Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa satu tinjauan kesihatan mulut untuk orang dewasa sedang dilaksanakan di seluruh Malaysia bermula pada Jun sehingga September 2022. Aktiviti NHMS 2020: NOHSA 2020 ini sebenarnya telah dirancang pelaksanaannya pada tahun 2020, tetapi terpaksa ditangguhkan ekoran daripada pandemik COVID-19 yang melanda negara pada masa tersebut. Tinjauan NHMS 2020: NOHSA 2020 ini merupakan kerjasama di antara Program Kesihatan Pergigian KKM dengan Institut Kesihatan Umum (IKU), KKM.
NHMS 2020: NOHSA 2020 merupakan kaji selidik kesihatan pergigian orang dewasa yang ke-4 dan dijalankan secara berkala setiap 10 tahun. Kaji selidik ini bertujuan untuk mendapatkan data kesihatan pergigian serta bebanan penyakit pergigian dalam kalangan warganegara Malaysia. Antara penemuan utama tinjauan terakhir yang diadakan pada tahun 2010 sebelum ini menunjukkan beban penyakit pergigian yang tinggi dalam kalangan penduduk Malaysia yang berumur 15 tahun ke atas, iaitu 88.9% mempunyai karies pergigian dan 94.0% mengalami penyakit gusi. Rentetan dapatan tinjauan tersebut, Pelan Kesihatan Pergigian Kebangsaan 2011-2020 telah menggariskan pelbagai inisiatif dan program pencegahan bagi mengatasi masalah ini.
NHMS 2020: NOHSA 2020 akan melibatkan lawatan ke rumah-rumah yang terpilih dan dijangka melibatkan seramai 23,000 orang responden yang berumur 15 tahun dan ke atas daripada 11,300 buah rumah. Sebanyak 65 buah pasukan pemeriksa telah dibentuk khusus bagi tinjauan ini untuk aktiviti pengumpulan data yang melibatkan temu ramah dan pemeriksaan mulut yang merangkumi pemeriksaan gigi, gusi dan lesi mulut. Adalah diharapkan agar semua pihak yang terpilih dapat memberi kerjasama kepada pasukan pergigian yang mengunjungi rumah yang terpilih kelak.
Hasil dapatan tinjauan ini dinanti-nantikan oleh pelbagai pihak yang berkepentingan selepas lebih daripada 10 tahun kajian yang sama dijalankan. Ia akan digunakan bagi menilai keberkesanan dan impak ke atas inisiatif serta program-program kesihatan pergigian yang telah dilaksanakan di seluruh negara. Di samping itu, hasil tinjauan ini juga akan dijadikan data garis dasar (baseline) bagi Pelan Strategik Kesihatan Pergigian Kebangsaan (2022-2030) memandangkan majoriti data kesihatan mulut sedia ada hanya diperolehi daripada penduduk yang menggunakan fasiliti KKM sahaja dan tidak mewakili keseluruhan penduduk Malaysia.
Sekian, terima kasih
TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
28 Julai 2022
Categories: Press
You must be logged in to post a comment.