Press

Kenyataan Akhbar KPK 10 Ogos 2022 – Tindakan Penguatkuasaan Terhadap Kegiatan Khidmat Latihan Kepada Pengamal Pergigian Haram

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin merujuk beberapa siri artikel yang telah diterbitkan menerusi akhbar The Star bertajuk  ‘The terrible ‘tooth’ of fake dentists’, ‘Fake dentists keep mouths zipped’, ‘Patients find dentists on social media – and live to regret it’, ‘How I became a ‘dentist’ in just five hours, beware the dubious dentists’, dan ‘Hard to expose the ugly side of beauty industry’ pada 4-5 Julai 2022.

KKM sedar bahawa kegiatan pengamal haram ini yang turut meliputi pihak yang memberi khidmat latihan kepada pengamal pergigian haram boleh memberi pelbagai kesan buruk dan mengancam kesihatan masyarakat. Menanganinya adalah tanggungjawab bersama dalam mengekang aktiviti pergigian haram yang berleluasa ini iaitu sama ada yang memberi rawatan mahupun yang menerima rawatan, termasuklah pihak yang memberi khidmat latihan yang tidak diiktiraf.

KKM memandang serius setiap aduan yang diterima oleh Program Kesihatan Pergigian, KKM. Aduan yang diterima akan disiasat sebelum tindakan penguatkuasaan diambil (serbuan) melalui peruntukan kuasa di bawah Bahagian VI Akta Pergigian 2018 [Akta 804]. Untuk tindakan penguatkuasaan, risikan dan siasatan perlu dilaksanakan dengan teliti bagi memastikan elemen kesalahan dapat dibuktikan tanpa dilakukan dengan tergesa-gesa. Justeru, KKM menyeru agar masyarakat mengajukan aduan secara rasmi kepada:

Program Kesihatan Pergigian
Kementerian Kesihatan Malaysia
Aras 5, Blok E10, Kompleks E, Presint 1
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya.
Tel: 03-88834215
Email: ohd@moh.gov.my

Sekian, terima kasih

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
10 Ogos 2022

Categories: Press