Press

Kenyataan Akhbar KPK 23 Februari 2022 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19)

SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT CORONAVIRUS 2019 (COVID-19) DI MALAYSIA

23 FEBRUARI 2022

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa pada 22 Februari 2022, penggunaan fasiliti kesihatan khusus bagi kes COVID-19:

● Katil Kes Kritikal atau Unit Rawatan Rapi (ICU): Enam (6) negeri iaitu Kelantan (78%), Johor (69%), WP Kuala Lumpur (62%), Melaka (54%), Perlis (45%), dan Selangor (45%) menunjukkan peratusan pengisian ≥ 50%;
● Katil Bukan ICU: 11 negeri iaitu Perlis (114%), Kelantan (108%), Selangor (99%), Perak (95%), WP Putrajaya (74%), Johor (72%), WP Kuala Lumpur (72%), Sabah (70%), Pahang (68%), Terengganu (54%), dan Pulau Pinang (51%) menunjukkan peratusan pengisian ≥ 50%;
● Katil Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC): Empat (4) negeri iaitu Perak (72%), Selangor (70%), Melaka (55%), dan Sabah (51%) menunjukkan peratusan pengisian ≥ 50%; dan
● Pesakit COVID-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) meningkat kepada 180 pesakit dan pesakit-pesakit ini menggunakan 37% daripada keseluruhan ventilator untuk pesakit COVID-19 dan bukan COVID-19.

Jadual 1: Penggunaan Katil COVID-19 Bagi ICU dan Bukan ICU di Hospital dan PKRC Pada 22 Februari 2022
Jadual 2: Penggunaan Katil Kes COVID-19 dan Bukan COVID-19 di Hospital Awam Pada 22 Februari 2022

Jika dibandingkan dengan data kapasiti keseluruhan katil di fasiliti kesihatan awam di Jadual 2, sememangnya terdapat perbezaan dengan data di Jadual 1. Ini kerana data kapasiti dan penggunaan di Jadual 2 adalah termasuk juga untuk kes COVID-19 dan kes bukan COVID-19.

Secara keseluruhannya, setiap negeri telah bersiapsiaga dengan pelan tindak balas cepat sekiranya berlaku peningkatan kes yang memerlukan kemasukan ke PKRC, hospital, dan ICU.

Jadual 3: Bilangan Kemasukan Pesakit Harian COVID-19 Ke Hospital Awam Mengikut Kategori & Negeri
pada 22 Februari 2022

KKM ingin menjelaskan bahawa terdapat perbezaan di antara data harian kemasukan kes COVID-19 ke hospital berbanding kes COVID-19 kategori 1 hingga 5 yang baharu didiagnosa pada setiap hari. Ini memandangkan keadaan klinikal pesakit yang dinamik dan mungkin merosot atau bertambah baik sepanjang dijangkiti COVID-19. Misalnya, semasa didiagnosa, mungkin pesakit tersebut berada pada kategori 2A dan diisolasi di rumah melalui Home Surveilance Order (HSO) digital, namun status kesihatan pesakit boleh merosot ke kategori 3 atau lebih dan memerlukan kemasukan ke hospital.

Pada masa yang sama, terdapat juga kes-kes COVID-19 berisiko tinggi dari kategori 1 dan 2 yang memerlukan kemasukan ke PKRC dan hospital sebagai langkah berjaga-jaga.

Pada 22 Februari 2022, kes COVID-19 yang dimasukkan ke hospital adalah sebanyak 1,520 kes (Rajah 1). Daripada 1,520 kes ini:
• 545 kes (35.9 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; dan
• 975 kes (64.1 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Rajah 1: Bilangan Kemasukan Pesakit Harian COVID-19 Berdasarkan Kategori Ke Hospital

Selain itu, KKM ingin memaklumkan status terkini kes COVID-19 di Malaysia pada 22 Februari 2022:
• Kes sembuh: 19,037 kes [2,974,441 kes kumulatif (90.9%)];
• Kes baharu : 27,179 kes (3,273,958 kes kumulatif);
• Kes import : 120 kes [64 warganegara (53.3%); 56 bukan warganegara (46.7%)];
• Kes tempatan : 27,059 kes [26,381 warganegara (97.5%); 678 bukan warganegara (2.5%)];
• Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU): 286 kes (99 kes disahkan COVID-19; 187 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan); dan
• Kes memerlukan bantuan pernafasan: 180 kes (58 kes disahkan COVID-19; 122 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan).

PERINCIAN KATEGORI KES COVID-19

Daripada 27,179 kes harian yang dilaporkan pada 22 Februari 2022:
• 172 kes (0.63 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; dan
• 27,007 kes (99.37 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

Pecahan kategori kes:
• Kategori 1: 7,792 kes (28.67%);
• Kategori 2: 19,215 kes (70.70%);
• Kategori 3: 102 kes (0.37%);
• Kategori 4: 43 kes (0.16%); dan
• Kategori 5: 27 kes (0.10%).

Daripada 172 kes COVID-19 kategori 3, 4, dan 5 yang baharu dilaporkan pada 22 Februari 2022:
• 51 kes (29.65%) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi;
• 91 kes (52.91%) telah menerima dua (2) dos vaksin COVID-19 tetapi belum menerima dos penggalak (booster);
• 30 kes (17.44%) telah menerima dos penggalak (booster);
• 67 kes (38.95%) berumur 60 tahun dan ke atas;
• 93 kes (54.07%) mempunyai komorbid; dan
• 6 kes (3.49%) ibu mengandung.

KLUSTER COVID-19
• Jumlah kluster: 6,732 kluster;
• Jumlah kluster baharu: 9 kluster;
• Jumlah kluster yang telah tamat: 6,227 kluster; dan
• Jumlah kluster aktif: 505 kluster.

NILAI RT
Perincian nilai RT mengikut negeri adalah seperti di Jadual 4. Maklumat terperinci lain berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan COVID-19 di Malaysia akan dimuatnaik ke laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my . Data akan dikemaskini pada jam 12:00 tengah malam setiap hari.

Jadual 4: Nilai RT Mengikut Negeri Berdasarkan Kes Yang Dilaporkan Pada 21 Februari 2022

KEBERKESANAN DOS VAKSIN PENGGALAK (BOOSTER) DALAM MENGHADAPI GELOMBANG OMICRON

Program Imunisasi COVID-19 Dos Penggalak (PICK-B) telah dimulakan secara rasmi sejak 1 Oktober 2021, di mana sehingga 22 Februari 2022, 14,176,241 dos telah diberikan kepada individu dewasa yang layak (60.3% daripada penduduk dewasa di Malaysia).


Rajah 2-4 di bawah menunjukkan data terkini dari empat (4) minggu yang lepas (26 Januari 2022 sehingga 22 Februari 2022) bagi kes COVID-19 kategori 3, 4 dan 5 (bagi setiap 100,000 penduduk), serta kes kematian akibat COVID-19 bagi setiap 100,000 penduduk. Daripada rajah-rajah ini dapat disimpulkan bahawa:


• Kumpulan individu yang tidak divaksinasi adalah paling berisiko untuk dijangkiti COVID-19 yang serius (terutama pada kategori 4 dan 5) dan juga paling berisiko untuk kematian akibat jangkitan COVID-19. Ini dapat dilihat pada ketiga-tiga carta dan hampir semua kumpulan umur;
• Kumpulan individu yang telah menerima vaksin COVID-19 dos penggalak (booster) adalah paling terlindung, di mana dapat dilihat jumlah kes yang lebih rendah dijangkiti COVID-19 yang serius (kategori 3, 4, dan 5) dan juga kematian akibat COVID-19 di kalangan penerima dos penggalak berbanding kumpulan yang tidak divaksinasi (non-vaccinated) dan kumpulan yang lengkap divaksinasi tetapi belum menerima dos penggalak (vaccinated but unboosted); dan
• Vaksin dos penggalak dapat memberi perlindungan yang terbaik daripada kematian dan gejala serius COVID-19.

Rajah 2: Kes COVID-19 Kategori 3 Bagi Setiap 100,000 Penduduk Mengikut Status Vaksinasi

Rajah 3: Kes COVID-19 Kategori 4 dan 5 Bagi Setiap 100,000 Penduduk Mengikut Status Vaksinasi

Rajah 4: Kes Kematian Akibat COVID-19 Bagi Setiap 100,000 Penduduk Mengikut Status Vaksinasi

Oleh itu KKM ingin menyeru semua individu dewasa yang berkelayakan namun belum menerima vaksin dos penggalak (booster) untuk segera mendapatkannya dari pusat pemberian vaksin (PPV) yang terdekat secara walk-in. Semak PPV di https://vaksincovid.protecthealth.com.my/find. Bagi yang telah mendaftar, KKM memohon agar anda hadir ke slot janji temu tersebut. Lindungi diri dan orang tersayang. Dapatkan dos penggalak (booster).

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

KKM ingin menasihati orang ramai agar terus mematuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan iaitu;
• Elakkan 3S: (elakkan kawasan yang sesak, sempit, dan sembang dengan jarak yang dekat);
• Amalkan 3W: (Amalkan Wash, Wear, and Warn);
• Sentiasa memakai pelitup muka di kawasan awam yang tertutup. Pemakaian pelitup muka berganda adalah digalakkan;
• Amalkan TRIIS (Trace, Report, Isolate, Inform, and Seek) sebelum menghadiri aktiviti sosial atau sekiranya bergejala;
• Jalani segera ujian COVID-19 sekiranya anda bergejala;
• Individu positif COVID-19 kategori 1 dan 2A dan bukan berisiko tinggi (berumur bawah 60 tahun dan tidak mempunyai komorbid), tidak perlu hadir ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC), sebaliknya hanya perlu melakukan pemantauan kendiri melalui Health Assessment Tool (HAT) dalam aplikasi MySejahtera. SMS atau panggilan daripada perkhidmatan Automated Voice Recording (robocall) akan diterima sekiranya belum atau tidak menjalankan pemantauan kendiri setiap hari;
• Individu yang perlu hadir ke CAC (senarai penuh lokasi, nombor telefon dan waktu operasi boleh didapatkan di https://covid-19.moh.gov.my/hotline) terdekat untuk penilaian lanjut akan dimaklumkan melalui MySejahtera atau dihubungi CAC melalui SMS atau panggilan telefon;
• Individu yang positif COVID-19 kategori 2B dan ke atas (sama ada berisiko tinggi atau tidak) atau mempunyai gejala yang semakin teruk, dikehendaki hadir ke CAC atau hospital terdekat bagi pemeriksaan lanjut tanpa menunggu panggilan telefon daripada CAC ; dan
• Tempoh isolasi bagi individu positif COVID-19 yang telah lengkap vaksinasi termasuk yang telah mendapat dos penggalak (booster) adalah tujuh (7) hari, manakala tempoh isolasi bagi individu positif COVID-19 yang tidak lengkap vaksinasi atau tiada vaksinasi adalah selama 10 hari. Tempoh isolasi terkini tidak mengambil kira sama ada bergejala atau tidak bergejala.


Individu yang belum menerima vaksin dan tidak pernah dijangkiti COVID-19 adalah kumpulan paling berisiko mendapat jangkitan COVID-19. KKM menasihatkan individu ini agar segera mendaftar dan mendapatkan vaksin COVID-19. Bagi yang telah mendaftar, KKM memohon agar anda hadir ke temu janji tersebut demi melindungi diri dan orang tersayang.


KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO. KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
23 Februari 2022 @ 10.00 pagi.

Lampiran 1

Jadual 5: Perbandingan Gejala COVID-19 Kategori 2A (Ringan) dan 2B (Sederhana)

Categories: Press

Tagged as: