OPERASI PERKHIDMATAN PERUBATAN DAN KESIHATAN SEPANJANG MUSIM IBADAH HAJI 1443H/2022M DI TANAH SUCI MAKKAH DAN MADINAH BERJALAN LANCAR
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan mengenai situasi terkini pengoperasian perkhidmatan perubatan dan kesihatan di Tanah Suci Makkah dan Madinah untuk musim Ibadah Haji 1443H/2022M. Terdahulu pada 13 Mei 2022, YB Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin telah mengumumkan bahawa KKM menghantar sejumlah 255 orang petugas perubatan merangkumi 128 petugas yang telah berpengalaman menyertai operasi sebelum ini dan 127 petugas baharu. Alhamdulillah, operasi perkhidmatan perubatan dan kesihatan yang dilaksanakan di fasiliti-fasiliti kesihatan di bawah Lembaga Tabung Haji (TH) setakat kini berjalan dengan lancar dan amat baik.
Pengoperasian perkhidmatan perubatan dan kesihatan di Makkah dan Madinah
Sukacita dimaklumkan Pusat Rawatan TH di Makkah dan Madinah adalah pusat rawatan jemaah Haji luar negara pertama di Arab Saudi yang mendapat kelulusan Permit (Tarkhis) oleh Kementerian Kesihatan Arab Saudi untuk pembukaan dan pengoperasian hospital bagi musim Haji kali ini. Perkhidmatan-perkhidmatan yang ditawarkan di Pusat Rawatan TH adalah hampir setara dengan Hospital Pakar Minor. Begitu juga untuk Permit Ambulan (Tasrih) untuk menjalankan perkhidmatan ambulan yang mana Malaysia mempunyai 20 buah ambulan spesifikasi tinggi.
Kelulusan permit-permit ini diberikan setelah melalui pemeriksaan yang ketat dan teliti oleh Kementerian Kesihatan Arab Saudi. Ini juga merupakan suatu pengiktirafan kepada kualiti dan standard fasiliti serta perkhidmatan kesihatan bagi jemaah Haji Malaysia di Makkah dan Madinah. Syabas dan tahniah diucapkan kepada pihak TH, YBhg Dato’ Sri Syed Saleh Syed Abdul Rahman (Ketua Rombongan Haji Malaysia), Dr Haji Mohd Shaffari bin Marzuki selaku Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan) serta Rombongan Perubatan Musim Haji 1443H/2022M .
Secara umumnya, KKM memberi perkhidmatan kesihatan di semua tempat penginapan jemaah Haji di bawah kelolaan LTH. Perkhidmatan-perkhidmatan yang ditawarkan adalah hampir setara dengan hospital pakar minor, iaitu termasuklah:
- Rawatan Pesakit Luar (di Klinik Zon/Maktab)
- Rawatan Kecemasan
- Rawatan Pesakit Dalam
- Rawatan Pakar (Perubatan Keluarga, Kecemasan, Perubatan, Ortopedik, Anestesiologi/Bius, Radiologi, Psikiatri dan Kesihatan Awam)
- Rawatan Jemaah Haji di Lapangan Terbang
- Perkhidmatan Panggilan Ambulan
- Radiologi (Pengimejan Diagnostik)
- Makmal Perubatan
- Farmasi pesakit dalam dan pesakit luar
- Fisioterapi
- Perkhidmatan Pergigian
- Khidmat Penjagaan Spiritual
- Perkhidmatan Pergigian
- Khidmat Pemakanan Diet Pesakit
- Survelan Kawalan Penyakit
- Pendidikan Kesihatan
- Perkhidmatan Pembimbing Ibadah Haji
- Khidmat Perhubungan Hospital
- Pemantauan Kualiti Dan Keselamatan Makanan
Secara keseluruhannya di Makkah dan Madinah (Rajah 1), kapasiti katil di Pusat Rawatan Pesakit Dalam adalah sebanyak 268 katil manakala Pusat Rawat dan Rehat pula adalah 184 katil.
Penyakit yang kerap berlaku di Tanah Suci
Sejak Klinik Pesakit Luar mula beroperasi pada 6 Jun 2022, kedatangan pesakit luar kian meningkat. Walau bagaimanapun, hampir keseluruhan kes yang diterima boleh dirawat secara pesakit luar dan mampu dicegah menerusi amalan penjagaan kendiri. Seperti mana pengoperasian musim haji sebelum ini, lima (5) jenis kumpulan penyakit yang paling kerap diterima di Klinik Pesakit Luar di Makkah dan Madinah adalah melibatkan;
- Jangkitan kuman paru-paru seperti jangkitan kuman pernafasan atas (URTI), radang paru-paru dan lelah;
- Penyakit tidak berjangkit seperti penyakit darah tinggi tidak terkawal dan kencing manis tidak terkawal dan serangan jantung;
- Penyakit berkaitan kulit seperti rekahan kulit dan alahan; serta
- Penyakit-penyakit lain seperti tekanan haba, keletihan haba dan kepenatan badan.
Nasihat kepada Jemaah Haji
Keadaan cuaca panas terik dan kering di Tanah Suci Makkah dan Madinah boleh memberi kesan mudarat kepada kesihatan dan langkah penjagaan kesihatan perlu diambil serius oleh para jemaah Haji. Cuaca panas yang terlampau boleh menyebabkan seseorang kerap berpeluh dan kesannya, cecair dalam tubuh akan berkurangan seterusnya menyebabkan individu terbabit akan mudah berasa letih dan kurang bertenaga serta lebih berisiko mengalami dehidrasi dan strok haba.
Ibadah Umrah dan Haji memerlukan kekuatan fizikal dan emosi yang tinggi memandangkan keadaan di tanah suci yang sentiasa sesak di samping cuaca yang panas. Selain itu, penularan jangkitan penyakit berjangkit yang kerap dilihat seperti musim Haji tahun-tahun dahulu masih boleh berlaku di Tanah Suci.
Justeru, Jemaah Haji Malaysia adalah disarankan mengikuti segala nasihat dan panduan kesihatan awam serta amalan pemakanan oleh KKM dan TH supaya tahap kesihatan Jemaah Haji sentiasa dalam keadaan baik bagi membolehkan urusan ibadah dapat dilaksanakan dengan lancar dan sempurna.
Sehubungan itu jemaah Haji Malaysia adalah di sarankan untuk;
- Sentiasa memakai pelitup muka (face mask) terutama di kawasan berisiko seperti kawasan yang sesak dan tertutup seperti dalam lif, surau dan di luar bangunan penginapan jemaah Haji. Jemaah Haji perlu mengetahui maklumat berkaitan pelitup muka iaitu;
- Kebaikan pelitup muka 3-ply / surgical mask / N95
- Cara pemakaian dan menanggalkan pelitup muka;
- Cara pelupusan pembuangan pelitup muka.
- Sentiasa mengamalkan kebersihan diri seperti kerap membasuh tangan, menggunakan hand sanitizer, etika batuk dan amalan kesihatan yang lain seperti kerap minum air;
- Jemaah Haji perlu mendapatkan rawatan awal di Klinik Maktab (Makkah) atau zon (Madinah) jika bergejala. Ini bagi pengesanan awal penyakit seterusnya rawatan awal boleh diberikan bagi mengelak komplikasi penyakit yang teruk.
Menuju kemuncak Ibadah Haji iaitu Wukuf di Arafah, ibadah bermalam di Muzdalifah dan Mina, ibadah melontar di Jamrah, serta aktiviti tawaf dan sai’e, Pasukan Rombongan Perubatan Musim Haji Malaysia sedang membuat persiapan rapi bagi bersedia memberikan perkhidmatan terbaik kepada para jemaah Haji Malaysia. KKM mengucapkan terima kasih atas komitmen dan pengorbanan mereka dalam memastikan para jemaah Haji Malaysia mendapat penjagaan kesihatan terbaik sepanjang Musim Haji.
Sekian, terima kasih.
TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
1 Julai 2022
Categories: Press
You must be logged in to post a comment.