AKTIVITI PENGUATKUASAAN SECARA BERSEPADU BERSAMA JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merujuk kepada satu aktiviti penguatkuasaan secara bersepadu bersama Jabatan Imigresen Malaysia yang telah diadakan pada 21 Februari 2022 ke atas pusat-pusat kecantikan di kawasan sekitar Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang. KKM melalui Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS), Bahagian Amalan Perubatan bertindak melalui maklumat yang disalurkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia berkenaan perkara tersebut setelah mendapati perkhidmatan rawatan estetik yang disediakan melibatkan penggunaan peralatan-peralatan perubatan dan ubat-ubatan berjadual.
Aktiviti penguatkuasaan ini turut disertai oleh Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta, Jabatan Kesihatan WP Kuala Lumpur & Putrajaya (CKAPS KL), Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (CKAPS Selangor), Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (CKAPS Pulau Pinang) dan Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (CKAPS Negeri Sembilan). Aktiviti ini telah dilakukan ke atas empat (4) premis melibatkan dua (2) di WP Kuala Lumpur, satu (1) di Selangor dan satu (1) premis di Pulau Pinang.
Ketika serbuan dilakukan, KKM telah menemui beberapa peralatan perubatan serta ubat-ubat yang disyaki digunakan dalam rawatan estetik yang hanya boleh digunakan oleh seorang pengamal perubatan yang berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia. Peralatan pergigian yang disyaki digunakan untuk tujuan rawatan telah turut ditemui di premis-premis berkenaan.
Siasatan awal KKM mendapati premis-premis tersebut telah menyediakan suatu rawatan estetik yang hanya boleh disediakan di fasiliti-fasiliti kesihatan yang berdaftar/berlesen dengan KKM dan dijalankan oleh pengamal perubatan yang berkelayakan.
Kes disiasat bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 [Akta 586] kerana disyaki menyediakan sebuah Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (KPJKS) yang tidak berdaftar atau berlesen selaras dengan ketetapan Seksyen 3 dan/atau Seksyen 4, Akta 586 dan boleh disabitkan kesalahan bawah Seksyen 5, Akta yang sama. Mana-mana orang yang didapati melakukan kesalahan di bawah seksyen ini, boleh didenda tidak melebihi tiga ratus ribu ringgit (RM300,000) atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam (6) tahun atau kedua-duanya. Manakala, bagi suatu kesalahan yang dilakukan oleh suatu pertubuhan perbadanan, perkongsian atau pertubuhan boleh didenda sehingga lima ratus ribu ringgit (RM500,000).
Oleh itu, Kementerian menasihatkan orang awam yang berhasrat untuk mendapatkan rawatan estetik, supaya mendapatkan rawatan di KPJKS yang berdaftar atau berlesen bawah Akta 586 melalui khidmat pengamal perubatan yang mempunyai Letter of Credentialing and Previleging (LCP) bagi memastikan perkhidmatan jagaan kesihatan yang diterima adalah selamat dan berkualiti.
Sekian, terima kasih.
TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN
22 FEBRUARI 2022
Categories: Patient Safety, Press