Food

Kenyataan Akhbar KPK 30 Mei 2022 – Isu Penarikan Balik Produk Mentega Kacang Berjenama Jif Dari Pasaran Amerika Syarikat Yang Dikhuatiri Tercemar Dengan Bakteria Salmonella

ISU PENARIKAN BALIK PRODUK MENTEGA KACANG BERJENAMA JIF DARI PASARAN AMERIKA SYARIKAT YANG DIKHUATIRI TERCEMAR DENGAN BAKTERIA SALMONELLA

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum mengenai isu penarikan balik produk mentega kacang berjenama Jif dari pasaran Amerika Syarikat kerana dikhuatiri tercemar dengan bakteria Salmonella melalui notifikasi yang diterima dari International Food Safety Authorities Networks (INFOSAN). Notifikasi tersebut menyatakan Pihak Berkuasa Dadah dan Makanan, Amerika Syarikat (USFDA) telah mengarahkan produk mentega kacang berjenama Jif dengan nombor batch di antara 1274425 hingga 2140425 iaitu hanya melibatkan tiga (3) digit terakhir 425 ditarik balik kerana telah tercemar dengan bakteria Salmonella. Produk mentega kacang tersebut telah diedarkan ke beberapa negara seperti Kanada, Thailand, Honduras, Sepanyol, Jepun, Korea, Taiwan, Singapura dan termasuk Malaysia.

Melalui semakan KKM ke atas data Food Safety Information System of Malaysia (FoSIM) mengesahkan produk mentega kacang berjenama Jif tersebut telah diimport ke negara ini. Sehubungan itu, KKM telah meminta pihak syarikat yang mengimport menarik balik produk yang terlibat di pasaran. Selain itu, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan memantau di semua pintu masuk negara bagi memastikan tiada produk terlibat memasuki ke negara ini.

Penjual hendaklah menghentikan penjualan produk terlibat dengan nombor batch di antara 1274425 hingga 2140425 dengan tiga (3) digit terakhir 425 dengan serta-merta, manakala pengguna yang telah membeli produk tersebut dengan nombor batch terlibat diminta untuk tidak memakan produk tersebut.

Salmonella merupakan sejenis bakteria yang boleh menyebabkan keracunan makanan sekiranya terdapat dalam makanan seperti daging, ayam, telur, buah-buahan, sayur-sayuran dan makanan yang telah diproses jika aspek kebersihan diabaikan atau makanan tidak diproses dengan sempurna.

KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Sebarang maklumat atau kemusykilan berhubung isu ini, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat, menyalurkan melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau laman facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM)

Sekian, terima kasih.

 

TAN SRI DATO' SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

30 Mei 2022 @ 12 tengah hari

Categories: Food, Food Safety, Press

Tagged as: