Communicable disease

Kenyataan Akhbar KPK 13 Jun 2022 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia Minggu Epidemiologi 23 (5 – 11 Jun 2022)

SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT CORONAVIRUS 2019 (COVID-19) DI MALAYSIA

MINGGU EPIDEMIOLOGI 23 (5 JUN – 11 JUN 2022)

STATUS TERKINI PENGGUNAAN FASILITI KESIHATAN

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin mengumumkan bahawa secara kesuluruhan, jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke fasiliti kesihatan (hospital dan PKRC awam) bagi setiap 100,000 penduduk menurun sebanyak 10% pada minggu epidemiologi (ME) ke-23 tahun 2022 (ME 23/2022) berbanding ME 22/2022 (Rajah 1);

Namun begitu, jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital awam bagi  setiap 100,000 penduduk meningkat sebanyak 20% (Rajah 2);

  • Jumlah pesakit kategori 1 dan 2 meningkat sebanyak 33.3%; manakala
  • Jumlah pesakit kategori 3,4,dan 5, meningkat sebanyak 9%.

Peratus pengisian katil fasiliti COVID-19 meningkat berbanding ME-22 (Rajah 3):

  • Penggunaan katil bukan kritikal meningkat sebanyak 8%;
  • Penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) menurun sebanyak 17%; dan
  • Penggunaan katil Pusat Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) meningkat sebanyak 200%.

Jumlah kes memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) menurun sebanyak 20% (Rajah 4):

PEMANTAUAN COVID-19 DI PUSAT PENILAIAN COVID-19 (CAC)

Untuk makluman, kes-kes positif COVID-19 yang dipantau oleh Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di seluruh negara semakin menunjukkan penurunan.

Berikut adalah perbandingan data CAC fizikal yang dilaporkan pada ME 22/2022 dan ME 23/2022 (Rajah 5):

  • Bilangan kedatangan pesakit ke CAC menurun sebanyak 8.7%;
  • Bilangan kes COVID-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah menurun sebanyak 0.5%; dan
  • Bilangan kes COVID-19 yang dirujuk CAC ke PKRC atau hospital meningkat sebanyak 51.9%.

Untuk trend kes aktif harian COVID-19 yang dipantau secara maya (CAC Maya), pada akhir ME 23/2022 ianya naik 6% berbanding pada akhir ME 22/2022 (dari 20,363 kes kepada 21,591 kes); seperti di Rajah 6:

STATUS TERKINI KES COVID-19

Dari 25 Januari 2020 (ME 4/2020) hingga 11 Jun 2022 (ME 23/2022), situasi terkini COVID-19 adalah seperti berikut:

  • Kumulatif kes baharu: 4,524,727;
  • Kumulatif kes sembuh: 4,466,305 kes;
  • Kumulatif kes kematian: 35,711 kes; dan
  • Kumulatif kluster: 7,015 kluster (kluster aktif: 4 kluster).

Perbandingan antara ME 22/2022 dan ME 23/2022:

  • Bilangan kes sembuh pada ME 23/2022 menurun sebanyak 21.7% (13,797 kes kepada 10,806 kes) Rajah 7;
  • Bilangan kes baharu pada ME 23/2022 meningkat sebanyak 0.4% (11,052 kes kepada 11,096 kes) Rajah 8;
    • Bilangan kes tempatan meningkatsebanyak 0.5% (11,022 kes kepada 11,076 kes); dan
    • Bilangan kes import menurun sebanyak 33.3% (30 kes kepada 20 kes).
  • Bilangan kes kematian pada ME 23/2022 menunjukkan penurunan kepada 3.8 % (26 kes kepada 25 kes) berbanding ME 22/2022; dan
  • Purata kes aktif setiap hari bagi ME 23/2022 adalah 22,013 iaitu terdapat penurunan sebanyak 5.5 % berbanding minggu sebelumnya (Rajah 9).

NILAI RT

Purata nilai RT juga menunjukkan peningkatan sebanyak 5.5% pada ME 23/2022 berbanding ME 22/2022 (Rajah 10).

SURVELAN INFLUENZA-LIKE ILLNESS (ILI) DAN SEVERE ACUTE RESPIRATORY INFECTION (SARI) BAGI COVID-19

KKM ingin memaklumkan bahawa sehingga ME 23/2022, hasil survelan COVID-19 di lokasi sentinel seluruh negara mendapati:

  • Kadar positif sampel Influenza-Like Illness (ILI) bagi COVID-19 menurun sebanyak 65.6%, iaitu 10.9% pada ME 22/2022 kepada 3.8% pada ME 23/2022 (Rajah 11); dan
  • Kadar positif sampel Severe Acute Respiratory Infection (SARI) bagi COVID-19 pada ME 23/2022 meningkat sebanyak  29.1%, iaitu 6.8% pada ME 22/2022 kepada 8.8% pada ME 23/2022 (Rajah 12)

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

Bermula pada 1 April 2022, Malaysia telah berada dalam Fasa Peralihan ke Endemik. Perubahan fasa ini dapat dicapai susulan keberkesanan tindakan pencegahan dan kawalan kesihatan awam termasuk program vaksinasi COVID-19 dalam menguruskan penularan jangkitan COVID-19 dalam negara.

KKM ingin menasihati orang ramai agar terus mematuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan iaitu;

  • Elakkan 3S;
  • Amalkan 3W;
  • Amalkan TRIIS;
  • Jalani ujian COVID-19 sekiranya bergejala;
  • Individu positif COVID-19 Kategori 1 dan 2A dan bukan berisiko tinggi (berumur bawah 60 tahun dan tidak mempunyai komorbid), tidak perlu hadir ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC), sebaliknya hanya perlumelakukan pemantauan kendiri melalui HAT dalam aplikasi MySejahtera. SMS atau panggilan daripada perkhidmatan Automated Voice Recording (robocall) akan diterima sekiranya belum atau tidak menjalankan pemantauan kendiri setiap hari;
  • Individu yang perlu hadir ke CAC terdekat (senarai penuh lokasi, nombor telefon dan waktu operasi boleh didapatkan di https://covid-19.moh.gov.my/hotline)   untuk penilaian lanjut akan dimaklumkan melalui MySejahtera atau dihubungi CAC melalui SMS atau panggilan telefon;
  • Individu yang positif COVID-19 Kategori 2B dan ke atas (sama ada berisiko tinggi atau tidak) atau mempunyai gejala yang semakin teruk, dikehendaki hadir ke CAC atau hospital terdekat bagi pemeriksaan lanjut tanpa menunggu panggilan telefon daripada CAC; dan
  • Individu yang belum menerima vaksin COVID-19 dinasihatkan agar segera mendaftar dan mendapatkan vaksin bagi melindungi diri dan orang tersayang.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO. KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

13 Jun 2022 @ 10.00 pagi