Communicable disease

Kenyataan Media KPK 21 Mei 2022 – Wabak Monkeypox Di Beberapa Negara Benua Eropah, Amerika Syarikat, Kanada Dan Australia

WABAK MONKEYPOX DI BEBERAPA NEGARA BENUA EROPAH, AMERIKA SYARIKAT, KANADA DAN AUSTRALIA

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin merujuk kepada berita penularan wabak monkeypox di tiga (3) benua iaitu Benua Eropah (United Kingdom, Sepanyol, Portugal, Belgium, Peranchis, Itali dan Jerman), Benua Amerika (Amerika Syarikat dan Kanada) dan Australia. Sehingga 20 Mei 2022, lebih 100 kes telah dilaporkan dijangkiti virus monkeypox, sama ada kes disahkan mahupun yang disyaki. Kebanyakan kes yang dijangkiti ini tidak melaporkan sejarah perjalanan ke negara yang diketahui endemik penyakit ini. Laporan awal mengatakan sebahagian kes yang mengalami jangkitan monkeypox ini mendapat jangkitan melalui kontak langsung dengan individu lain (pesakit monkeypox).

Monkeypox disebabkan oleh jangkitan orthopoxviruses. Virus ini ditularkan kepada manusia melalui gigitan atau sentuhan langsung dengan darah binatang atau cecair badan dan luka haiwan yang dijangkiti. Virus ini juga boleh disebarkan melalui titisan sekresi pernafasan. Virus monkeypox ini juga boleh menular melalui kontak langsung dengan cecair daripada ruam makulopapular di badan orang yang dijangkiti atau dengan objek yang tercemar virus, seperti tempat tidur atau pakaian. Tempoh inkubasi biasanya antara 6 hingga 21 hari. Pesakit akan mengalami gejala selama dua (2) hingga empat (4) minggu.

Tanda-tanda jangkitan mirip cacar (smallpox), iaitu demam, keletihan, sakit kepala serta ruam makulopapular yang bermula di muka kemudian menyebar ke tapak tangan dan tapak kaki, diikuti oleh bahagian-bahagian tubuh yang lain. Pesakit juga mungkin mengalami lenguh tubuh badan, sakit bahagian belakang badan atau sendi, kejang otot dan pembengkakan kelenjar limfa. Kanak-kanak dan individu yang mempunyai tahap immuniti yang rendah (immune deficiency) mempunyai risiko dengan gejala lebih serius dan boleh menyebabkan kematian. Kadar kematian di negara-negara endemik monkeypox dianggarkan sebanyak 3-6%.

Penyakit ini telah dilaporkan di kawasan hutan hujan tropika di Afrika Tengah dan Afrika Barat sejak tahun 2005. Negara-negara yang terdapat di kawasan ini adalah Republik Demokratik Congo, Republik Congo, Cameroon, Republik Afrika Tengah, Nigeria, Ivory Coast, Liberia, Sierra Leone, Gabon dan Sudan Selatan. Monkeypox dianggap endemik di Republik Demokratik Congo (DRC), dengan lebih daripada 1,000 kes disyaki setiap tahun. Nigeria telah melaporkan wabak monkeypox yang besar pada tahun 2017 hingga 2018.

Kemungkinan transmisi jangkitan dari manusia ke manusia adalah terhad. Oleh itu, risiko virus ini tersebar ke Malaysia adalah rendah, kecuali sekiranya terdapat sejarah bersentuhan dengan haiwan yang dijangkiti ataupun kontak langsung dengan pesakit yang dijangkiti monkeypox. KKM telah menyediakan Soalan Lazim (Frequently Ask Questions – FAQ) mengenai jangkitan monkeypox bagi menjelaskan lagi mengenai penyakit ini. FAQ ini boleh dimuat turun dari laman Facebook CPRC Kebangsaan di https://www.facebook.com/187891761403516/posts/1891643347695007/ .

KKM akan terus memantau perkembangan situasi monkeypox ini melalui laporan yang dikeluarkan oleh pihak WHO dan melakukan pemantauan kes disyaki monkeypox di Malaysia di semua Pintu Masuk Antarabangsa (PMA). KKM ingin menasihati pengembara ke kawasan-kawasan yang terdapat kejadian monkeypox di Afrika Tengah dan Afrika Barat dan juga negara-negara yang sedang mengalami wabak penyakit ini untuk mengambil langkah berjaga-jaga seperti berikut:

 i.       Mengekalkan kebersihan diri yang tinggi, termasuk mencuci tangan dengan kerap selepas pergi ke tandas atau apabila tangan kotor;

 ii.      Mengelakkan daripada sentuhan langsung dengan luka pada mereka yang dijangkiti, sama ada manusia mahupun haiwan, serta objek yang mungkin tercemar dengan cecair tubuh kes, seperti pakaian yang kotor yang digunakan oleh orang yang dijangkiti; dan

 iii.      Mengelakkan daripada bersentuhan dengan haiwan liar atau memakan dagingnya.

Pengembara  yang tiba di Malaysia dari kawasan yang terdapat jangkitan monkeypox dan mengalami gejala penyakit ini dalam tempoh 3 minggu selepas meninggalkan kawasan tersebut dinasihatkan supaya segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran. Maklumkan kepada doktor mengenai sejarah perjalanan tersebut. Elakkan daripada kontak langsung dengan individu lain dan lakukan pengasingan diri selama sekurang-kurangnya 21 hari bagi memastikan ruam makulopapular kering sepenuhnya.

Pada masa ini, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) mempunyai kapasiti untuk menjalankan ujian pengesanan virus penyebab monkeypox dalam kalangan manusia. Manakala Makmal Kesihatan Awam Veterinar serta makmal Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) juga mempunyai kemampuan makmal untuk menjalankan pengujian mengesan orthopoxviruses dalam kalangan haiwan. KKM sentiasa bekerjasama rapat dengan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) dan PERHILITAN utk memantau kejadian monkeypox dalam kalangan haiwan liar, termasuk yang diimport dari Afrika dan Benua Eropah.

KKM menyeru orang ramai untuk segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala jangkitan monkeypox agar tindakan pengasingan dapat segera dilakukan serta pengesanan dan kuarantin kontak dapat dilaksanakan bagi mengekang penularan jangkitan. Semoga tindakan awal semua pihak dapat mengelakkan kemasukan virus monkeypox ke dalam Malaysia. KKM akan memaklumkan situasi jangkitan monkeypox dari semasa ke semasa.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

21 Mei 2022 @ 6:30 petang

Categories: Communicable disease, Press

Tagged as: