Communicable disease

Kenyataan Akhbar KPK 5 Mei 2022 – Peningkatan Penularan Jangkitan Penyakit Berjangkit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) dan Denggi di Malaysia

PENINGKATAN PENULARAN JANGKITAN PENYAKIT BERJANGKIT TANGAN, KAKI DAN MULUT (HFMD) DAN DENGGI DI MALAYSIA

  1.  PENINGKATAN KES DENGGI DI MALAYSIA

Kementerian Kesihatan (KKM) ingin melaporkan sebanyak 1,021 kes denggi pada Minggu Epid 17/2022, peningkatan 54 kes (5.6%) dari jumlah kes yang dilaporkan pada Minggu Epid 16/2022 (967 kes). Jumlah kumulatif kes denggi dilaporkan sehingga kini adalah 12,942 kes berbanding 9,270 kes bagi tempoh yang sama tahun 2021, iaitu peningkatan sebanyak 3,672 kes (39.6%). Jumlah kumulatif kematian denggi sehingga Minggu Epid 17/2022 adalah sebanyak tujuh (7) kematian, peningkatan dua (2) kematian (40%) berbanding dengan kematian lima (5) kematian bagi tempoh yang sama tahun 2021. (Jadual 1).

Penyakit Denggi adalah penyakit jangkitan virus yang disebar melalui gigitan nyamuk Aedes yang telah dijangkiti. Pesakit boleh mengalami gejala seperti demam, ruam merah di kulit, sakit kepala, sakit pada bahagian belakang mata, sakit sendi, sakit otot, pendarahan di bawah kulit, hidung, dan gusi.  

KKM ingin menasihatkan masyarakat bahawa:

  • Pastikan rumah kediaman bebas dari tempat pembiakan nyamuk dengan pembersihan atau pelupusan bekas yang boleh menakung air, pastikan saliran atap sentiasa mengalir, pastikan tangki air, dan bekas tadahan air sentiasa ditutup atau ditaburkan racun atau bahan pembunuh jentik-jentik; dan
  • Gunakan bahan repelan untuk mencegah gigitan nyamuk Aedes apabila berada di luar rumah.

KKM juga ingin menasihatkan pengamal perubatan bahawa:

  • Pesakit yang mengalami demam yang berterusan perlu melakukan kiraan darah penuh (full blood count) pada hari ke-3 dan;
  • Sekiranya pesakit disyaki menghidapi demam Denggi berdasarkan ciri klinikal dan ujian darah, pesakit perlu diberikan dengue alert card dan melakukan dengue combo test.

2. PENINGKATAN KETARA KES KAKI, TANGAN & MULUT (HFMD) DI MALAYSIA

Sehingga ME 17/2022, sebanyak 22,463 kes HFMD telah dilaporkan di seluruh negara iaitu peningkatan sebanyak 12.8 kali ganda berbanding pada ME yang sama tahun 2021 iaitu hanya mencatatkan 1,752 kes. Kes HFMD banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur 0-6 tahun iaitu sebanyak 21,508 kes (96%), diikuti oleh kumpulan umur 7-12 tahun iaitu 729 kes (3%), dan selebihnya berlaku dalam lingkungan umur lebih 12 tahun (Rajah 1).

Sehingga kini, sebanyak 767 wabak dilaporkan di Malaysia di mana tiga (3) negeri tertinggi mencatatkan kejadian wabak ialah WP Kuala Lumpur & Putrajaya iaitu 259 wabak (33.7%), diikuti negeri Selangor dengan 100 wabak (13.0%), dan Perak 98 wabak (12.8%). Majoriti lokasi penularan wabak berlaku di tadika/ taska/ pra-sekolah iaitu 600 wabak (72%) diikuti oleh rumah persendirian dengan 186 wabak (24%), dan juga pusat jagaan kanak-kanak sebanyak 26 wabak (4%).

Penyakit HFMD disebabkan oleh Enterovirus dengan majoriti kes disebabkan oleh Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus 71 (EV71). Virus ini merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh (blister) dan najis pesakit. Kebiasaan jangkitan adalah ringan (mild) dengan gejala demam diikuti ruam melepuh (blister) pada tangan, kaki, mulut dan lidah. Hampir keseluruhan pesakit yang menghidap penyakit HFMD pulih tanpa rawatan dalam masa tujuh (7) ke sepuluh (10) hari. Walau bagaimanapun, jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti encephalitis, pulmonary edema dan myocarditis.

KKM ingin menasihati orang ramai, terutamanya yang mempunyai anak-anak kecil mengambil langkah berjaga-jaga berikut untuk mengurangkan risiko mereka dijangkiti:

  1. Basuh tangan dengan sabun dan air bersih selepas menggunakan tandas, sebelum menyediakan makanan, selepas menukar lampin dan mencuci najis kanak-kanak;
  2. Tutup mulut dan hidung semasa batuk dan bersin;
  3. Jangan berkongsi barangan peribadi seperti berus gigi, sapu tangan, tuala, selimut, cawan, garpu, dan sudu;
  4. Sentiasa mengekalkan kebersihan di rumah, pusat penjagaan kanak-kanak, tadika dan sekolah, dan persekitarannya;
  5. Kerap mencuci semua alat mainan dan permukaan meja, kerusi, dan lantai sekurang-kurangnya dua (2) kali sehari;
  6. Bawa kanak-kanak ke klinik atau hospital terdekat jika mereka mempunyai tanda-tanda atau gejala jangkitan;
  7. Ibu bapa dinasihatkan agar tidak membawa anak-anak yang bergejala ke tempat awam yang ramai seperti kolam renang, pasar, pusat membeli-belah, stesen bas, dan lain-lain; dan
  8. Ibu bapa kepada kanak-kanak yang menunjukkan tanda-tanda atau gejala jangkitan, jangan menghantar kanak-kanak tersebut ke pusat jagaan kanak-kanak, taska, tadika atau sekolah. Kanak-kanak yang sakit harus dibawa ke klinik untuk rawatan.

Sehubungan itu, KKM ingin memberi penekanan semula berkaitan kepentingan pelaksanaan lima (5) amalan di bawah bagi mengawal dan mencegah jangkitan HFMD. KKM dengan kerjasama semua Kementerian dan agensi berkaitan akan mempertingkatkan lagi langkah-langkah pencegahan dan kawalan dan memberi penekanan mengenai pentingnya amalan seperti berikut;

  1. Penjagaan kebersihan diri;
  2. Amalan cuci tangan yang betul;
  3. Penjagaan kebersihan persekitaran;
  4. Pemeriksaan/saringan di pintu masuk (gatekeeping screening) taska / tadika / tabika / pra-sekolah dan sekolah; dan
  5. Disinfeksi atau nyahkuman permukaan-permukaan yang tercemar.

Selain itu, KKM telah mengambil langkah yang proaktif dengan mengaktifkan ciri terbaru pengesanan penyakit berjangkit (Infectious Disease Tracker) dalam aplikasi MySejahtera bagi kes penyakit berjangkit seperti penyakit COVID-19, Anjing Gila (Rabies), Demam Campak (Measles), Denggi, dan HFMD di kawasan sekitar. Ciri ini boleh membantu orang awam untuk menjalankan aktiviti harian dan merancang perjalanan harian secara lebih berhati-hati selepas mengenal pasti kawasan berisiko  dalam radius berbeza mengikut penyakit. Oleh itu, KKM berharap agar masyarakat dapat menggunakan aplikasi ini dengan sebaiknya supaya kes penyakit berjangkit di Malaysia dapat ditangani dengan lebih baik lagi. Langkah-langkah mengaktifkan ciri ini dalam aplikasi MySejahtera adalah seperti yang tertera pada Rajah langkah-langkah berikut:

Semoga  Infectious Disease Tracker ini membawa manfaat dan dapat digunakan secara meluas oleh pengamal-pengamal perubatan dan juga oleh masyarakat umum.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO' SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH 

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

5 Mei 2022 @ 4.00 petang 

Categories: Communicable disease, Dengue, Dengue, Press

Tagged as: ,