Communicable disease

Kenyataan Akhbar KPK 14 Jun 2022 – Situasi Semasa Kejadian Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) di Malaysia (ME 23 2022)

SITUASI SEMASA KEJADIAN PENYAKIT TANGAN, KAKI DAN MULUT (HFMD) DI MALAYSIA

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan mengenai situasi terkini penyakit tangan, kaki dan mulut atau “Hand, Foot And Mouth Disease” (HFMD) di Malaysia.

Bagi tahun 2022, sehingga hari terakhir minggu epidemiologi  (ME) 23/2022 (pada 11 Jun 2022), sejumlah 95,924 kes telah dilaporkan, iaitu peningkatan sebanyak 36 kali ganda bagi tempoh yang sama pada tahun 2021 (semasa pandemik COVID-19) iaitu 2,654 kes. Jika dibandingkan dengan kes bagi tempoh yang sama pada tahun 2019 (sebelum pandemik COVID-19) iaitu sebanyak 30,880 kes, ia menunjukkan peningkatan sebanyak 3.1 kali ganda. Manakala kes dilaporkan di seluruh negara bagi ME 23/2022 sahaja adalah 13,080, menurun sebanyak 22.9 % berbanding ME 22/2022 iaitu 16,954 kes. Tren kes mingguan HFMD menunjukkan penurunan sejak ME 22/2022 selepas bilangan kes mencapai kemuncak tertinggi pada ME 21/2022 (Rajah 1).

Pada tahun 2022, sehingga 11 Jun 2022, Negeri Selangor menyumbang jumlah kes tertinggi berbanding negeri-negeri lain iaitu 26,799 kes (27.9%). Ia diikuti oleh WP Kuala Lumpur & Putrajaya 10,739 kes (11.2%), Perak 9,744 kes (10.2%), Johor 6,326 kes (6.6%) dan Kelantan 6,153 kes (6.4%); sementara negeri-negeri lain pelaporan kes HFMD sekitar atau kurang daripada 5,500 kes (Rajah 2).

Kes HFMD banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah iaitu sebanyak 86,230 kes (90%), diikuti kumpulan umur 7 hingga 12 tahun seramai 7,878 kes (8%). Manakala selebihnya berumur lebih 12 tahun iaitu seramai 1,816 kes (2%)

Berdasarkan survelan jenis virus (enterovirus) penyebab HFMD di Malaysia, tiga (3) virus utama yang menyebabkan penularan HFMD dalam komuniti pada tahun 2022, adalah Enterovirus 71 (EV71), Coksackie A6 (CA6) dan Coxsackie A16 (CA16). Pada tahun 2022, sehingga kini, terdapat tiga (3) kes HFMD yang dimasukkan ke Wad Rawatan Rapi (ICU). Kes pertama dan kes kedua dimasukkan ke ICU kerana mengalami komplikasi radang otak (encephalitis) disahkan dijangkiti EV71 dan masih di bawah pemantauan rapi di ICU. Manakala kes ketiga telah pun sihat dan dibenarkan pulang ke rumah.

Sehingga kini, sebanyak 1,882 wabak dilaporkan di Malaysia di mana tiga (3) negeri mencatatkan kejadian wabak tertinggi iaitu WPKL & Putrajaya 602 wabak (32.0%), diikuti Sarawak 265 wabak (14.1%) dan Selangor 233 wabak (12.4%). Majoriti lokasi penularan wabak berlaku di taska, tabika, tadika dan pra-sekolah iaitu 1,102 wabak (59%) diikuti oleh rumah persendirian 696 wabak (37%) dan pusat jagaan kanak-kanak sebanyak 55 wabak (3%). Wabak didefinisikan sebagai kejadian kes HFMD dengan jumlah kes dua (2) atau lebih dalam satu lokaliti dan kes mempunyai kaitan epidemiologi serta berlaku dalam tempoh inkubasi penyakit HFMD.

Walaupun terdapat tren penurunan kes HFMD selama dua (2) minggu berturut-turut, orang awam perlu mengamalkan langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan diri dan ahli keluarga daripada dijangkiti HFMD.

KKM juga ingin menasihati ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak yang mempunyai tanda-tanda jangkitan HFMD agar:

  1. Tidak membawa anak ke tempat-tempat awam / sekolah / taska / tadika / pusat asuhan kerana boleh merebakkan jangkitan kepada kanak-kanak lain;
  2. Mengamalkan budaya mencuci tangan dengan sabun dan air bersih selepas ke tandas, selepas menukar lampin dan selepas menyentuh / merawat lepuh;
  3. Membersihkan permainan anak serta lantai rumah termasuk tandas dengan menggunakan larutan campuran klorin; dan
  4. Memastikan lampin pakai-buang dibuang dengan cara yang betul.

Manakala pengusaha dan pengasuh di taska, tadika dan tabika dinasihatkan agar sentiasa:

  1. Memastikan premis termasuk peralatan dan perkakasan yang digunakan oleh kanak-kanak dibersihkan setiap hari;
  2. Membuat saringan di pintu masuk premis bagi memastikan kanak-kanak tiada tanda-tanda jangkitan HFMD. Kanak-kanak dengan gejala dinasihatkan untuk tidak hadir ke sekolah bagi mengelakkan jangkitan kepada kawan-kawannya;
  3. Sentiasa mengamalkan kebersihan diri termasuk mencuci tangan selepas menguruskan seorang kanak-kanak sebelum mengendalikan kanak-kanak lain;
  4. Mengamalkan langkah-langkah pencegahan penyakit berjangkit termasuk penyakit COVID-19 seperti memakai pelitup muka dan menghadkan pergaulan rapat;
  5. Memastikan lampin pakai-buang dibuang dalam tong sampah bertutup; dan
  6. Melaporkan kluster HFMD kepada pejabat kesihatan daerah berhampiran untuk tindakan kawalan dan pencegahan.

Bagi pengusaha indoor playground dan Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPKM) perlu melaksanakan saranan berikut;

  1. Mengadakan gatekeeping screening di pintu masuk indoor playground;
  2. Membuat pembersihan premis dan basmi kuman alatan sekurang-kurangnya dua (2) kali sehari;
  3. Meletakkan papan peringatan/poster berkaitan langkah pencegahan jangkitan HFMD di pintu masuk indoor playground; dan
  4. Menyediakan kemudahan cuci tangan atau hand sanitiser di pintu masuk indoor playground.

Selain itu, KKM juga akan terus menjalankan langkah pencegahan dan kawalan bagi penyakit HFMD. Bagi tahun 2022, sehingga 11 Jun 2022, tindakan kawalan dan langkah pencegahan bagi penyakit HFMD yang telah dilaksanakan di seluruh Malaysia adalah seperti berikut:

Jadual 1: Ringkasan Aktiviti Kawalan dan Pencegahan HFMD

Bil. Aktiviti Bilangan 
1Bilangan premis diperiksa55,227
2Bilangan premis ditunjukajar dan dipantau pelaksanaan disinfeksi28,266
3Penutupan premis (secara sukarela)342
4Penutupan premis (di bawah peruntukan Akta 342)1,125
5Pembukaan premis1,045
6Pendidikan kesihatan167,171
7Townhall Meeting297
8Lawatan ke Indoor Playground438

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH 

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

14 Jun 2022 @ 9:30 pagi

Categories: Communicable disease, Press

Tagged as: