Press

Kenyataan Akhbar JKN Pulau Pinang 4 Mei 2022 – Maklum Balas Kenyataan Media Berkenaan Kes Kematian Seorang Kakitangan Hospital Pulau Pinang

Maklum Balas Kenyataan Media Berkenaan Kes Kematian Seorang Kakitangan Hospital Pulau Pinang

Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) ingin merujuk kepada laporan sebuah akhbar atas talian pada 3 Mei 2022 berkenaan kes kematian seorang kakitangan Hospital Pulau Pinang.

Terlebih dahulu pihak JKNPP ingin merakamkan ucapan takziah kepada keluarga dan rakan-rakan mendiang. JKNPP mengesahkan bahawa mendiang merupakan seorang Pegawai Perubatan Siswazah yang telah melaporkan diri ke negeri Pulau Pinang dan ditempatkan di Hospital Pulau Pinang pada 4 April 2022 yang lalu. Mendiang telah ditemui jatuh dari bangunan kediamannya pada 17 April 2022.

Adalah dimaklumkan bahawa kes ini adalah di bawah siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah mengarahkan bedah siasat dijalankan. Bedah siasat telah dilakukan di Jabatan Forensik, Hospital Pulau Pinang. Laporan lengkap siasatan masih menunggu beberapa keputusan ujian makmal. Laporan akhir akan dikemukakan kepada pihak PDRM untuk membantu siasatan mereka.


Memandangkan kes ini masih dalam siasatan pihak polis dan bagi menghormati keluarga mendiang, JKNPP memohon kerjasama semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan maklumat tidak sahih mengenai kejadian ini. Jabatan ini dan pihak Hospital Pulau Pinang akan memberi sepenuh kerjasama kepada pihak PDRM dalam siasatan selanjutnya.


Sekian, harap maklum.

DR. MA’AROF BIN SUDIN
PENGARAH KESIHATAN NEGERI PULAU PINANG
4 MEI 2022

Categories: Press