Communicable disease

Kenyataan Akhbar KPK 16 Mei 2022 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia ME 19/2022 (8 – 14 Mei 2022)

SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT CORONAVIRUS 2019 (COVID-19) DI MALAYSIA

MINGGU EPIDEMIOLOGI 19/2022 (8 Mei 2022 – 14 Mei 2022)

STATUS TERKINI PENGGUNAAN FASILITI KESIHATAN

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menjangkakan kenaikan kes selepas perayaan Hari Raya yang telah disambut meriah pada minggu lalu. Ini dapat dilihat dengan jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke fasiliti kesihatan (hospital dan PKRC awam) bagi setiap 100,000 penduduk yang meningkat sebanyak 38% secara keseluruhan pada Minggu Epidemiologi (ME) 19/2022 berbanding ME 18/2022 (Rajah 1);

Jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk juga meningkat sebanyak 100% (Rajah 2);

  • Jumlah pesakit kategori 1 dan 2 meningkat sebanyak 100% iaitu daripada 1 per 100,000 penduduk kepada 2 per 100,000 penduduk; dan
  • Jumlah pesakit kategori 3,4, dan 5 juga meningkat sebanyak 100% iaitu daripada 1 per 100,000 penduduk kepada 2 per 100,000 penduduk.

Secara keseluruhan, peratus pengisian katil fasiliti COVID-19 menurun pada ME 19/2022 berbanding ME 18/2022 (Rajah 3), di mana:

  • Penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) menurun sebanyak 10%;
  • Penggunaan katil bukan kritikal meningkat sebanyak 18%; dan
  • Penggunaan katil Pusat Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) meningkat sebanyak 100%.

Jumlah kes memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP)pula menurun sebanyak 10% (Rajah 4):

PEMANTAUAN COVID-19 DI PUSAT PENILAIAN COVID-19 (CAC)

Untuk makluman, kes-kes positif COVID-19 yang dipantau oleh Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di seluruh negara juga menunjukkan peningkatan.

Berikut adalah perbandingan data CAC fizikal yang dilaporkan pada ME 18/2022 dan ME 19/2022 (Rajah 5):

  • Bilangan kedatangan pesakit ke CAC meningkat sebanyak 87.4%;
  • Bilangan kes COVID-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah meningkat sebanyak 153.4%; dan
  • Bilangan kes COVID-19 yang dirujuk CAC ke PKRC atau hospital meningkat sebanyak 28.2%.

Begitu juga dengan tren kes aktif COVID-19 yang dipantau secara maya (CAC Maya), pada ME 19/2022 menunjukkan peningkatan ketara seperti di Rajah 6:

  • Tren kes aktif COVID-19 di bawah pemantauan CAC Maya pada ME 19/2022 meningkat sebanyak 162.4% (35,167 kes kepada 13,400 kes) berbanding ME 18/2022.

STATUS TERKINI KES COVID-19

Dari 25 Januari 2020 (ME 4/2020) hingga 14 Mei 2022 (ME 19/2022), situasi terkini COVID-19 adalah seperti berikut:

  • Kumulatif kes baharu: 4,475,873 kes (kes aktif: 29,762 kes);
  • Kumulatif kes sembuh: 4,410,499 kes;
  • Kumulatif kes kematian: 35,612 kes; dan
  • Kumulatif kluster: 7,011 kluster (kluster aktif: 56 kluster).

Perbandingan antara ME 18/2022 dan ME 19/2022 (Rajah 7):

  • Bilangan kes sembuh pada ME 19/2022 menurun sebanyak 59.2% (30,930 kes kepada 12,618 kes) berbanding ME 18/2022 ;
  • Bilangan kes baharu pada ME 19/2022 meningkat sebanyak 119.2% (8,732 kes kepada 19,137 kes) berbanding ME 18/2022 (Rajah 8);
    • Bilangan kes tempatan meningkat sebanyak119.6% (8,703 kes kepada 19,108 kes); dan
    • Bilangan kes import kekal sebanyak <0.01% (29 kes)
  • Bilangan kes kematian pada ME 19/2022 menunujukkan sedikit peningkatan kepada 3.1 % (32 kes kepada 33 kes) berbanding ME 18/2022; dan
  • Bilangan kes aktif pada ME 19/2022 menurun sebanyak 17.0% (214,405 kes kepada 177,973 kes) berbanding ME 18/2022 (Rajah 9).

NILAI RT

Sejajar dengan peningkatan kes harian pada ME 19/2022, purata nilai RT juga menunjukkan peningkatan sebanyak 70.2% pada ME 19/2022 berbanding ME 18/2022 (Rajah 10).

SURVELAN INFLUENZA-LIKE ILLNESS (ILI) DAN SEVERE ACUTE RESPIRATORY INFECTION (SARI) BAGI COVID-19

KKM ingin memaklumkan bahawa survelan COVID-19 telah dijalankan sepanjang pandemik dan masih diteruskan semasa Fasa Peralihan ke Endemik di beberapa klinik kesihatan sentinel dan hospital sentinel di seluruh negara. Survelan COVID-19 ini dijalankan ke atas sampel pesakit yang mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan yang ringan atau pun teruk.

Sehingga ME 19/2022, hasil survelan COVID-19 di lokasi sentinel seluruh negara mendapati:

  • Kadar positif sampel Influenza-Like Illness (ILI) bagi COVID-19 meningkat iaitu 6.3% pada ME 18/2022 kepada 7.5% pada ME 19/2022 (Rajah 11);

Melihat kepada peningkatan yang mendadak kepada hampir ke semua indikator-indikator berkaitan COVID-19, KKM ingin terus memperingat, menyeru dan menasihatkan semua penduduk Malaysia untuk sentiasa mengikuti nasihat-nasihat yang disarankan oleh kerajaan dalam mengawal dan mencegah penularan jangkitan COVID-19 dalam Fasa Peralihan ke Endemik ini.

Kenaikan ini dijangka akan meningkat lagi terutama sekiranya masyarakat terus tidak mematuhi nasihat-nasihat dan ketetapan peraturan semasa.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

Bermula pada 1 April 2022, Malaysia telah berada dalam Fasa Peralihan ke Endemik. Perubahan fasa ini dapat dicapai susulan keberkesanan tindakan pencegahan dan kawalan kesihatan awam termasuk program vaksinasi COVID-19 dalam menguruskan penularan jangkitan COVID-19 dalam negara.

KKM ingin menasihati orang ramai agar terus mematuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan iaitu;

  • Elakkan 3S;
  • Amalkan 3W;
  • Amalkan TRIIS;
  • Jalani ujian COVID-19 sekiranya bergejala;
  • Individu positif COVID-19 Kategori 1 dan 2A dan bukan berisiko tinggi (berumur bawah 60 tahun dan tidak mempunyai komorbid), tidak perlu hadir ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC), sebaliknya hanya perlumelakukan pemantauan kendiri melalui HAT dalam aplikasi MySejahtera. SMS atau panggilan daripada perkhidmatan Automated Voice Recording (robocall) akan diterima sekiranya belum atau tidak menjalankan pemantauan kendiri setiap hari;
  • Individu yang perlu hadir ke CAC terdekat (senarai penuh lokasi, nombor telefon dan waktu operasi boleh didapatkan di https://covid-19.moh.gov.my/hotline)   untuk penilaian lanjut akan dimaklumkan melalui MySejahtera atau dihubungi CAC melalui SMS atau panggilan telefon;
  • Individu yang positif COVID-19 Kategori 2B dan ke atas (sama ada berisiko tinggi atau tidak) atau mempunyai gejala yang semakin teruk, dikehendaki hadir ke CAC atau hospital terdekat bagi pemeriksaan lanjut tanpa menunggu panggilan telefon daripada CAC; dan
  • Individu yang belum menerima vaksin COVID-19 dinasihatkan agar segera mendaftar dan mendapatkan vaksin bagi melindungi diri dan orang tersayang.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO. KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

16 Mei 2022 @ 10.00 pagi