiti COVID-19, anda kini berada dalam kumpulan paling berisiko mendapat jangkitan COVID-19. Nasihat KKM agar segeralah mendaftar dan mendapatkan vaksin COVID-19. Bagi yang telah mendaftar, KKM memohon agar anda hadir ke temu janji tersebut demi melindungi diri anda dan orang tersayang.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO. KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

26 Januari 2022 @ 6:45 petang