Communicable disease

Kenyataan Media KPK 4 Ogos 2022 – Penerangan Berhubung Pemansuhan Keperluan Mengisi dan Melengkapkan Ciri-Ciri Kad Pengembara Dalam Aplikasi MySejahtera

PENERANGAN BERHUBUNG PEMANSUHAN KEPERLUAN MENGISI DAN MELENGKAPKAN CIRI-CIRI KAD PENGEMBARA DALAM APLIKASI MYSEJAHTERA

Merujuk kepada kenyataan media YB Menteri Kesihatan pada 30 Julai 2022, pemansuhan keperluan untuk mengisi dan melengkapkan ciri-ciri (feature) Kad Pengembara (Traveller’s Card) dalam aplikasi MySejahtera adalah terpakai kepada semua pengembara warganegara dan bukan warganegara yang akan memasuki Malaysia tanpa mengira status vaksinasi berkuatkuasa pada 1 Ogos 2022. Keperluan vaksinasi bagaimanapun masih tertakluk kepada ketetapan syarikat penerbangan.

Pemansuhan ini juga bermaksud tiada lagi keperluan untuk menjalani ujian saringan pra-perlepasan, ujian saringan COVID-19 sewaktu ketibaan dan perintah kuarantin. Walau bagaimanapun, aktiviti pemantauan gejala dalam kalangan pengembara di semua pintu masuk antarabangsa (PMA) Malaysia masih akan diteruskan dan dipertingkatkan.

Semasa ketibaan di PMA, sekiranya pengembara dikesan mengalami demam melalui pengimbas suhu (thermal scanner) ataupun didapati tidak sihat melalui rujukan kendiri oleh pengembara, mereka akan dirujuk untuk pemeriksaan semula oleh pihak kesihatan. Selepas penilaian kesihatan dibuat dan sekiranya disyaki menghidap penyakit berjangkit seperti COVID-19, monkeypox, MERS-CoV atau lain-lain penyakit berkaitan, mereka akan dirujuk ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Sehubungan itu, semua pengembara yang baru tiba dari luar negara hendaklah mengamalkan pemantauan status kesihatan kendiri, mematuhi SOP ditetapkan dan dinasihatkan untuk pergi ke fasiliti kesihatan berhampiran untuk pemeriksaan sekiranya didapati tidak sihat.

Jika terdapat sebarang permasalahan, sila rujuk laman sesawang MySejahtera https://mysejahtera.moh.gov.my/ms/ atau hubungi meja bantuan interaktif kami.

Sekian, terima kasih. 

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA 

4 Ogos 2022 @ 2:00 petang

Categories: Communicable disease

Tagged as: