Communicable disease

Kenyataan Akhbar KPK 20 Jun 2022 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus 2019 (COVID-19) di Malaysia Minggu Epidemiologi 24 (12 – 18 Jun 2022)

STATUS TERKINI PENGGUNAAN FASILITI KESIHATAN

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin mengumumkan bahawa secara kesuluruhan, jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke fasiliti kesihatan (hospital dan PKRC awam) bagi setiap 100,000 penduduk tiada perubahan ketara pada minggu epidemiologi (ME) ke-24 tahun 2022 (ME 24/2022) berbanding ME 23/2022.

Walau bagaimanapun, jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital awam bagi  setiap 100,000 penduduk meningkat sebanyak 4% (Rajah 1) di mana;

  • Jumlah pesakit kategori 1 dan 2 meningkat sebanyak 17%; manakala
  • Jumlah pesakit kategori 3,4,dan 5, menurun sebanyak 8%.

Peratus pengisian katil fasiliti COVID-19 juga sedikit meningkat berbanding ME-23 (Rajah 2):

  • Penggunaan katil bukan kritikal meningkat sebanyak 1%;
  • Penggunaan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) meningkat sebanyak 2%; dan
  • Penggunaan katil Pusat Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) menurun sebanyak 1%.

Jumlah pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) meningkat sebanyak 33% (Rajah 3):

PEMANTAUAN COVID-19 DI PUSAT PENILAIAN COVID-19 (CAC)

Untuk makluman, kes-kes positif COVID-19 yang dipantau oleh Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di seluruh negara juga menunjukkan peningkatan.

Berikut adalah perbandingan data CAC fizikal yang dilaporkan pada ME 23/2022 dan ME 24/2022 (Rajah 4):

  • Bilangan kedatangan pesakit ke CAC meningkat sebanyak 22.1%;
  • Bilangan kes COVID-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah meningkat sebanyak 37.6%; dan
  • Bilangan kes COVID-19 yang dirujuk CAC ke PKRC atau hospital meningkat sebanyak 11.4%.

Untuk trend kes aktif harian COVID-19 yang dipantau secara maya (CAC Maya), pada akhir ME 24/2022 ianya naik 26.2% berbanding pada akhir ME 23/2022 (dari 21,591 kes kepada 27,247 kes); seperti di Rajah 5.

STATUS TERKINI KES COVID-19

Dari 25 Januari 2020 (ME 4/2020) hingga 18 Jun 2022 (ME 24/2022), situasi terkini COVID-19 adalah seperti berikut:

  • Kumulatif kes baharu: 4,538,922;
  • Kumulatif kes sembuh: 4,476,829 kes;
  • Kumulatif kes kematian: 35,732 kes; dan
  • Kumulatif kluster: 7,015 kluster (kluster aktif: 4 kluster).

Perbandingan antara ME 23/2022 dan ME 24/2022:

  • Bilangan kes sembuh pada ME 24/2022 menurun sebanyak 2.6% (10,806 kes kepada 10,524 kes) Rajah 6;
  • Bilangan kes baharu pada ME 24/2022 meningkat sebanyak 27.9% (11,096 kes kepada 14,195 kes) Rajah 7;
    • Bilangan kes tempatan meningkatsebanyak 28.1% (11,076 kes kepada 14,187 kes); dan
    • Bilangan kes import menurun sebanyak 60.0% (20 kes kepada 8 kes).
  • Bilangan kes kematian pada ME 24/2022 menunjukkan penurunan kepada 16.0 % (25 kes kepada 21 kes) berbanding ME 23/2022; dan
  • Purata kes aktif setiap hari bagi ME 24/2022 adalah 24,053 iaitu terdapat peningkatan sebanyak 9.3 % berbanding minggu sebelumnya (Rajah 8).

NILAI RT

Purata nilai RT juga menunjukkan peningkatan sebanyak 12.5% pada ME 24/2022 berbanding ME 23/2022 (Rajah 9).

SURVELAN INFLUENZA-LIKE ILLNESS (ILI) DAN SEVERE ACUTE RESPIRATORY INFECTION (SARI) BAGI COVID-19

KKM ingin memaklumkan bahawa sehingga ME 24/2022, hasil survelan COVID-19 di lokasi sentinel seluruh negara mendapati:

  • Kadar positif sampel ILI bagi COVID-19 menurun sebanyak 28.6%, iaitu 8.4% pada ME 23/2022 kepada 6.0% pada ME 24/2022 (Rajah 10); dan
  • Kadar positif sampel SARI bagi COVID-19 pada ME 24/2022 meningkat sebanyak  4.4% , iaitu 0.0% pada ME 23/2022 kepada 4.4% pada ME 24/2022 (Rajah11)

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

Bermula pada 1 April 2022, Malaysia telah berada dalam Fasa Peralihan ke Endemik. Perubahan fasa ini dapat dicapai susulan keberkesanan tindakan pencegahan dan kawalan kesihatan awam termasuk program vaksinasi COVID-19 dalam menguruskan penularan jangkitan COVID-19 dalam negara.

KKM ingin menasihati orang ramai agar terus mematuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan iaitu;

  • Elakkan 3S;
  • Amalkan 3W;
  • Amalkan TRIIS;
  • Jalani ujian COVID-19 sekiranya bergejala;
  • Individu positif COVID-19 Kategori 1 dan 2A dan bukan berisiko tinggi (berumur bawah 60 tahun dan tidak mempunyai komorbid), tidak perlu hadir ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC), sebaliknya hanya perlumelakukan pemantauan kendiri melalui HAT dalam aplikasi MySejahtera. SMS atau panggilan daripada perkhidmatan Automated Voice Recording (robocall) akan diterima sekiranya belum atau tidak menjalankan pemantauan kendiri setiap hari;
  • Individu yang perlu hadir ke CAC terdekat (senarai penuh lokasi, nombor telefon dan waktu operasi boleh didapatkan di https://covid-19.moh.gov.my/hotline)   untuk penilaian lanjut akan dimaklumkan melalui MySejahtera atau dihubungi CAC melalui SMS atau panggilan telefon;
  • Individu yang positif COVID-19 Kategori 2B dan ke atas (sama ada berisiko tinggi atau tidak) atau mempunyai gejala yang semakin teruk, dikehendaki hadir ke CAC atau hospital terdekat bagi pemeriksaan lanjut tanpa menunggu panggilan telefon daripada CAC; dan
  • Individu yang belum menerima vaksin COVID-19 dinasihatkan agar segera mendaftar dan mendapatkan vaksin bagi melindungi diri dan orang tersayang.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO. KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

20 Jun 2022 @ 10.30 pagi

Categories: Communicable disease, Press

Tagged as: