STATUS TERKINI PENGGUNAAN FASILITI KESIHATAN
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin mengumumkan bahawa secara keseluruhan, jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke fasiliti kesihatan (hospital dan PKRC awam) bagi setiap 100,000 penduduk menunjukkan tiada perubahan pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-27 tahun 2022 (ME 27/2022) berbanding ME 26/2022 (Rajah 1);

Walau bagaimanapun, jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk didapati meningkat sebanyak 15 peratus (Rajah 2);
- Pesakit kategori 1 dan 2 meningkat sebanyak 14 peratus; manakala
- Pesakit kategori 3, 4, dan 5, meningkat sebanyak 17 peratus.

Peratus pengisian katil fasiliti COVID-19 berbanding ME-26/2022 (Rajah 3):
- Katil bukan kritikal, tiada perubahan;
- Katil Unit Rawatan Rapi (ICU), meningkat sebanyak satu peratus; dan
- Katil Pusat Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), meningkat sebanyak dua peratus.
Jumlah pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) meningkat sebanyak 0.1 peratus (Rajah 4):

PEMANTAUAN COVID-19 DI PUSAT PENILAIAN COVID-19 (CAC)
KKM juga ingin memaklumkan jumlah kes-kes positif COVID-19 yang dipantau oleh Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di seluruh negara juga telah menunjukkan peningkatan.
Berikut adalah perbandingan data CAC fizikal yang dilaporkan pada ME 26/2022 dan ME 27/2022 (Rajah 5):
- Bilangan kedatangan pesakit ke CAC meningkat sebanyak 27.8 peratus;
- Bilangan kes COVID-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah meningkat sebanyak 12.6 peratus; dan
- Bilangan kes COVID-19 yang dirujuk CAC ke PKRC dan ke hospital meningkat sebanyak 67.5 peratus.

Untuk trend kes aktif harian COVID-19 yang dipantau secara maya (CAC Maya), pada akhir ME 27/2022 ianya meningkat 23.4 peratus berbanding pada akhir ME 26/2022 (dari 43,203 kes kepada 53,306 kes); seperti di Rajah 6:

STATUS TERKINI KES COVID-19
Dari 25 Januari 2020 (ME 4/2020) hingga 9 Julai 2022 (ME 27/2022), situasi terkini COVID-19 adalah seperti berikut:
- Kumulatif kes baharu: 4,592,710;
- Kumulatif kes sembuh: 4,521,579 kes;
- Kumulatif kes kematian: 35,809 kes; dan
- Kumulatif kluster: 7,026 kluster (kluster aktif: 13 kluster).
Perbandingan antara ME 26/2022 dan ME 27/2022:
- Bilangan kes sembuh pada ME 26/2022 meningkat sebanyak 14.6 peratus (14,293 kes kepada 16,379 kes) Rajah 7;
- Bilangan kes baharu pada ME 26/2022 meningkat sebanyak 27.9 peratus (16,694 kes kepada 21,355 kes) Rajah 8;
- Bilangan kes tempatan meningkatsebanyak 28.1 peratus (16,650 kes kepada 21,325 kes); dan
- Bilangan kes import menurunsebanyak 31.8 peratus(44 kes kepada 30 kes).
- Bilangan kes kematian pada ME 27/2022 menunjukkan peningkatan sebanyak 46.2 peratus (26 kes kepada 38 kes) berbanding ME 26/2022; dan
- Purata kes aktif setiap hari bagi ME 27/2022 adalah 32,145 iaitu terdapat peningkatan sebanyak 11.0 peratus berbanding minggu sebelumnya (Rajah 9).
NILAI RT
Purata nilai RT juga menunjukkan peningkatan sebanyak 4.8 peratus pada ME 27/2022 berbanding ME 26/2022 (Rajah 10).
SURVELAN INFLUENZA-LIKE ILLNESS (ILI) DAN SEVERE ACUTE RESPIRATORY INFECTION (SARI) BAGI COVID-19
KKM ingin memaklumkan bahawa sehingga ME 27/2022, hasil survelan COVID-19 di lokasi sentinel seluruh negara mendapati:
- Kadar positif sampel ILI bagi COVID-19 pada ME 27/2022 meningkat sebanyak 94.5 peratus daripada 5.5 peratus pada ME 26/2022 kepada 10.7 peratuspada ME 27/2022 (Rajah 11); dan
- Kadar positif sampel SARI bagi COVID-19 kekal 0 peratus pada ME 27/2022 (Rajah12).
RAIKAN HARI RAYA AIDILADHA DENGAN SELAMAT
Sambutan Hari Raya Aidiladha kali ini merupakan satu rahmat untuk kita meraikannya bersama keluarga, sanak saudara, dan sahabat handai setelah lebih dua tahun bergelut dengan pandemik COVID-19. Meskipun telah berada dalam Fasa Peralihan ke Endemik, perlu diingatkan bahawa COVID-19 masih lagi menjadi musuh utama dan usaha memerangi penyakit COVID-19 masih berterusan.
KKM ingin mengingatkan bahawa kes harian COVID-19 kini semakin meningkat dan individu yang tidak bergejala berkemungkinan menjadi pembawa virus COVID-19. Oleh yang demikian, masyarakat digalakkan untuk melakukan ujian kendiri sebelum pulang ke kampung untuk beraya.
Walaupun pemakaian pelitup muka di kawasan luar bangunan tidak diwajibkan lagi, namun orang ramai dinasihatkan supaya memakai pelitup muka di kawasan sesak bagi melindungi golongan yang berisiko tinggi seperti warga emas dan kanak-kanak dari dijangkiti COVID-19.
Selain itu, KKM juga ingin menasihatkan orang ramai untuk mendapat rehat yang cukup sebelum memulakan perjalanan. Pandu dengan cermat dan tenang, serta lakukan pemeriksaan kenderaan sebelum memulakan perjalanan.
Akhir sekali, KKM ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam. Diharapkan agar kesemua jemaah haji Malaysia diberikan kesihatan untuk menunaikan ibadah dengan sempurna.
NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19
Sejak 1 April 2022, Malaysia telah berada di dalam Fasa Peralihan ke Endemik susulan keberkesanan tindakan pencegahan dan kawalan kesihatan awam. Peralihan fasa ini juga disebabkan oleh kejayaan program vaksinasi COVID-19 di seluruh negara.
Walaupun demikian, KKM ingin menasihati orang ramai agar terus mematuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan iaitu;
- Elakkan 3S;
- Amalkan 3W;
- Amalkan TRIIS;
- Jalani ujian COVID-19 sekiranya bergejala;
- Individu positif COVID-19 Kategori 1 dan 2A dan bukan berisiko tinggi (berumur bawah 60 tahun dan tidak mempunyai komorbid), tidak perlu hadir ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC), sebaliknya hanya perlumelakukan pemantauan kendiri melalui HAT dalam aplikasi MySejahtera. SMS atau panggilan daripada perkhidmatan Automated Voice Recording (robocall) akan diterima sekiranya belum atau tidak menjalankan pemantauan kendiri setiap hari;
- Individu yang perlu hadir ke CAC terdekat (senarai penuh lokasi, nombor telefon dan waktu operasi boleh didapatkan di https://covid-19.moh.gov.my/hotline) untuk penilaian lanjut akan dimaklumkan melalui MySejahtera atau dihubungi CAC melalui SMS atau panggilan telefon;
- Individu yang positif COVID-19 Kategori 2A ke atas (sama ada berisiko tinggi atau tidak) atau mempunyai gejala yang semakin teruk, dikehendaki hadir ke CAC atau hospital terdekat bagi pemeriksaan lanjut tanpa menunggu panggilan telefon daripada CAC; dan
- Individu yang belum menerima vaksin COVID-19 dinasihatkan agar segera mendaftar dan mendapatkan vaksin bagi melindungi diri dan orang tersayang.
KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO. KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.
Sekian, terima kasih.
TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
11 Julai 2022 @ 10.00 pagi
Categories: Press
You must be logged in to post a comment.