Food Safety

Kenyataan Media KPK 11 Ogos 2022 – Isu Penarikan Semula Produk Aiskrim Berjenama Haagen-Dazs Dari Pasaran Eropah Yang  Mengandungi Bahan Ethylene Oxide (ETO)

ISU PENARIKAN SEMULA PRODUK AISKRIM BERJENAMA HAAGEN-DAZS DARI PASARAN EROPAH YANG  MENGANDUNGI BAHAN  ETHYLENE OXIDE

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum mengenai isu penarikan balik produk aiskrim berjenama Haagen-Dazs dari pasaran Eropah kerana mengandungi bahan karsinogenik Ethylene Oxide (ETO) berdasarkan laporan notifikasi European Union Rapid Alerts Systems for Food and Feed (EURASAFF). Notifikasi tersebut menyatakan bahawa terdapat penarikan balik produk aiskrim dari negara Perancis yang mengandungi ekstrak vanilla dari negara Madagascar yang dikesan mengandungi ETO melebihi tahap yang dibenarkan. Produk aiskrim tersebut juga telah diedarkan ke beberapa buah negara termasuk Malaysia.

Sejak isu tersebut dilaporkan dan notifikasi diterima oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia pada bulan Julai 2022, tindakan yang sewajarnya telah diambil di mana pihak syarikat yang mengimport telah menarik balik produk aiskrim terlibat di pasaran secara sukarela. Pemantauan yang berterusan juga dilaksanakan bagi memastikan produk terlibat tidak dipasarkan di negara ini.  

Ethylene Oxide (ETO) merupakan sebatian gas kimia yang bersifat karsinogenik dan sering digunakan bagi menjalankan fumigasi atau pewasapan untuk membunuh makhluk perosak seperti serangga. Ianya juga digunakan sebagai bahan aktif dalam bahan pencuci tetapi tidak dibenarkan penggunaannya pada permukaan yang bersentuhan makanan.

KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna. Sekiranya pengguna masih merasa ragu-ragu akan produk berjenama terlibat yang dijual, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat, menyalurkan pertanyaan melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau laman facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) http://www.facebook.com/bkkmhq.

Sekian, terima kasih.

 

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

11 Ogos 2022

 

Categories: Food Safety

Tagged as: