Communicable disease

Kenyataan Akhbar KPK 17 Mei 2022 – Penularan Jangkitan Penyakit Berjangkit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) dan Denggi di Malaysia (ME 19 2022)

PENULARAN JANGKITAN PENYAKIT BERJANGKIT TANGAN, KAKI DAN MULUT (HFMD) DAN DENGGI DI MALAYSIA (ME 19/2022)

A. PENINGKATAN KES DENGGI DI MALAYSIA

Kementerian Kesihatan (KKM) ingin melaporkan sebanyak 1,074 kes denggi pada Minggu Epidemiologi (ME) 19/2022, peningkatan 365 kes (51.5%) dari jumlah kes yang dilaporkan pada ME 18/2022 (709 kes). Jumlah kumulatif kes denggi dilaporkan sehingga kini adalah 14,725 kes berbanding 10,139kes bagi tempoh yang sama tahun 2021, iaitu peningkatan sebanyak 4,586 kes (45.2%). Jumlah kumulatif kematian denggi sehingga ME 19/2022 adalah sebanyak sembilan (9)kematian, peningkatan empat (4) kematian (80%) berbanding dengan kematian lima (5) kematian bagi tempoh yang sama tahun 2021. (Jadual 1).

Rajah 1 menunjukkan tren mingguan demam Denggi sehingga ME 19 tahun 2022 berbanding tahun 2021.

Rajah 2 menunjukkan perbezaan jumlah kes terkumpul mengikut negeri tahun 2022 (sehingga ME 19/2022) berbanding tahun 2021 untuk tempoh sama. Didapati Terengganu mencatatkan peningkatan peratusan kes yang paling tinggi dengan 164.7%, diikuti dengan WP Labuan 150%, Kedah 137.8%, Negeri Sembilan 71.4%, Selangor 42.6%, Sabah 40.8%, Kelantan 27.1%, Perak 26.4%, WP Kuala Lumpur & Putrajaya 14.3%, Sarawak 13.7%, dan Penang 3.4%, manakala di negeri Perlis, Melaka, Johor, dan Pahang mencatatkan penurunan peratusan kes berbanding tahun 2021.

Penyakit demam denggi boleh dicegah dengan memastikan persekitaran yang bersih dan bebas dari tempat pembiakan nyamuk Aedes. Oleh itu, KKM ingin menyeru agar:

  • Setiap lapisan masyarakat dan juga organisasi berkaitan termasuk Pihak Berkuasa Tempatan dan pemilik premis mengambil tanggungjawab untuk memeriksa dan melupuskan segala bekas berpotensi pembiakan nyamuk Aedes di persekitaran premis sama ada di rumah kediaman, sekolah, tempat kerja, mahupun di taman rekreasi.
  • Pegawai perubatan di fasiliti kesihatan awam mahu pun swasta perlu mempunyai high index of suspicion untuk diagnosa demam denggi bagi pesakit yang menunjukkan gejala demam disertai dengan gejala lain.

B. PENINGKATAN KETARA KES KAKI, TANGAN & MULUT (HFMD) DI MALAYSIA

Bagi tahun 2022, sehingga hari terakhir ME 19/2022 (pada 14 Mei 2022), sejumlah 31,661 kes HFMD telah dilaporkan iaitu peningkatan sebanyak 15 kali ganda berbanding pada tahun 2021 sehingga ME yang sama, iaitu hanya mencatatkan 2,121 kes. Manakala kes dilaporkan bagi ME 19/2022 adalah 7,526 kes berbanding ME 18/2022 iaitu hanya 1,676 kes di seluruh negara, di mana peningkatan sebanyak 349% (Rajah 3).

Pada tahun 2022, sehingga 14 Mei 2022, Negeri Selangor menyumbang jumlah kes terbesar berbanding negeri-negeri lain iaitu 8,864 kes (28%). Ia diikuti oleh WP Kuala Lumpur & Putrajaya 4,421 kes (14%), Sabah 2,650 kes (8%), Perak 2,638 kes (8%) dan Kelantan 2,493 kes (7.9%) sementara negeri-negeri lain sekitar atau kurang daripada 1,500 kes.

Sebanyak 889 wabak dilaporkan di Malaysia di mana tiga (3) negeri tertinggi mencatatkan kejadian wabak ialah WP Kuala Lumpur & Putrajaya iaitu 309 wabak (35%), diikuti negeri Selangor dengan 111 wabak (12%), dan Perak 105 wabak (12%). Majoriti lokasi penularan wabak berlaku di tadika/ taska/ pra-sekolah iaitu 575 wabak (65%) diikuti oleh rumah persendirian dengan 305 wabak (34%), dan juga pusat jagaan kanak-kanak sebanyak 27 wabak (3%). Wabak dikira apabila terdapat dua (2) atau lebih kes dalam satu lokaliti dan kes mempunyai kaitan epidemiologi serta berlaku dalam tempoh inkubasi penyakit HFMD.

Kes HFMD banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah iaitu sebanyak 29,781 kes (94%), diikuti oleh kumpulan umur 7 hingga 12 tahun iaitu 1,473 kes (5%).

Penyakit HFMD ini berkait rapat dengan amalan kebersihan diri dan persekitaran. Penyakit ini cepat menular dengan kadar jangkitan hampir 100% dalam kalangan kanak-kanak berumur kurang dari 10 tahun; terutamanya di premis tempat tumpuan kanak-kanak seperti di taska, tadika atau sekolah. Justeru, KKM ingin menasihatkan ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak yang mempunyai tanda-tanda jangkitan supaya:

  1. Tidak membawa anak ke tempat-tempat awam / sekolah / taska / tadika / pusat asuhan kerana boleh merebakkan jangkitan;
  2. Membawa anak yang mempunyai tanda jangkitan berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan dan nasihat;
  3. Mengamalkan kebersihan dengan mencuci tangan menggunakan sabun dan air bersih selepas ke tandas, selepas menukar lampin, dan selepas menyentuh / merawat lepuh dan semasa mencuci najis kanak-kanak tersebut;
  4. Membersihkan (basmikuman menggunakan larutan chlorine based) permainan anak serta lantai rumah terutama tandas;
  5. Memastikan pembuangan lampin pakai-buang dibuat dengan betul;
  6. Menggunakan peralatan makan dan minum yang berasingan dan tidak berkongsi barangan dengan anak-anak yang lain; dan
  7. Pihak pengusaha taska, tadika dan lain-lain pusat jagaan kanak-kanak disarankan supaya mengadakan saringan di pintu-pintu masuk (gate-keeping) bagi memastikan tiada tanda-tanda jangkitan HFMD sebelum kanak-kanak dibenarkan memasuki premis.

Pihak KKM sentiasa memantau kejadian penyakit HFMD di seluruh negara dan mengambil tindakan kawalan dan pencegahan bersama-sama Kementerian dan agensi berkaitan. Antara aktiviti yang telah dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah adalah:

i)      mengeluarkan surat alert kepada semua jabatan dan agensi yang bertanggungjawab menyelia taska, tadika, tabika dan pra-sekolah di peringkat negeri dan daerah;

ii)     mengadakan sesi taklimat kepada pengusaha dan penyelia taska, tadika, tabika dan pra-sekolah, sama ada melalui webinar mahupun sesi townhall bagi meningkatkan kesedaran dan pengetahuan berkaitan penyakit HFMD dan status penularannya di kawasan setempat;

iii)    menyediakan teks hebahan dan diberikan kepada pihak pengurusan masjid dan pasaraya untuk dibuatkan hebahan kepada pengunjungnya;

iv)    menjalankan hebahan berkala melalui kenyataan akhbar dan pengumuman kepada orang ramai yang tinggal di kawasan-kawasan perumahan khususnya yang mempunyai taburan kes sporadik yang tinggi agar mengambil langkah-langkah kawalan dan pencegahan yang sewajarnya; dan

(v)    menguar-uarkan maklumat berkaitan HFMD melalui infografik di multi-media seperti Facebook, Twitter, Telegram dan lain-lain, serta bual bicara di televisyen serta radio.

Untuk makluman, penyakit HFMD merupakan penyakit berjangkit yang perlu dinotifikasi mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Orang ramai boleh melaporkan kejadian kes HFMD yang berlaku di taska, tadika, dan sekolah kepada Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran. 

Selain itu, KKM telah mengambil langkah yang proaktif dengan mengaktifkan ciri terbaru semakan status penyakit berjangkit di kawasan sekitar (Infectious Disease Tracker) dalam aplikasi MySejahtera bagi kes penyakit berjangkit seperti penyakit COVID-19, Anjing Gila (Rabies), Demam Campak (Measles), Denggi, dan HFMD di kawasan sekitar. Ciri ini boleh membantu orang awam untuk menyemak status titik merah dan pelaporan kes-kes penyakit berjangkit di sesebuah kawasan. Ini akan membantu mereka merancang aktiviti dan perjalanan harian secara lebih berhati-hati selepas mengenal pasti kawasan berisiko dalam radius berbeza mengikut penyakit. Oleh itu, KKM berharap agar masyarakat dapat menggunakan aplikasi ini dengan sebaiknya supaya kes penyakit berjangkit di Malaysia dapat ditangani dengan lebih baik lagi. Langkah-langkah mengaktifkan ciri hotspot dalam aplikasi MySejahtera adalah seperti yang tertera pada Lampiran 1.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO' SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH 

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

17 Mei 2022 @ 12.00 tengah hari 

Categories: Communicable disease, Dengue, Press

Tagged as: ,