Communicable disease

Kenyataan Akhbar KPK 3 April 2022 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19)

SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT CORONAVIRUS 2019 (COVID-19) DI MALAYSIA

3 APRIL 2022

PENGGUNAAN KAPASITI KATIL COVID-19 DI HOSPITAL DAN PUSAT KUARANTIN DAN RAWATAN COVID-19 BERISIKO RENDAH (PKRC)

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa pada 2 April 2022, penggunaan fasiliti kesihatan khusus bagi kes COVID-19:

  • Katil Kes Kritikal atau Unit Rawatan Rapi (ICU): Dua (2) negeri iaitu WP Kuala Lumpur (67%) dan Selangor (50%) menunjukkan peratusan pengisian  ≥ 50% (Jadual 1);
  • Katil Bukan ICU: Dua (2) negeri iaitu WP Putrajaya (81%) dan Selangor (59%) menunjukkan peratusan pengisian  ≥ 50% (Jadual 1);
  • Katil PKRC: Tiada negeri yang menunjukkan peratusan pengisian ≥ 50% (Jadual 1); dan
  • Pesakit COVID-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilator) menurun kepada 153 pesakit dengan peratusan penggunaan ventilator17%.

Terdapat perbezaan antara Jadual 1 dan Jadual 2  di mana data kapasiti dan penggunaan di Jadual 2 adalah juga termasuk untuk kes COVID-19 dan kes bukan COVID-19.

KKM ingin menjelaskan bahawa terdapat perbezaan di antara data harian kemasukan kes COVID-19 ke hospital (Jadual 3) berbanding kes COVID-19 kategori 1 hingga 5 yang baharu didiagnosa pada setiap hari. Ini memandangkan keadaan klinikal pesakit yang dinamik dan mungkin merosot atau bertambah baik sepanjang dijangkiti COVID-19.

Pada masa yang sama, terdapat juga kes-kes COVID-19 berisiko tinggi dari kategori 1 dan 2 yang memerlukan kemasukan ke PKRC dan hospital sebagai langkah berjaga-jaga.

Pada 2 April 2022, sebanyak 663 kes COVID-19 dimasukkan ke hospital dengan kategori berikut (Rajah 1):

  • 285 kes (43.0 peratus) adalah kategori 3, 4, dan 5; dan
  • 378 kes (57.0 peratus) adalah kategori 1 dan 2.

Selain itu, KKM ingin memaklumkan status terkini kes COVID-19 di Malaysia pada 2 April 2022:

  • Kes sembuh: 20,383 kes [3,997,786 kes kumulatif (94.4%)];
  • Kes baharu: 14,692 kes (4,234,087 kes kumulatif);
  • Kes import: 218 kes [209 warganegara (95.9%); 9 bukan warganegara (4.1%)];
  • Kes tempatan: 14,474 kes [13,835 warganegara (95.6%); 639 bukan warganegara (4.4%)];
  • Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU): 261 kes (124 kes disahkan COVID-19; 137 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan); dan
  • Kes memerlukan bantuan pernafasan: 153 kes (64 kes disahkan COVID-19; 89 kes disyaki, kemungkinan, dan kes dalam siasatan).

PERINCIAN KATEGORI KES COVID-19

Daripada 14,692 kes harian yang dilaporkan pada 2 April 2022:

  • Kategori 1: 8,557 kes (58.24%);
  • Kategori 2: 6,056 kes (41.22%);
  • Kategori 3: 27 kes (0.18%);
  • Kategori 4: 19 kes (0.13%); dan
  • Kategori 5: 33 kes (0.23%).

Daripada 79 kes COVID-19 kategori 3, 4, dan 5 yang baharu dilaporkan pada 2 April 2022:

  • 19 kes (24.06%) tidak divaksinasi atau belum lengkap divaksinasi;
  • 42 kes (53.16%) telah menerima dua (2) dos vaksin COVID-19 tetapi belum menerima dos penggalak (booster);
  • 18 kes (22.78%) telah menerima dos penggalak (booster);
  • 46 kes (58.23%) berumur 60 tahun dan ke atas; dan
  • 42 kes (53.16%) mempunyai komorbid;

KLUSTER COVID-19

  • Jumlah kluster: 6,940 kluster;
  • Jumlah kluster baharu:2;
  • Jumlah kluster yang telah tamat: 6,750 kluster; dan
  • Jumlah kluster aktif: 190 kluster.

NILAI RT

Perincian nilai RT mengikut negeri adalah seperti di Jadual 4. Maklumat terperinci lain berkenaan situasi semasa jangkitan dan penularan COVID-19 di Malaysia akan dimuatnaik ke laman web COVIDNOW di https://covidnow.moh.gov.my. Data akan dikemaskini pada jam 12:00 tengah malam setiap hari.

Jadual 4: Nilai RT mengikut negeri berdasarkan kes yang dilaporkan pada 2 April 2022

NEGERINILAI RT
Selangor 1.06
Melaka 0.86
Sarawak 0.85
Perak 0.84
WP Kuala Lumpur 0.81
WP Labuan0.80
WP Putrajaya0.79
Negeri Sembilan 0.78
Pahang 0.78
Terengganu0.77
Johor 0.76
Pulau Pinang 0.73
Perlis 0.72
Kedah0.72
Kelantan 0.68
Sabah 0.68
MALAYSIA0.85

NASIHAT KESIHATAN SEMPENA BULAN RAMADHAN AL-MUBARAK (PEMAKANAN SIHAT, KESELAMATAN DAN KUALITI MAKANAN)

Tahun 2022 merupakan tahun ketiga umat islam menyambut bulan Ramadhan Al-Mubarak dalam suasana pandemik COVID-19 sejak ia melanda dunia. Bagi warga Malaysia, sudah tentu bulan Ramadhan kali ini amat bermakna memandangkan Malaysia telah memasuki fasa peralihan ke endemik sejak 1 April 2022. Pada bulan yang mulia ini, KKM ingin mengingatkan warga Malaysia supaya menitik beratkan aspek pemakanan yang sihat bagi memenuhi keperluan tenaga sepanjang berpuasa dan memastikan tahap kesihatan berada pada tahap yang optimum.

Amalan pemakanan sihat di bulan Ramadan termasuk:

  • Ambil makanan berkhasiat yang dapat membekalkan tenaga dan nutrien yang diperlukan badan dengan kadar sederhana ketika bersahur;
  • Kawal kalori dengan mengamalkan pemakanan yang sederhana dan seimbang dengan mengikut konsep Suku Suku Separuh ketika bersahur dan berbuka bagi mengelakkan peningkatan berat badan berlebihan, obesiti, dan seterusnya mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit (NCD). Suku pinggan daripada kumpulan karbohidrat seperti nasi, roti, atau mi; suku pinggan lagi daripada sumber protein seperti ayam, ikan, dan telur; manakala separuh pinggan lagi adalah sayur dan buah;
  • Ambil makanan yang tinggi serat seperti buah dan sayur bagi mengoptimumkan sistem imuniti badan. Pengambilan sayur dan buah setiap hari di bulan puasa juga penting untuk mengelakkan kejadian sembelit, mengelakkan dari mudah dijangkiti penyakit, dan membantu memberi rasa kenyang lebih lama;
  • Elakkan pengambilan minuman berkafein seperti teh dan kopi yang boleh menyebabkan kehilangan air dalam badan;
  • Minum lapan (8) gelas atau dua (2) liter air antara waktu berbuka hingga ke waktu sahur. Bawalah bekal air kosong ketika menunaikan solat terawih;
  • Makan secara perlahan-lahan dan tidak gopoh ketika berbuka. Ambil makanan yang ringkas terlebih dahulu seperti kurma dan air kosong seterusnya hidangan berat selepas bersolat maghrib. Moreh boleh diambil jika perlu, tetapi elakkan mengambilnya dalam kuantiti yang besar;
  • Hadkan pengambilan makanan yang tinggi gula seperti kuih-muih manis, bubur manis, dan minuman manis dalam kuantiti yang berlebihan; dan
  • Kurangkan pengambilan makanan yang berlemak, berminyak, dan masin. Utamakan makanan yang disediakan dan masak di rumah dengan mempelbagaikan kaedah masakan yang lebih sihat seperti bakar, kukus, panggang, dan rebus. Makanan yang disediakan sendiri bukan sahaja lebih sihat malah menjimatkan dan kebersihan juga terjamin.

Di samping itu, bulan Ramadhan juga merupakan bulan yang dinanti-nantikan oleh para peniaga makanan terutamanya peniaga bazar Ramadhan bagi menyajikan pelbagai aneka jualan makanan dan minuman. KKM ingin mengingatkan masyarakat agar terus mematuhi SOP dan mengamalkan norma-norma baharu semasa membeli makanan demi memastikan rantaian jangkitan COVID-19 ini dapat diputuskan.

KKM juga ingin menasihati para peniaga supaya sentiasa menitik beratkan aspek kebersihan serta keselamatan makanan dan minuman yang dijual bagi mengelakkan kes keracunan makanan.

Keracunan makananadalah penyakit yang disebabkan oleh pengambilan makanan atau minuman yang tercemar oleh toksin yang terhasil daripada bakteria, virus, atau parasit. Kes keracunan makanan ini tidak boleh dipandang enteng kerana ianya boleh menyebabkan pelbagai komplikasi kesihatan dan seterusnya mengancam nyawa.

Berdasarkan Rajah 2, tren penurunan episod keracunan makanan dicatatkan semenjak tahun 2019 iaitu 516 kes pada tahun 2019, 288 kes pada tahun 2020, dan 197 kes pada tahun 2021. Dalam situasi pandemik COVID-19, kes keracunan makanan terus menurun sebanyak 31.6% iaitu daripada 288 kes pada tahun 2020 kepada 197 kes pada tahun 2021.

Episod keracunan makanan di Malaysia semasa bulan Ramadhan mencatatkan penurunan pada tahun 2020 iaitu 22 kes berbanding 36 kes pada tahun sebelumnya, manakala terdapat peningkatan kes keracunan makanan pada tahun 2021 iaitu sebanyak 39 kes (77.3%) (Rajah 3). Hal ini berkemungkinan besar disumbangkan oleh pembelian juadah makanan di luar setelah kebenaran pengoperasian bazar Ramadhan dilaksanakan pada bulan Ramadhan tahun 2021 bersekali beberapa SOP yang ketat.

KKM memandang serius mengenai kes keracunan makanan dan ingin mengingatkan masyarakat agar mengamalkan lima (5) kunci keselamatan makanan bagi memastikan makanan yang disediakan untuk ahli keluarga yang tersayang adalah bersih dan selamat iaitu:

  1. Menjaga kebersihan diri dengan mencuci tangan sebelum dan selepas menyediakan makanan;
  2. Gunakan peralatan yang berasingan untuk makanan   mentah bagi mengelakkan pencemaran kepada  makanan yang telah dimasak;
  3. Masak makanan dengan sempurna dan pastikan ianya dimakan dalam tempoh tidak melebihi dari empat (4) jam;
  4. Simpan makanan sedia dimakan (ready to eat food) pada suhu yang bersesuaian dan tidak melebihi tiga   (3) hari di dalam peti sejuk; dan
  5. Gunakan bahan mentah yang segar dan air yang bersih untuk memasak.

Konsep lihat, hidu, dan rasa sebelum makan juga hendaklah diamalkan supaya dapat mengelakkan memakan makanan yang telah rosak.

Akhir kata, KKM ingin mengucapkan selamat berpuasa dan selamat menjalani ibadah sepanjang bulan Ramadhan kepada seluruh umat Islam di Malaysia. Semoga Ramadhan pada tahun ini dapat dijalani dengan penuh kesabaran, keikhlasan, ketakwaan, dan mendapat keberkatan dari yang Maha Esa.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

KKM ingin menasihati orang ramai agar terus mematuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan iaitu;

  • Elakkan 3S: (elakkan kawasan yang sesak, sempit, dan sembang dengan jarak yang dekat);
  • Amalkan 3W: (Amalkan Wash, Wear, and Warn); Sentiasa memakai pelitup muka di kawasan awam yang tertutup. Pemakaian pelitup muka berganda adalah digalakkan;
  • Amalkan TRIIS (Trace, Report, Isolate, Inform, and Seek) sebelum menghadiri aktiviti sosial atau sekiranya bergejala;
  • Jalani segera ujian COVID-19 sekiranya bergejala;
  • Individu positif COVID-19 Kategori 1 dan 2A dan bukan berisiko tinggi (berumur bawah 60 tahun dan tidak mempunyai komorbid), tidak perlu hadir ke COVID-19 Assessment Centre (CAC), sebaliknya hanya perlumelakukan pemantauan kendiri melalui HAT dalam aplikasi MySejahtera. SMS atau panggilan daripada perkhidmatan Automated Voice Recording (robocall) akan diterima sekiranya belum atau tidak menjalankan pemantauan kendiri setiap hari;
  • Individu yang perlu hadir ke CAC terdekat (senarai penuh lokasi, nombor telefon dan waktu operasi boleh didapatkan di https://covid-19.moh.gov.my/hotline)   untuk penilaian lanjut akan dimaklumkan melalui MySejahtera atau dihubungi CAC melalui SMS atau panggilan telefon;
  • Individu yang positif COVID-19 Kategori 2B dan ke atas (sama ada berisiko tinggi atau tidak) atau mempunyai gejala yang semakin teruk, dikehendaki hadir ke CAC atau hospital terdekat bagi pemeriksaan lanjut tanpa menunggu panggilan telefon daripada CAC; dan
  • Tempoh isolasi bagi individu positif COVID-19 yang telah lengkap vaksinasi termasuk yang telah mendapat dos penggalak (booster) adalah tujuh (7) hari, manakala tempoh isolasi bagi individu positif COVID-19 yang tidak lengkap vaksinasi atau tiada vaksinasi adalah selama 10 hari. Tempoh isolasi terkini tidak mengambil kira sama ada bergejala atau tidak bergejala.

Individu yang belum menerima vaksin dan tidak pernah dijangkiti COVID-19 adalah kumpulan paling berisiko mendapat jangkitan COVID-19. KKM menasihatkan individu ini agar segera mendaftar dan mendapatkan vaksin COVID-19. Bagi yang telah mendaftar, KKM memohon agar anda hadir ke temu janji tersebut demi melindungi diri dan orang tersayang.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO. KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

3 April 2022 @ 10.00 pagi

Lampiran 1

Jadual 5: Perbandingan gejala COVID-19 Kategori 2A (ringan) dan 2B (sederhana)

Kategori 2AKategori 2B
Sakit tekak atau selesema tanpa demam atau sesak nafasDemam berpanjangan [dua (2) hari dan lebih] atau demam semula selepas sembuh
Batuk tanpa demam atau sesak nafasKesukaran bernafas apabila melakukan aktiviti (exertional dyspnoea)
Hilang deria rasa tetapi masih mempunyai selera makanSakit dada
Hilang deria bauTidak boleh makan atau minum
Cirit-birit dua (2) kali atau kurang dalam masa 24 jam tetapi kekerapan dan pengeluaran air kencing seperti biasa (normal)Kelesuan bertambah teruk terutamanya semasa melakukan aktiviti harian atau semasa baru bangun daripada tidur
Loya dan muntah tetapi kekerapan dan pengeluaran air kencing seperti biasa (normal)Memerlukan bantuan untuk berjalan
Kelesuan tetapi masih boleh melakukan aktiviti harianGejala seperti batuk, loya, muntah atau cirit-birit semakin teruk atau berterusan
Sakit otot tetapi masih boleh melakukan aktiviti harianPerubahan status mental seperti kekeliruan / kurang tahap sedar
     Kurang pengeluaran air kencing dalam masa 24 jam