Blog

Kenyataan Media YBMK 4 Februari 2022 – Hari Kanser Sedunia

Hari Kanser Sedunia disambut di seluruh dunia pada 4 Februari setiap tahun untuk meningkatkan kesedaran serta mengajak orang ramai mengambil bahagian dalam usaha mencegah dan membendung penyakit kanser yang kian meningkat. Tema sambutan Hari Kanser Sedunia pada tahun ini ialah Close the Care Gap atau Rapatkan Jurang Penjagaan Kanser.

Kanser merupakan satu daripada penyakit tidak berjangkit (non-communicable disease atau NCD) yang penting dan merupakan penyebab kematian kedua terpenting di dunia, dengan jumlah kes dan kematian yang meningkat setiap tahun. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan peningkatan 93% atau 19.3 juta kes baharu dikesan pada tahun 2020 berbanding 10 juta kes pada tahun 2000. Jumlah kematian akibat kanser turut meningkat bagi tempoh dua dekad ini iaitu dari 7 juta kepada 10 juta, iaitu peningkatan sebanyak 42.9%.

Di Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan peningkatan kes kanser sebanyak 11% (115,238 kes)bagi tempoh 2012-2016 berbanding 103,507 kes bagi tempoh2007-2011. Kematian akibat kanser merupakan sebab utama kematian di hospital-hospital swasta (34.95%) dan sebab kematian keempat di hospital KKM (11.56%). Kanser juga merupakan antara sepuluh sebab utama kemasukan ke hospital di kedua-dua hospital KKM (5.17%) dan hospital swasta (5.37%).

Di Malaysia, tiga jenis kanser yang paling kerap berlaku dalam kalangan lelaki adalah kanser kolorektal atau usus besar (16.9%), kanser paru-paru (14.8%) dan kanser prostat (8.1%). Dalam kalangan wanita pula adalah kanser payudara (33.9%) dikuti dengan kanser kolorektal (10.7%) dan kanser serviks (6.2%). Kadar kelangsungan hidup relatif bagi pesakit-pesakit kanser setelah lima tahun disahkan menghidap kanser adalah 11.0% untuk kanser paru-paru, 51.1% kanser kolorektal, 51.6% kanser serviks, 66.8% dan 73.0% kanser payudara. Sebanyak 63.7% dari keseluruhan kanser dikesan pada tahap lewat (tahap III dan IV). Tahap kanser semasa penyakit ini dikesan menyumbang kepada kadar kelangsungan hidup pesakit-pesakit kanser.

Kanser bukan sahaja memberi kesan negatif kepada pesakit, tetapi ia turut memberi kesan negatif termasuk psikososial dan ekonomi kepada keluarga serta pembangunan ekonomi negara. Secara amnya, faktor-faktor risiko kanser adalah serupa dengan faktor risiko penyakit NCD yang lain. Pengesanan awal serta rawatan yang cepat dan berkesan memberi peluang yang baik kepada pesakit untuk sembuh.

Dalam pada itu, WHO menyatakan satu pertiga daripada kematian akibat kanser adalah dikaitkan dengan pengambilan tembakau (termasuk merokok), berat badan berlebihan, pengambilan alkohol secara berlebihan, kurang pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan, serta tidak aktif secara fizikal. Untuk makluman, pengambilan tembakau merupakan faktor risiko paling penting untuk kejadian kanser dan ia menyumbang kepada 22% kes kematian akibat kanser. Anggaran kos untuk merawat penyakit kanser paru-paru akibat merokok adalah sebanyak RM 132.7 juta.

Menyedari perkara ini, KKM kini sedang meneliti pelaksanaan larangan merokok dan pemilikan sebarang produk merokok kepada generasi akan datang melalui peruntukan berkaitan Generational End Game di dalam akta baharu iaitu Akta Kawalan Tembakau dan Merokok yang akan dibentangkan nanti. Pelaksanaan ini diharap dapat mengurangkan jumlah perokok baharu dan dengan itu, KKM boleh menumpukan perhatian kepada kos beban rawatan pesakit sedia ada.

Dari aspek penjagaan dan rawatan untuk pesakit kanser di Malaysia, banyak juga  kemajuan yang telah dicapai. KKM menyediakan perkhidmatan rawatan dan penjagaan yang terbaik serta berkualiti untuk pesakit-pesakit kanser. Namun, tidak dinafikan wujud ketidaksamaan dalam penjagaan dan rawatan kanser di negara ini. Kebanyakkan perkhidmatan tertumpu di pusat-pusat bandar dan sukar untuk dicapai oleh pesakit yang tinggal jauh dari bandar atau pedalaman.

Kerajaan sebelum ini melalui KKM, telah memperkenalkan program PeKa B40 bagi menampung keperluan kesihatan golongan berpendapatan rendah. Ia merangkumi saringan kanser tertentu, bantuan alat perubatan, insentif melengkapkan rawatan kanser dan insentif tambang pengangkutan. Walau bagaimanapun, dengan beban penyakit NCD, termasuklah kanser, yang terus meningkat, kita memerlukan satu reformasi sistem kesihatan yang kalis masa hadapan dan ia akan turut merangkumi reformasi sistem pembiayaan kesihatan (healthcare financing). Sehubungan itu satu Kertas Putih Kementerian Kesihatan Malaysia akan disediakan untuk dibentangkan di Parlimen bagi mendapat sokongan kedua-dua Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Sempena sambutan hari Kanser Sedunia pada tahun ini, saya menyeru kepada semua supaya sentiasa menjadikan amalan cara hidup sihat dan menjaga kesihatan diri sebagai satu daripada agenda utama dalam kehidupan kita seharian. Ayuh berganding bahu dan beri sokongan padu kepada KKM untuk mengurangkan beban kanser yang kian meningkat dan bersama-sama menangani jurang penjagaan kanser di negara kita.

Sekian, terima kasih.

KHAIRY JAMALUDDIN

MENTERI KESIHATAN MALAYSIA

4 Februari 2022

Categories: Blog, Non-communicable disease, Press

Tagged as: