Press

KENYATAAN AKHBAR KPK HARI PENYAKIT TROPIKAL TERABAI (NTDs) SEDUNIA 2022: DENGGI DI MALAYSIA

HARI PENYAKIT TROPIKAL TERABAI (NTDs) SEDUNIA 2022: DENGGI DI MALAYSIA

30 JANUARI 2022

Sempena Sambutan Hari Penyakit Tropika Terabai (NTDs) Sedunia yang disambut pada 30 Januari 2022 ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menyeru semua pihak berkepentingan agar memberikan perhatian kepada ekuiti kesihatan dalam mengakhiri penyakit tropika terabai seperti penyakit denggi. Penyakit denggi adalah salah satu penyakit berjangkit yang mengancam Malaysia dan negara-negara beriklim tropika yang lain. Seiring dengan kepesatan pembangunan dunia dan globalisasi, beban kes denggi di seluruh dunia telah meningkat secara mendadak sepanjang empat dekad yang lalu. Peningkatan pergerakan penduduk dunia dan perubahan iklim dengan fenomena pemanasan global (global warming) ini telah menyumbang secara langsung kepada dinamik penularan demam denggi.

Sejak akhir-akhir ini, beberapa negara di kawasan beriklim sederhana telah melaporkan penularan tempatan penyakit demam denggi. Oleh yang demikian, langkah pengawalan denggi harus menjadi tanggungjawab bersama dan sebagai satu tindakan yang kolektif untuk mengurangkan penularan penyakit bawaan vektor nyamuk Aedes Aegypti ini. Selain itu, semua pihak yang berkepentingan perlu mempertingkatkan lagi usaha dan inisiatif dalam mencari alternatif yang sesuai dan mapan seperti vaksin denggi yang selamat dan ubat antivirus bagi mengurangkan morbiditi dan kematian yang disebabkan oleh penyakit denggi ini.

1. SITUASI DENGGI DI MALAYSIA

Pada tahun 2021, Malaysia melaporkan sebanyak 26,365 kes denggi. Jumlah tersebut menunjukkan penurunan sebanyak 70.8% berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak 90,304 kes. Kematian disebabkan demam  denggi juga didapati menurun daripada 145 kematian pada tahun 2020 kepada 20 kematian pada tahun 2021. Ini merupakan kali pertama  Kementerian Kesihatan merekodkan kes denggi dan kematian terendah sejak sedekad lalu. Faktor utama penurunan kes denggi tersebut masih belum dapat ditentukan, namun begitu denggi kekal sebagai ancaman kesihatan awam di Malaysia ketika pandemik COVID-19.

Berdasarkan data dan trend penyakit demam denggi sebelum ini, Bahagian Kawalan Penyakit, KKM telah mendapati terdapat lonjakan kes demam denggi pada tahun 2010, 2015 dan 2019. Wabak denggi di Malaysia dijangka akan mencatatkan peningkatan yang tinggi setiap empat hingga lima tahun kitaran. Oleh yang demikian, kes demam denggi dijangka akan meningkat semula pada 2024 atau 2025, dengan insiden dijangkakan yang lebih tinggi daripada jumlah kes yang dicatatkan pada 2019.

2. KEJAYAAN PROGRAM DENGGI DI MALAYSIA

Program denggi di Malaysia memberikan fokus kepada langkah-langkah kesihatan awam terutamanya dalam pengesanan awal kes denggi dan pengurusan vektor secara memandangkan buat masa ini belum ada mekanisme yang berkesan bagi mengatasi virus denggi yang boleh menyebabkan kematian ini.

Menyedari ancaman tersebut, Kerajaan telah mewartakan penyakit denggi di bawah undang-undang Malaysia sejak 1988 sebagai penyakit yang wajib dimaklumkan kepada pejabat-pejabat daerah bagi memastikan respons yang pantas bagi pengesanan kes dan pengurusan vektor secara bersepadu. KKM juga telah menambah baik kaedah pemakluman kepada sistem berasaskan dalam talian, iaitu e-Notifikasi dan eDengue. Ini adalah bagi membolehkan pengawasan dilaksanakan dengan pantas serta tindakan yang segera boleh diambil oleh petugas-petugas di pejabat kesihatan daerah.

KKM juga telah mengenal pasti penggunaan meluas sistem maklumat penjagaan kesihatan secara digital adalah kunci utama bagi memastikan keperluan kesihatan negara dipenuhi dengan lebih berkesan. Sehubungan dengan itu, Bahagian Kawalan Penyakit, KKM dan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) telah mengambil langkah proaktif untuk membangunkan sistem pemetaan risiko denggi dan pengurusan wabak untuk memudahkan perancangan berkesan aktiviti kawalan vektor di lapangan. Dengan kerjasama ini, pakar-pakar daripada MYSA telah menyumbang kepada penambahbaikan dan pengukuhan perkhidmatan kesihatan awam di Malaysia. Hasil daripada integrasi teknologi penderiaan jauh (remote sensing technology) bersama aplikasi sains data telah membolehkan pemantauan temporospatial yang tepat terutamanya terhadap beban kes denggi serta perancangan aktiviti kawalan vektor di lapangan.

Kerajaan juga telah menubuhkan Pasukan Petugas Khas Denggi Negara yang terdiri daripada tujuh kementerian dan agensi sejak bulan Julai 2014 yang bertujuan untuk menggerakkan agensi dan masyarakat dalam menjalankan aktiviti pencegahan dan kawalan denggi. Pelbagai aktiviti telah dijalankan seperti Gotong-royong Mega dan operasi penguatkuasaan secara kolaboratif di antara Kementerian Kesihatan (KKM), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), pihak berkuasa tempatan, dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH).

Dari aspek pengurusan vektor, Malaysia adalah negara kedua di dunia selepas Australia yang mengendalikan kawalan denggi dengan memanfaatkan kebaikan nyamuk Wolbachia sejak 2019 berikutan penemuan positif daripada kajian tempatan. KKM telah bekerjasama dengan Universiti Glasgow dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) untuk membiak nyamuk Wolbachia sebelum dilepaskan ke kawasan sasaran. Setakat ini, sebanyak 22 lokaliti di Malaysia telah dipilih untuk menggunakan pendekatan ini dan KKM telah mendapati terdapat pengurangan yang ketara kes-kes denggi di lokaliti tersebut.

Penglibatan masyarakat juga dikenal pasti sebagai elemen yang penting dalam membendung pembiakan nyamuk dan seterusnya penularan penyakit denggi. Pelbagai sesi penglibatan masyarakat telah diadakan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang ancaman denggi dan memperkasakan peranan individu dalam pencegahan denggi di peringkat isi rumah. Bagi kawasan-kawasan berisiko tinggi, pasukan COMBI yang terdiri daripada sukarelawan kesihatan tempatan ditubuhkan untuk menyelaraskan inisiatif pencegahan denggi di kawasan kejiranan untuk mencegah penyebaran wabak denggi. Aktiviti Gotong-Royong Mega diadakan dua kali setahun bagi menggalakkan penyertaan masyarakat dalam pengurangan punca pembiakan dan mengekalkan persekitaran bebas Aedes.

3. CABARAN DALAM MENGENDALIKAN DENGGI

Tidak seperti kebanyakan penyakit berjangkit yang lain, tiada rawatan khusus seperti antivirus untuk penyakit denggi. Walaupun pada masa ini terdapat vaksin denggi di pasaran, namun Malaysia tidak memenuhi kriteria yang telah disarankan oleh WHO yang menetapkan kadar sero-prevalensi denggi sekurang-kurangnya 80% pada usia sembilan (9) tahun untuk dipertimbangkan di bawah program imunisasi kebangsaan. Selain itu, tiada alat domestik yang benar-benar berkesan untuk melindungi masyarakat semasa waktu puncak nyamuk Aedes menggigit, contohnya kelambu, vest dan sebagainya.

4. HALATUJU UNTUK DENGGI DI MALAYSIA

Bahagian Kawalan Penyakit, KKM telah bekerjasama dengan dua rakan kongsi antarabangsa untuk melaksanakan dua projek berasingan, iaitu Sistem Amaran Awal, Amaran dan Tindak Balas (EWARS) dan Sistem Ramalan Denggi Berasaskan Satelit Model (DMOSS). Kerjasama ini bertujuan untuk meneroka prospek potensi untuk menggabungkan amaran awal dan ciri-ciri ramalan dalam sistem pengawasan denggi kebangsaan untuk meningkatkan kesiapsiagaan denggi dan aktiviti pencegahan denggi yang lebih intensif. Penurunan kes denggi di seluruh negara telah membuktikan bahawa program pencegahan yang dirangka dengan anjakan paradigma terbukti lebih berkesan berbanding pendekatan secara reaktif yang digunakan sebelum ini.  

5. MESEJ KEPADA MASYARAKAT

Kementerian Kesihatan Malaysia ingin menasihati orang ramai tentang tiga komponen penting untuk mencegah penularan denggi di peringkat isi rumah:

i. Penghapusan tempat pembiakan nyamuk Aedes yang berpotensi melalui aktiviti pembersihan yang kerap dan penggunaan larvicide dalam bekas air yang tidak bertutup;

ii. Perlindungan daripada gigitan nyamuk mengikut kapasiti individu, seperti penggunaan aerosol dalam ruangan, penggunaan ubat nyamuk semasa aktiviti luar, dan pengambilan langkah berjaga-jaga tambahan semasa perjalanan ke kawasan wabak denggi; dan

iii. Mendapatkan rawatan awal sekiranya individu mengalami sebarang tanda-tanda dan simptom yang menunjukkan demam denggi seperti demam, sakit otot dan sendi, sakit belakang dan ruam.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

31 Januari 2022 @ 9:00 pagi