Press

Kenyataan Akhbar KPK 28 April 2022 – Makluman Berkenaan Pertukaran Status Hospital Sungai Buloh Kepada Hospital COVID-19 Hibrid

Mengambil kira situasi terkini pandemik COVID-19 di Malaysia terutamanya kes-kes COVID-19 kategori 3, 4 dan 5 serta kadar penggunaan fasiliti kesihatan khusus untuk kes COVID-19 yang rendah di Lembah Klang, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah bersetuju agar perkhidmatan perubatan bukan COVID-19 yang tertangguh di Hospital Sungai Buloh dimulakan semula. Sehubungan itu, perkhidmatan hospital ini telah ditukar kepada status hibrid di mana ianya akan merawat pesakit COVID-19 dan bukan COVID-19.

Sebagai makluman, Hospital Sungai Buloh telah diwartakan sebelum ini pada 10 Mac 2020 sebagai hospital perawatan perubatan khusus kepada pesakit-pesakit COVID-19 sahaja. Langkah strategik ini telah dijalankan oleh KKM pada masa tersebut sebagai salah satu inisiatif untuk menampung keperluan katil hospital di Lembah Klang bagi merawat kes COVID-19 serta membolehkan pengurusan fasiliti, ubat-ubatan, peralatan perubatan, kepakaran dan sumber manusia yang optimum. Pada kemuncak operasinya, Hospital Sungai Buloh telah mampu menampung lebih daripada 2,000 pesakit COVID-19 pada satu-satu masa dan sehingga semalam, seramai 92,874 orang pesakit COVID-19 telah dirawat di hospital ini sepanjang pandemik COVID-19.

Selaras dengan strategi negara semasa fasa peralihan ke endemik COVID-19 ini, KKM akan sentiasa memantau dan bersiapsiaga dalam menyediakan perkhidmatan perubatan khusus bagi kes-kes COVID-19 termasuk perkhidmatan rawatan kritikal berdasarkan Pelan Strategik KKM Bagi Pengurusan COVID-19 sekiranya berlaku sebarang peningkatan kes di negara ini.

KKM ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan di seluruh negara terutamanya di Hospital Sungai Buloh yang telah memberikan komitmen yang jitu untuk memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik di sepanjang pandemik COVID-19 ini.

TAN SRI DATO’ SERI DR NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN

28 April 2022 @ 5.00 petang

Categories: Press