Press

Kenyataan Akhbar KPK 16 April 2022 – Aduan Tular Ulat Dalam Mee Tonggek Dan Gumpalan Rambut Dalam Kuih Limas

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius aduan yang tular di media sosial mengenai pencemaran makanan di Bazar Ramadan dengan kehadiran ulat dalam mee tonggek dan gumpalan rambut yang dijumpai di dalam kuih limas baru-baru ini.

KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) telah menjalankan siasatan dan telah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap gerai yang menjual mee tonggek dengan mengarahkan penutupan di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983 kerana didapati tidak bersih. Pemilik gerai perlu mengambil langkah mempertingkatkan tahap kebersihan dan keselamatan makanan sebelum dibenarkan beroperasi semula. Selain itu, kompaun turut dikeluarkan terhadap seorang pekerja yang didapati tidak mengambil suntikan anti-tifiod. Tiga sampel turut diambil di gerai terlibat bagi tujuan analisis mikroorganisma dan bendasing.

Siasatan oleh pihak KKM juga mendapati peniaga tersebut mempunyai sebuah premis makanan yang beroperasi di Cyberjaya di mana bahan mentah dimasak dan disimpan sebelum dipasarkan di bazar tersebut. KKM akan menjalankan pemeriksaan dan siasatan di premis berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan pengendalian keselamatan makanan di premis tersebut.

Berkaitan aduan pencemaran kuih limas, KKM telah membuka kertas siasatan ke atas pengeluar kuih limas terlibat bagi tujuan pendakwaan mengikut Akta Makanan 1983.

Sehingga kini, melalui Operasi Ramadan 2022 yang telah dijalankan di seluruh negara, sebanyak 4,362 premis Bazar Ramadan telah diperiksa. Sebanyak 77 notis kompaun dengan nilai RM38,500.00 telah dikeluarkan bagi kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009. Di samping itu, sebanyak 178 sampel makanan juga telah diambil untuk dianalisis.

Peniaga makanan yang didapati tidak mematuhi kehendak di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000.00 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

KKM ingin menasihatkan orang ramai agar membeli makanan di premis makanan yang bersih. KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna. Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui melayari laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq. 

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

16 April 2022

Categories: Press