SITUASI SEMASA KEJADIAN PENYAKIT TANGAN, KAKI DAN MULUT (HFMD) DI MALAYSIA
Kementerian Kesihatan Malaysia ingin memaklumkan mengenai situasi terkini penyakit tangan, kaki dan mulut atau “Hand, Foot And Mouth Disease” (HFMD) di Malaysia.
Bagi tahun 2022 sehingga hari terakhir minggu epidemiologi (ME) 21/2022 (pada 28 Mei 2022), sejumlah 65,535 kes HFMD telah dilaporkan, iaitu peningkatan sebanyak 27 kali ganda bagi tempoh yang sama bagi tahun 2021 (semasa pandemik COVID-19) iaitu 2,333 kes. Jika dibandingkan dengan tempoh yang sama pada tahun 2019 (sebelum pandemik COVID-19) dengan kes sebanyak 29,846, ia menunjukkan peningkatan sebanyak 1.2 kali ganda. Manakala kes HFMD yang dilaporkan bagi ME 21/2022 adalah 18,602 berbanding 15,548 pada ME 20/2022 iaitu peningkatan sebanyak 19.6% (Rajah 1).
Pada tahun 2022, sehingga 28 Mei 2022, Negeri Selangor menyumbang jumlah kes HFMD tertinggi berbanding negeri-negeri lain iaitu 18,525 kes (28.27%), diikuti oleh WP Kuala Lumpur & Putrajaya 8,088 kes (12.34%), Perak 5,810 kes (8.87%), Kelantan 4,905 kes (7.48%), dan Sabah 4,077 kes (6.22%) (Rajah 2).
Sebanyak 59,831 kes HFMD (91%) dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah dan 4,593 kes (7%) adalah kanak-kanak berumur 7 hingga 12 tahun.
Survelan enterovirus pula mendapati tiga (3) virus utama yang menyebabkan penularan penyakit HFMD dalam komuniti pada tahun 2022; iaitu Coxsackie A16 (CA16), Coxsackie A6 (CA6) dan Enterovirus 71 (EV71). Pada tahun 2022, sehingga kini, terdapat tiga (3) kes HFMD yang dimasukkan ke Wad Rawatan Rapi (ICU). Kes pertama dan kes kedua dimasukkan ke ICU kerana mengalami komplikasi radang otak (encephalitis) dan disahkan dijangkiti EV71. Manakala kes ketiga dimasukkan ke ICU kerana pemantauan selepas pembedahan perut. Kes ketiga ini telah pun dipindahkan ke wad pembedahan biasa pada 27 Mei 2022 untuk pemantauan lanjut. Manakala kes pertama dan kedua masih di bawah pemantauan rapi di ICU.
Sehingga kini, sebanyak 1,505 wabak dilaporkan di Malaysia di mana tiga (3) negeri mencatatkan kejadian wabak tertinggi iaitu WPKL & Putrajaya iaitu 502 wabak (33.4%), diikuti Selangor 172 wabak (11.4%) dan Perak 168 wabak (11.2%). Majoriti lokasi penularan wabak berlaku di taska, tadika dan pra-sekolah iaitu 913 wabak (61%) diikuti di rumah persendirian dengan 526 wabak (35%) dan juga pusat jagaan kanak-kanak sebanyak 51 wabak (3%). Wabak dikira apabila terdapat dua (2) atau lebih kes dalam satu lokaliti dan kes mempunyai kaitan epidemiologi serta berlaku dalam tempoh inkubasi penyakit HFMD.
Sehubungan itu, KKM ingin menegaskan kepentingan menjalankan saringan kesihatan kepada kanak-kanak di pintu masuk taska/ tadika/ tabika/ pra-sekolah, dan pusat-pusat asuhan dan pembelajaran kanak-kanak bagi mengesan kanak-kanak yang mempunyai gejala penyakit berjangkit termasuk HFMD. Ini kerana premis ini merupakan tempat yang mudah berlaku penularan jangkitan penyakit berjangkit disebabkan:
- perhimpunan ramai kanak-kanak;
- kanak-kanak adalah kumpulan rentan kepada jangkitan kerana sistem imuniti yang belum matang terutama pada kanak-kanak berumur bawah satu (1) tahun;
- terdapat kanak-kanak yang belum pernah dijangkiti penyakit berjangkit lazim yang berlaku kepada kanak-kanak seperti HFMD, Upper Respiratory Tract Infection (URTI), dan lain-lain; dan
- terdapat kanak-kanak yang belum lengkap vaksin rutin di bawah Program Imunisasi Kebangsaan.
Saringan kesihatan ke atas kanak-kanak di pintu masuk taska/ tadika/ tabika/ pra-sekolah, dan pusat-pusat asuhan dan pembelajaran kanak-kanak adalah penting bagi memastikan kanak-kanak dengan gejala penyakit berjangkit seperti demam, ruam, cirit birit, dan sebagainya:
- tidak dibenarkan masuk ke premis bagi mengurangkan risiko jangkitan kepada kanak-kanak lain;
- dinasihatkan ibu bapa supaya menghantar anak ke fasiliti kesihatan bagi pemeriksaan dan rawatan lanjut; dan
- dilakukan pengasingan di bilik khas dan tidak bercampur/bergaul dengan kanak-kanak lain bagi mengelakkan penularan jangkitan.
Aktiviti saringan kesihatan di pintu masuk premis ini juga adalah bagi mencegah berlakunya wabak/ kluster penyakit berjangkit di premis, yang mana boleh menyebabkan premis ditutup di bawah subsekysen 18(1)(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] bagi tujuan pembersihan dan basmi kuman.
Sehingga 29 Mei 2022, sebanyak 1,174 premis taska/ tadika/ tabika/ pra-sekolah telah ditutup; iaitu 228 premis secara sukarela dan 946 premis ditutup di bawah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988. Manakala, sebanyak 715 premis (61%) telah pun dibuka semula setelah pemeriksaan oleh Pejabat Kesihatan Daerah mendapati langkah basmi kuman telah diambil dan langkah-langkah kawalan serta pencegahan yang lain telah dilaksanakan oleh premis tersebut.
Bagi tahun 2022, sehingga 28 Mei, tindakan kawalan dan langkah pencegahan bagi penyakit HFMD yang telah dilaksanakan di seluruh Malaysia adalah seperti berikut:
Jadual 1: Ringkasan Aktiviti Kawalan dan Pencegahan HFMD
Bil. | Aktiviti | Bilangan |
1 | Bilangan premis diperiksa | 26,067 |
2 | Bilangan premis ditunjukajar dan dipantau pelaksanaan disinfeksi | 20,049 |
3 | Penutupan premis (secara sukarela) | 228 |
4 | Penutupan premis (di bawah peruntukan Akta 342) | 946 |
5 | Pembukaan premis | 715 |
6 | Persampelan | 2,187 |
7 | Pendidikan kesihatan | 75,838 |
8 | Townhall Meeting | 187 |
9 | Lawatan ke Indoor Playground | 204 |
Ibu bapa yang mempunyai anak kecil dinasihatkan agar tidak membawa anak ke tempat-tempat yang berisiko berlaku penularan jangkitan HFMD seperti taman permainan awam. Orang ramai juga dinasihatkan agar melaporkan kejadian kes HFMD yang berlaku di taska, tadika, dan sekolah kepada Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran untuk tindakan kawalan.
Sekian, terima kasih.
TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
31 Mei 2022 @10:30 pagi
Categories: Communicable disease, Press
You must be logged in to post a comment.