Communicable disease

Kenyataan Akhbar KPK 1 April 2022 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19)

SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT CORONAVIRUS 2019 (COVID-19) DI MALAYSIA

1 APRIL 2022

PENGGUNAAN KAPASITI KATIL COVID-19 DI HOSPITAL DAN PUSAT KUARANTIN DAN RAWATAN COVID-19 BERISIKO RENDAH (PKRC)

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa pada 31 Mac 2022, penggunaan fasiliti kesihatan khusus bagi kes COVID-19:

  • Katil Kes Kritikal atau Unit Rawatan Rapi (ICU): (Tiga) 3 negeri iaitu WP Kuala Lumpur (57%), Perlis (55%), dan Selangor (50%) menunjukkan peratusan pengisian ≥ 50% (Jadual 1);
  • Katil Bukan ICU: Dua (3) negeri iaitu WP Putrajaya (96%), Selangor (63%), dan WP Kuala Lumpur (50%) menunjukkan peratusan pengisian ≥ 50% (Jadual 1);
  • Katil PKRC: Tiada negeri yang menunjukkan peratusan pengisian ≥ 50% (Jadual 1) dan;
  • Pesakit COVID-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) menurun kepada 164 pesakit dengan peratusan penggunaan ventilator 19%.

Terdapat perbezaan antara Jadual 1 dan Jadual 2  di mana data kapasiti dan penggunaan di Jadual 2 adalah juga termasuk untuk kes COVID-19 dan kes bukan COVID-19.

KKM ingin menjelaskan bahawa terdapat perbezaan di antara data harian kemasukan kes COVID-19 ke hospital (Jadual 3) berbanding kes COVID-19 kategori 1 hingga 5 yang baharu didiagnosa pada setiap hari. Ini memandangkan keadaan klinikal pesakit yang dinamik dan mungkin merosot atau bertambah baik sepanjang dijangkiti COVID-19.

Pada masa yang sama, terdapat juga kes-kes COVID-19 berisiko tinggi dari kategori 1 dan 2 yang memerlukan kemasukan ke PKRC dan hospital sebagai langkah berjaga-jaga.

Pada 31 Mac 2022, sebanyak 750 kes COVID-19 dimasukkan ke hospital dengan kategori berikut (Rajah 1):

  • 322 kes (42.9 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; dan
  • 428 kes (57.1 peratus) adalah kategori 1 dan 2.

Selain itu, KKM ingin memaklumkan status terkini kes COVID-19 di Malaysia pada 31 Mac 2022:

  • Kes sembuh: 18,253 kes [3,960,082 kes kumulatif (94.2%)];
  • Kes baharu: 18,560 kes (4,201,919 kes kumulatif);
  • Kes import: 187 kes [175 warganegara (93.6%); 12 bukan warganegara (6.4%)];
  • Kes tempatan: 18,373 kes [17,550 warganegara (95.5%); 823 bukan warganegara (4.5%)];
  • Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU): 267 kes (128 kes disahkan COVID-19; 139 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan); dan
  • Kes memerlukan bantuan pernafasan: 164 kes (79 kes disahkan COVID-19; 85 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan).

PERINCIAN KATEGORI KES COVID-19

Daripada 18,560 kes harian yang dilaporkan pada 31 Mac 2022:

  • Kategori 1: 9,473 kes (51.04%);
  • Kategori 2: 8,962 kes (48.29%);
  • Kategori 3: 47 kes (0.25%);
  • Kategori 4: 37 kes (0.20%); dan
  • Kategori 5: 41 kes (0.22%).

Daripada 125 kes COVID-19 kategori 3, 4, dan 5 yang baharu dilaporkan pada 31 Mac 2022:

  • 34 kes (27.20%) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi;
  • 50 kes (40.00%) telah menerima dua (2) dos vaksin COVID-19 tetapi belum menerima dos penggalak (booster);
  • 41 kes (32.80%) telah menerima dos penggalak (booster);
  • 67 kes (53.60%) berumur 60 tahun dan ke atas; dan
  • 66 kes (52.80%) mempunyai komorbid.

KLUSTER COVID-19

  • Jumlah kluster: 6,932 kluster;
  • Jumlah kluster baharu:Tiada;
  • Jumlah kluster yang telah tamat: 6,734 kluster; dan
  • Jumlah kluster aktif: 198 kluster.

NILAI RT

Perincian nilai RT mengikut negeri adalah seperti di Jadual 4. Maklumat terperinci lain berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan COVID-19 di Malaysia akan dimuatnaik ke laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my. Data akan dikemaskini pada jam 12:00 tengah malam setiap hari.

Jadual 4: Nilai RT mengikut negeri berdasarkan kes yang dilaporkan pada 31 Mac 2022

NEGERINILAI RT
Selangor 1.06
Perak 0.88
Sarawak 0.86
Melaka 0.86
WP Kuala Lumpur 0.84
Negeri Sembilan 0.81
WP Putrajaya0.80
Pulau Pinang 0.78
Terengganu0.77
Pahang 0.76
Johor 0.75
WP Labuan0.75
Perlis 0.73
Kedah0.72
Kelantan 0.67
Sabah 0.64
MALAYSIA0.87

FASA PERALIHAN KE ENDEMIK

KKM ingin menjelaskan bahawa istilah endemik, epidemik, dan pandemik adalah antara istilah dalam bidang kesihatan awam bagi menggambarkan keseriusan kadar penyebaran sesuatu penyakit, terutamanya penyakit berjangkit. Pandemik adalah kejadian penyakit dengan bilangan kes melebihi kadar biasa yang berlaku di seluruh dunia dan melibatkan populasi yang besar, kebiasaannya disebabkan oleh jangkitan penyakit baharu (novel); contohnya, Pandemik COVID-19, Pandemik Plague (kurun ke-14), Pandemik Influenza-Spanish Flu (1918-1919), dan Influenza H1N1 (2009). Istilah endemik pula merujuk kepada kejadian penyakit yang sentiasa wujud dalam masyarakat atau sesuatu tempat tetapi pada kadar yang stabil; contohnya Demam Denggi di lebih 100 negara termasuk Malaysia.

Pada 1 April 2022, Malaysia memasuki fasa peralihan ke endemik. Hal ini dapat dicapai susulan kejayaan program vaksinasi COVID-19 dan sistem perkhidmatan kesihatan yang berada pada tahap yang terkawal. Pengisytiharan Kawasan Jangkitan Tempatan masih lagi dikuatkuasakan di seluruh Malaysia di bawah Seksyen 11 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] sehingga 30 Jun 2022. Selain daripada penguatkuasaan Akta 342 semasa dalam tempoh fasa peralihan ke endemik ini, langkah-langkah kawalan dan pencegahan jangkitan COVID-19 juga dilaksanakan di bawah peruntukan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) (Fasa Peralihan Ke Endemik) 2022 [P.U.(A) 83/2022] yang telah diwartakan pada 31 Mac 2022.

Protokol dan arahan pencegahan dan kawalan tersebut diperincikan dalam prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan mulai 1 April 2022. SOP yang telah dipermudahkan daripada 181 SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) ini disokong oleh sembilan (9) garis panduan yang menjelaskan risiko jangkitan, penilaian risiko, serta tindakan pencegahan yang perlu diambil oleh individu, pengembara, majikan, dan pihak bertanggungjawab ke atas premis yang diperjelaskan di bawah tajuk: 

  1. Memakai pelitup muka di tempat awam;
  2. Menguruskan kes yang disyaki atau disahkan mengikut garis panduan KKM;
  3. Menjaga penjarakan fizikal sekiranya boleh;
  4. Memastikan pengudaraan dan sistem ventilasi yang baik;
  5. Menjaga kebersihan tangan;
  6. Memastikan kebersihan premis;
  7. Melakukan ujian pengesanan COVID-1  berdasarkan National Testing Strategy (NTS);
  8. Mematuhi keperluan vaksinasi untuk aktiviti tertentu;
  9. Memastikan waktu operasi mengikut ketetapan lesen atau permit yang dibenarkan; dan
  10. Menggunakan check-in MySejahtera atau MySejahtera Trace untuk membantu pengesanan kontak.

Sebagaimana sedia maklum, kadar kebolehjangkitan varian Omicron adalah lebih tinggi berbanding varian Delta dan kebanyakan pesakit mengalami gejala yang lebih ringan, di mana jumlah kes dengan komplikasi teruk adalah rendah. Keadaan ini disumbangkan oleh tahap imuniti yang tinggi terhadap virus SARS-CoV-2 pada seseorang hasil daripada vaksinasi COVID-19 atau imuniti semulajadi selepas jangkitan COVID-19. 

Berbanding dengan gelombang varian Delta yang berlaku dari penghujung Jun 2021 hingga Oktober 2021, gelombang varian Omicron yang bermula dari Januari 2022 hingga kini menunjukkan kadar kematian, kemasukan ke ICU, dan penggunaan alat bantuan pernafasan yang lebih rendah meskipun terdapat peningkatan jumlah pada kes harian (decoupling effect) (Rajah 2).

Walaupun liputan vaksinasi COVID-19 dalam kalangan individu dewasa di Malaysia telah mencapai lebih 90%, program kawalan penyakit yang mantap melalui intervensi kesihatan awam masih perlu diteruskan untuk mengurangkan risiko jangkitan, morbiditi, dan kematian terutamanya bagi golongan yang berisiko tinggi.

PERSEDIAAN MEMASUKI FASA PERALIHAN KE ENDEMIK

Semasa fasa peralihan ke endemik, masyarakat perlu belajar untuk hidup bersama virus COVID-19 atau “Living with COVID-19” dalam keadaan yang paling kurang mengganggu kehidupan harian dengan mengamalkan langkah-langkah kesihatan awam bagi melindungi diri, keluarga, dan masyarakat. Pengurusan pandemik COVID-19 perlu beralih daripada kebergantungan kepada intervensi Kerajaan seperti SOP dan undang-undang kepada keperihatinan Kerajaan, tanggungjawab individu, dan solidariti komuniti.

1. Keperihatinan Kerajaan

Dalam fasa peralihan ke endemik ini, Kerajaan akan terus memberi perlindungan dan menyediakan perkhidmatan kesihatan yang terbaik untuk rakyat melalui:

  • Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK);
  • Penggunaan MySejahtera untuk FTTIS (Find, Test, Trace, Isolate, Support);
  • Sistem Amaran dan Tindakan (Heightened Alert System);
  • CAC Maya (Virtual CAC) dan;
  • Perawatan COVID-19.

2. Solidariti komuniti

Solidari komuniti dapat dicapai dengan:

  • Mematuhi langkah-langkah pencegahan jangkitan COVID-19;
  • Saling mengingati untuk sentiasa mengamalkan norma baharu dalam kehidupan; dan
  • Bersama-sama menjaga dan melindungi golongan berisiko tinggi dengan memastikan mereka mendapatkan vaksin COVID-19 termasuk dos penggalak, menghubungi kes positif yang berada di rumah untuk bertanyakan keadaan mereka, membantu menyediakan keperluan harian seperti makan dan minum kepada mereka, serta memastikan mereka mempunyai akses kepada CAC dan hospital berhampiran sekiranya tahap kesihatan merosot.

3. Tanggungjawab individu

Setiap individu mempunyai tanggungjawab yang tinggi untuk melindungi diri, keluarga, dan komuniti daripada COVID-19. Antaranya adalah:

  • Elakkan berada di tempat awam sekiranya bergejala;
  • Membuat penilaian risiko kendiri (lakukan TRIIS jika bergejala atau merupakan kontak rapat);
  • Elakkan ke tempat sesak dan sempit. Sekiranya berada di tempat sesak dan sempit, sentiasa memakai pelitup muka dengan betul, mengekalkan penjarakan fizikal sekiranya boleh, dan aktifkan MySj Trace untuk pengesanan kontak;
  • Mengamalkan gaya hidup sihat dan;
  • Tahu bertindak sekiranya diri atau ahli keluarga positif COVID-19.

KKM ingin mengingatkan sekali lagi bahawa Negara kini berada dalam fasa peralihan ke endemik dan belum lagi memasuki fasa endemik. Oleh yang demikian, SOP yang ditetapkan semasa fasa peralihan ke endemik ini perlu diamalkan oleh setiap individu supaya dapat mencegah penularan jangkitan COVID-19 dan seterusnya  beralih ke fasa berikutnya dengan lebih selamat.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

KKM ingin menasihati orang ramai agar terus mematuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan iaitu;

  • Elakkan 3S: (elakkan kawasan yang sesak, sempit, dan sembang dengan jarak yang dekat);
  • Amalkan 3W: (Amalkan Wash, Wear, and Warn); Sentiasa memakai pelitup muka di kawasan awam yang tertutup. Pemakaian pelitup muka berganda adalah digalakkan;
  • Amalkan TRIIS (Trace, Report, Isolate, Inform, and Seek) sebelum menghadiri aktiviti sosial atau sekiranya bergejala;
  • Jalani segera ujian COVID-19 sekiranya bergejala;
  • Individu positif COVID-19 Kategori 1 dan 2A dan bukan berisiko tinggi (berumur bawah 60 tahun dan tidak mempunyai komorbid), tidak perlu hadir ke COVID-19 Assessment Centre (CAC), sebaliknya hanya perlumelakukan pemantauan kendiri melalui HAT dalam aplikasi MySejahtera. SMS atau panggilan daripada perkhidmatan Automated Voice Recording (robocall) akan diterima sekiranya belum atau tidak menjalankan pemantauan kendiri setiap hari;
  • Individu yang perlu hadir ke CAC terdekat (senarai penuh lokasi, nombor telefon dan waktu operasi boleh didapatkan di https://covid-19.moh.gov.my/hotline)   untuk penilaian lanjut akan dimaklumkan melalui MySejahtera atau dihubungi CAC melalui SMS atau panggilan telefon;
  • Individu yang positif COVID-19 Kategori 2B dan ke atas (sama ada berisiko tinggi atau tidak) atau mempunyai gejala yang semakin teruk, dikehendaki hadir ke CAC atau hospital terdekat bagi pemeriksaan lanjut tanpa menunggu panggilan telefon daripada CAC; dan
  • Tempoh isolasi bagi individu positif COVID-19 yang telah lengkap vaksinasi termasuk yang telah mendapat dos penggalak (booster) adalah tujuh (7) hari, manakala tempoh isolasi bagi individu positif COVID-19 yang tidak lengkap vaksinasi atau tiada vaksinasi adalah selama 10 hari. Tempoh isolasi terkini tidak mengambil kira sama ada bergejala atau tidak bergejala.

Individu yang belum menerima vaksin dan tidak pernah dijangkiti COVID-19 adalah kumpulan paling berisiko mendapat jangkitan COVID-19. KKM menasihatkan individu ini agar segera mendaftar dan mendapatkan vaksin COVID-19. Bagi yang telah mendaftar, KKM memohon agar anda hadir ke temu janji tersebut demi melindungi diri dan orang tersayang.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO. KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

1 April 2022 @ 10.00 pagi