Kementerian Kesihatan Kesihatan (KKM) ingin memaklumkan bahawa mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-370 yang telah bersidang pada hari ini, 3 Mac 2022, bersetuju memberikan kelulusan bersyarat bagi penggunaan vaksin CoronaVac Suspension for Injection COVID-19 Vaccine (Vero Cell), Inactivated keluaran Sinovac Life Sciences Co. Ltd., China dan Pharmaniaga Lifescience Sdn. Bhd., Malaysia kepada golongan yang berumur 5 tahun hingga 11 tahun. CoronaVac sebelum ini telah diluluskan pendaftaran bersyarat bagi penggunaan dalam kalangan individu berumur 12 tahun dan ke atas. Ini merupakan vaksin COVID-19 kedua yang diluluskan untuk penggunaan bagi golongan kanak-kanak, di mana sebelum ini pada 6 Januari 2022 kelulusan telah diberikan kepada vaksin Comirnaty untuk vaksinasi kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun.
KKM ingin memaklumkan bahawa kelulusan pendaftaran bersyarat ini masih memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau serta dinilai secara berterusan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa. Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) bagi vaksin tersebut kekal positif.
KKM juga sentiasa komited untuk mempertingkatkan akses rakyat kepada produk vaksin bagi tujuan pencegahan penularan COVID-19 di Malaysia, dengan memastikan ia dinilai dengan sewajarnya berdasarkan aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan.
TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
3 MAC 2022
Categories: Press