Communicable disease

Kenyataan Akhbar KPK 7 April 2022 – Keputusan Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah Kali Ke-371 Berkenaan Pendaftaran Produk Vaksin COVID-19

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-371 yang telah bersidang pada hari ini, 7 April 2022 dan bersetuju untuk memberikan kelulusan bersyarat bagi penggunaan sebagai dos penggalak (booster dose) vaksin COVID-19 COVILO (Sinopharm). COVILO Suspension for Injection COVID-19 Vaccine (Vero Cell), Inactivated keluaran Beijing Institute of Biological Products Co., Ltd. (BIBP), China, boleh diberikan sebagai dos penggalakkepada golongan berumur 18 tahun hingga 59 tahun sekurang-kurangnya selepas tiga (3) hingga enam (6) bulan daripada penerimaan dos kedua vaksin. Vaksin COVILO sebelum ini telah diluluskan pendaftaran bersyarat bagi penggunaan dalam kalangan individu yang juga berumur 18 tahun hingga 59 tahun pada 16 Julai 2021.

KKM ingin memaklumkan bahawa kelulusan pendaftaran bersyarat  ini masih memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau serta dinilai secara berterusan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa. Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) bagi vaksin tersebut kekal positif. KKM juga sentiasa komited untuk mempertingkatkan akses rakyat kepada produk vaksin bagi tujuan pencegahan penularan COVID-19 di Malaysia, dengan memastikan ia dinilai dengan sewajarnya berdasarkan aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN

7 APRIL 2022

Categories: Communicable disease, vaccine

Tagged as: ,