Communicable disease

Kenyataan Akhbar KPK 6 Jun 2022 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia ME 22/2022 (29 Mei – 4 Jun 2022)

SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT CORONAVIRUS 2019 (COVID-19) DI MALAYSIA

MINGGU EPIDEMIOLOGI 22 (29 MEI – 4 JUN 2022)

STATUS TERKINI PENGGUNAAN FASILITI KESIHATAN

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin mengumumkan bahawa secara kesuluruhan, jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke fasiliti kesihatan (hospital dan Pusat Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah-PKRC awam) bagi setiap 100,000 penduduk meningkat sebanyak 11% pada minggu epidemiologi (ME) ke-22 tahun 2022 (ME 22/2022) berbanding ME 21/2022 (Rajah 1);

Namun begitu, didapati tiada perubahan kepada jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk bagi semua kategori (Rajah 2).

Peratus pengisian katil fasiliti COVID-19 menurun berbanding ME-21/2022 (Rajah 3):

  • Penggunaan katil bukan kritikal menurun sebanyak 8%;
  • Penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) menurun sebanyak 14%; dan
  • Penggunaan katil PKRC tiada perubahan.

Jumlah kes memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) menurun sebanyak 17% (Rajah 4).

PEMANTAUAN COVID-19 DI PUSAT PENILAIAN COVID-19 (CAC) 

Untuk makluman, secara umumnya kes-kes positif COVID-19 yang dipantau oleh Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di seluruh negara semakin menunjukkan pengurangan.

Berikut adalah perbandingan data CAC fizikal yang dilaporkan pada ME 21/2022 dan ME 22/2022 (Rajah 5):

  • Bilangan kedatangan pesakit ke CAC menurun sebanyak 11.6%;
  • Bilangan kes COVID-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah menurun sebanyak 17.8%; dan
  • Bilangan kes COVID-19 yang dirujuk CAC ke PKRC atau hospital meningkat sebanyak 2.5%.

Untuk tren kes aktif harian COVID-19 yang dipantau secara maya (CAC Maya), pada akhir ME22/2022 ianya menurun sebanyak 9.4% berbanding pada akhir ME 21/2022 (dari 22,475 kes kepada 20,363 kes); seperti di Rajah 6:

STATUS TERKINI KES COVID-19

Dari 25 Januari 2020 (ME 4/2020) hingga 4 Jun 2022 (ME 22/2022), situasi terkini COVID-19 adalah seperti berikut:

  • Kumulatif kes baharu: 4,513,631;
  • Kumulatif kes sembuh: 4,455,499 kes;
  • Kumulatif kes kematian: 35,686 kes; dan
  • Kumulatif kluster: 7,010 kluster (kluster aktif: 4 kluster).

Perbandingan antara ME 21/2022 dan ME 22/2022:

  • Bilangan kes sembuh pada ME 22/2022 menurun sebanyak 13.4% (15,925 kes kepada 13,797 kes) Rajah 7;
  • Bilangan kes baharu pada ME 22/2022 menurun sebanyak 15.5% (13,076 kes kepada 11,052 kes) Rajah 8;
    • Bilangan kes tempatan menurunsebanyak 15.4% (13,022 kes kepada 11,022 kes); dan
    • Bilangan kes import menurun sebanyak 45.5% (55 kes kepada 30 kes).
  • Bilangan kes kematian pada ME 22/2022 menunjukkan peningkatan kepada 36.8 % (19 kes kepada 26 kes) berbanding ME 21/2022; dan
  • Purata kes aktif setiap hari bagi ME 22/2022 adalah 23,290, iaitu terdapat penurunan sebanyak 8.2% berbanding minggu sebelumnya (Rajah 9).

NILAI RT Purata nilai RT juga menunjukkan penurunan sebanyak2.2% pada ME 22/2022 berbanding ME 21/2022 (Rajah 10).

SURVELAN INFLUENZA-LIKE ILLNESS (ILI) DAN SEVERE ACUTE RESPIRATORY INFECTION (SARI) BAGI COVID-19

KKM ingin memaklumkan bahawa sehingga ME 22/2022, hasil survelan COVID-19 di lokasi sentinel seluruh negara mendapati:

  • Kadar positif sampel Influenza-Like Illness (ILI) bagi COVID-19 menurun sebanyak 14.5%, iaitu 8.3% pada ME 21/2022 kepada 7.1% pada ME 22/2022 (Rajah 11); dan
  • Kadar positif sampel Severe Acute Respiratory Infection (SARI) bagi COVID-19 pada ME 22/2022 masih kekal kepada 0.0% (Rajah 12).

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

Bermula pada 1 April 2022, Malaysia telah berada dalam Fasa Peralihan ke Endemik. Perubahan fasa ini dapat dicapai susulan keberkesanan tindakan pencegahan dan kawalan kesihatan awam termasuk program vaksinasi COVID-19 dalam menguruskan penularan jangkitan COVID-19 dalam negara.

KKM ingin menasihati orang ramai agar terus mematuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan iaitu;

  • Elakkan 3S;
  • Amalkan 3W;
  • Amalkan TRIIS;
  • Jalani ujian COVID-19 sekiranya bergejala;
  • Individu positif COVID-19 Kategori 1 dan 2A dan bukan berisiko tinggi (berumur bawah 60 tahun dan tidak mempunyai komorbid), tidak perlu hadir ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC), sebaliknya hanya perlumelakukan pemantauan kendiri melalui HAT dalam aplikasi MySejahtera. SMS atau panggilan daripada perkhidmatan Automated Voice Recording (robocall) akan diterima sekiranya belum atau tidak menjalankan pemantauan kendiri setiap hari;
  • Individu yang perlu hadir ke CAC terdekat (senarai penuh lokasi, nombor telefon dan waktu operasi boleh didapatkan di https://covid-19.moh.gov.my/hotline)   untuk penilaian lanjut akan dimaklumkan melalui MySejahtera atau dihubungi CAC melalui SMS atau panggilan telefon;
  • Individu yang positif COVID-19 Kategori 2B dan ke atas (sama ada berisiko tinggi atau tidak) atau mempunyai gejala yang semakin teruk, dikehendaki hadir ke CAC atau hospital terdekat bagi pemeriksaan lanjut tanpa menunggu panggilan telefon daripada CAC; dan
  • Individu yang belum menerima vaksin COVID-19 dinasihatkan agar segera mendaftar dan mendapatkan vaksin bagi melindungi diri dan orang tersayang.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO. KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

6 Jun 2022 @ 12.00 tengah hari