STATUS TERKINI PENGGUNAAN FASILITI KESIHATAN
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin mengumumkan bahawa secara keseluruhan, jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke fasiliti kesihatan (hospital dan PKRC awam) bagi setiap 100,000 penduduk meningkat sebanyak sembilan peratus pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-28 tahun 2022 (ME 28/2022) berbanding ME 27/2022 (Rajah 1);

Jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 penduduk meningkat sebanyak 33 peratus (Rajah 2);
- Pesakit kategori 1 dan 2 meningkat sebanyak 33 peratus; manakala
- Pesakit kategori 3, 4, dan 5, meningkat sebanyak 33 peratus.

Peratus pengisian katil fasiliti COVID-19 berbanding ME-27/2022 (Rajah 3) adalah seperti berikut:
- Katil bukan kritikal, meningkat sebanyak dua peratus;
- Katil Unit Rawatan Rapi (ICU), meningkat sebanyak tiga peratus; dan
- Katil Pusat Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), kekal tiada perubahan.
Jumlah pesakit memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) meningkat sebanyak 0.3 peratus (Rajah 4):

PEMANTAUAN COVID-19 DI PUSAT PENILAIAN COVID-19 (CAC)
Untuk makluman, kes-kes positif COVID-19 yang dipantau oleh Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di seluruh negara telah menunjukkan peningkatan.
Berikut adalah perbandingan data CAC fizikal yang dilaporkan pada ME 27/2022 dan ME 28/2022 (Rajah 5):
- Bilangan kedatangan pesakit ke CAC meningkat sebanyak 23.1 peratus;
- Bilangan kes COVID-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah meningkat sebanyak 41.3 peratus; dan
- Bilangan kes COVID-19 yang dirujuk CAC ke PKRC dan hospital meningkat sebanyak 18.2 peratus.

Untuk trend kes aktif harian COVID-19 yang dipantau secara maya (CAC Maya), pada akhir ME 28/2022 ianya meningkat 33.8 peratus berbanding pada akhir ME 27/2022 (dari 53,306 kes kepada 71,326 kes), seperti di Rajah 6:

STATUS TERKINI KES COVID-19
Dari 25 Januari 2020 (ME 4/2020) hingga 16 Julai 2022 (ME 28/2022), situasi terkini COVID-19 adalah seperti berikut:
- Kumulatif kes baharu: 4,619,045;
- Kumulatif kes sembuh: 4,540,717 kes;
- Kumulatif kes kematian: 35,848 kes; dan
- Kumulatif kluster: 7,026 kluster (kluster aktif: 12 kluster).
Perbandingan antara ME 27/2022 dan ME 28/2022:
- Bilangan kes sembuh pada ME 28/2022 telah meningkat sebanyak 16.8 peratus (16,379 kes kepada 19,138 kes) Rajah 7;
- Bilangan kes baharu pada ME 28/2022 telah meningkat sebanyak 23.4 peratus (21,355 kes kepada 26,355 kes) Rajah 8;
- Bilangan kes tempatan meningkatsebanyak 23.4 peratus (21,325 kes kepada 26,317 kes); dan
- Bilangan kes import meningkatsebanyak 26.6 peratus (30 kes kepada 38 kes).
- Bilangan kes kematian pada ME 28/2022 menunjukkan peningkatan sebanyak 2.6 peratus (38 kes kepada 39 kes) berbanding ME 27/2022; dan
- Purata kes aktif setiap hari bagi ME 28/2022 adalah 38,110 iaitu terdapat peningkatan sebanyak 18.6 peratus berbanding minggu sebelumnya (Rajah 9).
NILAI RT
Purata nilai RT juga menunjukkan statik iaitu 1.10 pada ME 28/2022 (Rajah 10).
SURVELAN INFLUENZA-LIKE ILLNESS (ILI) DAN SEVERE ACUTE RESPIRATORY INFECTION (SARI) BAGI COVID-19
KKM ingin memaklumkan bahawa sehingga ME 28/2022, hasil survelan COVID-19 di lokasi sentinel seluruh negara mendapati:
- Kadar positif sampel ILI bagi COVID-19 pada ME 28/2022 meningkat sebanyak 8.5 peratus daripada 10.6 peratus pada ME 27/2022 kepada 11.5 peratuspada ME 28/2022 (Rajah 11); dan
- Kadar positif sampel SARI bagi COVID-19 kekal 0 peratus pada ME 28/2022 (Rajah 12).
NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19
Sejak 1 April 2022, Malaysia telah berada di dalam Fasa Peralihan ke Endemik susulan keberkesanan tindakan pencegahan dan kawalan kesihatan awam. Peralihan fasa ini juga disebabkan oleh kejayaan program vaksinasi COVID-19 di seluruh negara.
Walaupun demikian, KKM ingin menasihati orang ramai agar terus mematuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan iaitu;
- Elakkan 3S;
- Amalkan 3W;
- Amalkan TRIIS;
- Jalani ujian COVID-19 sekiranya bergejala;
- Individu positif COVID-19 Kategori 1 dan 2A dan bukan berisiko tinggi (berumur bawah 60 tahun dan tidak mempunyai komorbid), tidak perlu hadir ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC), sebaliknya hanya perlumelakukan pemantauan kendiri melalui HAT dalam aplikasi MySejahtera. SMS atau panggilan daripada perkhidmatan Automated Voice Recording (robocall) akan diterima sekiranya belum atau tidak menjalankan pemantauan kendiri setiap hari;
- Individu yang perlu hadir ke CAC terdekat (senarai penuh lokasi, nombor telefon dan waktu operasi boleh didapatkan di https://covid-19.moh.gov.my/hotline) untuk penilaian lanjut akan dimaklumkan melalui MySejahtera atau dihubungi CAC melalui SMS atau panggilan telefon;
- Individu yang positif COVID-19 Kategori 2A ke atas (sama ada berisiko tinggi atau tidak) atau mempunyai gejala yang semakin teruk, dikehendaki hadir ke CAC atau hospital terdekat bagi pemeriksaan lanjut tanpa menunggu panggilan telefon daripada CAC; dan
- Individu yang belum menerima vaksin COVID-19 dinasihatkan agar segera mendaftar dan mendapatkan vaksin bagi melindungi diri dan orang tersayang.
KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO. KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.
Sekian, terima kasih.
TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
18 Julai 2022 @ 10.00 pagi
Categories: Communicable disease, Hospital Services, Press, WHO
You must be logged in to post a comment.