Kementerian Kesihatan Malaysia telah terlibat dalam Operasi Pangea XV yang berlangsung dari 23 Jun hingga 1 Julai 2022. Operasi ini merupakan satu tindakan kolektif peringkat antarabangsa terhadap penjualan ubat-ubatan dan produk perubatan yang dijual secara haram. Semasa Operasi Pangea XV 2022 ini, sebanyak 2,438 pautan di laman sesawang menjual produk farmaseutikal tidak berdaftar dikesan dan dianggarkan berjumlah RM2,652,500 produk farmaseutikal tidak berdaftar telah dirampas di seluruh Malaysia.
Operasi Pangea XV ini telah diselaraskan oleh International Criminal Police Organization (INTERPOL) dengan penglibatan polis, kastam dan pihak berkuasa kesihatan dari setiap benua dengan melancarkan tindakan penguatkuasaan secara besar-besaran untuk membanteras penjualan produk farmaseutikal dalam talian. Hampir separuh daripada keseluruhan bungkusan yang diperiksa oleh penguatkuasaan undang-undang di 94 negara di seluruh dunia semasa Operasi Pangea XV didapati mengandungi ubat-ubatan yang menyalahi peruntukan undang-undang.
Di peringkat global, pihak penguat kuasa membuat lebih daripada 7,800 rampasan ubat-ubatan dan produk penjagaan kesihatan yang menyalahi undang-undang dengan jumlah rampasan melebihi daripada tiga juta unit. Pihak penguat kuasa juga telah menyiasat lebih daripada 4,000 pautan laman sesawang, terutamanya daripada platform media sosial dan aplikasi pesanan ringkas. Kesemua pautan tersebut telah disekat akses atau diturunkan kandungan.
Selain itu, pihak penguat kuasa juga telah memeriksa hampir 3,000 bungkusan pos di 280 hab pos di lapangan terbang, sempadan dan pengedaran mel atau pusat mel kargo di negara-negara terlibat dalam Operasi Pangea. Lebih daripada 600 siasatan baharu telah dibuka termasuk 200 waran geledah telah dikeluarkan.
Di Malaysia, operasi ini diselaraskan oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan melibatkan kerjasama antara beberapa agensi lain seperti National Central Bureau (NCB)/ Interpol Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Pos Malaysia, dan CyberSecurity Malaysia. Sebanyak 2,438 laman sesawang termasuk Dark Web dikesan menjual produk farmaseutikal yang menyalahi peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan telah dikesan. Kesemua pautan ini telah dipohon untuk disekat akses oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan penyedia platform. Manakala bagi Dark web pula, senarai pautan telah diserahkan kepada pihak INTERPOL untuk tindakan selanjutnya. Operasi pada tahun ini mendapati peningkatan dalam penjualan ubat-ubatan terkawal seperti bahan psikotropik, ubat penahan sakit, antibiotik dan lain-lain. Di samping itu, sebanyak 686 peranti perubatan seperti pelitup muka, termometer, oximeter dan monitor tekanan darah dikesan dijual tanpa kelulusan daripada Pihak Berkuasa Peranti Perubatan di laman sesawang.
Sepanjang tempoh operasi ini, sebanyak 1,059 bungkusan pos telah diperiksa, dan daripada jumlah tersebut, 73 bungkusan pos yang didapati mengandungi 315,916 unit produk farmaseutikal yang tidak berdaftar telah dirampas yang dianggarkan bernilai sebanyak RM887,024. Lebih kurang 70 peratus produk farmaseutikal yang dirampas adalah terdiri daripada ubat-ubatan terkawal di bawah Akta Racun 1952. Sebanyak 90 peratus daripada ubat-ubatan terkawal yang dirampas adalah di bawah kategori bahan psikotropik. Manakala selebihnya adalah antibiotik, ubat tahan sakit, ubat selsema dan batuk dan lain-lain yang tidak berdaftar dengan KKM. Kebanyakan ubat-ubatan terkawal ini diseludup masuk dari negara Bangladesh, India dan beberapa negara lain. Pemeriksaan dijalankan di semua pintu masuk utama di seluruh negara melibatkan kargo udara, lapangan terbang, pos sempadan dan terminal feri.
Aktiviti penguatkuasaan lain yang dijalankan melibatkan serbuan bersasar ke atas penjual dan premis perniagaan yang terlibat dengan penjualan secara dalam talian. Semasa operasi kali ini, 75 premis yang menjual produk farmaseutikal yang tidak berdaftar termasuk rumah kediaman, salon kecantikan, gimnasium dan kedai menjual barangan haiwan telah diserbu. Dalam serbuan tersebut, 244,299 unit produk farmaseutikal yang menyalahi peruntukan undang-undang telah dirampas untuk tindakan lanjut. Nilai rampasan adalah dianggarkan sebanyak RM1,707,040. Serbuan dalam operasi kali ini mensasarkan produk pelangsing tradisional yang dicampur palsu dengan Sibutramin. Dalam beberapa siri serbuan yang lain, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi telah merampas ubat terkawal seperti analgesik dan antibiotik. Turut dijumpai dalam serbuan tersebut adalah suplemen kesihatan, vitamin dan produk tradisional yang tidak berdaftar dengan KKM. Dalam serbuan berasingan, Pihak Berkuasa Peranti Perubatan telah berjaya merampas sebanyak 26,400 unit sarung tangan getah dan 94 unit ujian RTK COVID-19 yang tidak berdaftar.
Aktiviti kesedaran kepada orang awam juga merupakan sebahagian daripada Operasi Pangea XV. Sebanyak 341 kempen kesedaran kepada orang awam telah dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, KKM dan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan sepanjang tempoh operasi tersebut. Aktiviti kesedaran dijalankan secara menyeluruh di seluruh negara mencakupi aktiviti secara konvensional seperti ceramah dan pameran di samping penggunaan elemen media baharu seperti media sosial. Penyiaran mesej dalam bentuk poster infografik, video kesedaran dan video viral turut dilaksanakan bagi menarik minat segenap lapisan masyarakat selaras dengan perkembangan semasa.
KKM giat menjalankan pemantauan di laman sesawang dan media sosial serta aktiviti penguatkuasaan dalam menangani isu penjualan produk farmaseutikal dan peranti perubatan dalam talian di luar tempoh Operasi Pangea. Malah aktiviti penguatkuasaan ini dijalankan sepanjang masa bagi memastikan semua produk farmaseutikal, tradisional dan kosmetik dalam pasaran adalah selamat digunakan oleh orang awam.
KKM sentiasa memastikan bahawa pengendalian rangkaian bekalan dan pemasaran, iklan-iklan produk farmaseutikal dan penggunaannya dikendalikan dengan mematuhi peruntukan undang-undang yang dikuatkuasakan. Para pengguna juga diingatkan agar sentiasa memastikan produk farmaseutikal dan peranti perubatan yang dibeli adalah berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia. Orang ramai juga boleh menyalurkan aduan melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat https://moh.spab.gov.my agar tindakan sewajarnya dapat diambil bagi membanteras penjualan produk yang menyalahi undang-undang di pasaran.
Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Hisham bin Abdullah
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia
28 Julai 2022
Categories: Drug Safety, Patient Safety, Pharmacy, Press
You must be logged in to post a comment.