Communicable disease

Kenyataan Media KPK 22 Ogos 2022 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus (COVID-19) di Malaysia Minggu Epidemiologi 32 (7 Julai – 13 Ogos 2022)

SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT

CORONAVIRUS 2019 (COVID-19) DI MALAYSIA

MINGGU EPIDEMIOLOGI 33 TAHUN 2022

(14 OGOS – 20 OGOS 2022)

STATUS TERKINI PENGGUNAAN FASILITI KESIHATAN

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin mengumumkan bahawa secara keseluruhan, jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke fasiliti kesihatan (hospital dan PKRC awam) bagi setiap 100,000 penduduk menurun pada minggu epidemiologi ke-33 tahun 2022 (ME33/2022) berbanding ME 32/2022 (Rajah 1);

Jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital awam bagi  setiap 100,000 populasi pada ME33/2022 berbanding ME32/2022 adalah seperti berikut (Rajah 2);

  • Pesakit kategori 1 dan 2 menurun sebanyak 5.0%; manakala
  • Pesakit kategori 3,4,dan 5, menurun sebanyak 15.4%

Peratus pengisian katil fasiliti COVID-19 pada ME33/2022 berbanding ME 32/2022 (Rajah 3) adalah seperti berikut:

  • Katil bukan kritikal menurun sebanyak 1%;
  • Katil Unit Rawatan Rapi (ICU) meningkat sebanyak 5%; dan
  • Katil Pusat Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), tiada perubahan berbanding minggu epid sebelumnya.

Peratusan pesakit COVID-19 memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) meningkat sebanyak 0.3% (Rajah 4) pada ME33/2022 berbanding ME32/2022.

PEMANTAUAN COVID-19 DI PUSAT PENILAIAN COVID-19 (CAC)

Untuk makluman, kes-kes positif COVID-19 yang dipantau oleh Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di seluruh negara telah menunjukkan sedikit penurunan.

Berikut adalah perbandingan data CAC fizikal yang dilaporkan pada ME 32/2022 dan ME 33/2022 (Rajah 5):

  • Bilangan kedatangan pesakit ke CAC menurun sebanyak 5.4%;
  • Bilangan kes COVID-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah menurun sebanyak 9.9%; dan
  • Bilangan kes COVID-19 yang dirujuk CAC ke hospital menurun sebanyak 21.3%.

Untuk trend kes aktif harian COVID-19 yang dipantau secara maya (CAC Maya), pada akhir ME 33/2022 ianya turun 16.3% berbanding pada akhir ME 32/2022 (dari 62,516 kes kepada 52,326 kes); seperti di Rajah 6:

STATUS TERKINI KES COVID-19

Dari 25 Januari 2020 (ME 4/2020) hingga 20 Ogos 2022 (ME 33/2022), situasi terkini COVID-19 adalah seperti berikut:

  • Kumulatif kes baharu: 4,755,288;
  • Kumulatif kes sembuh: 4,678,278 kes;
  • Kumulatif kes kematian: 36,136 kes; dan
  • Kumulatif kluster: 7,065 kluster (kluster aktif: 36 kluster).

Perbandingan antara ME 32/2022 dan ME 33/2022:

  • Bilangan kes sembuh pada ME 32/2022 menurun sebanyak 8.5 peratus (28,905 kes kepada 26,458 kes) Rajah 6;
  • Bilangan kes baharu pada ME 33/2022 menurun sebanyak 14.6 peratus (26,678 kes kepada 22,786 kes) Rajah 7;
    • Bilangan kes tempatan menurunsebanyak 14.6 peratus (26,656 kes kepada 22,756 kes); dan
    • Bilangan kes import meningkatsebanyak 36.4 peratus (22 kes kepada 30 kes).
  • Bilangan kes kematian pada ME 33/2022 menurun sebanyak 6.7 peratus (60 kes kepada 56 kes).
  • Purata kes aktif setiap hari bagi ME 33/2022 adalah 42,010 iaitu terdapat penurunan sebanyak 6.0 peratus berbanding minggu sebelumnya (Rajah 8).

NILAI RT

Purata nilai RT juga menunjukkan penurunan sebanyak 3.1 peratus pada ME 33/2022 berbanding ME 32/2022 (Rajah 9).

SURVELAN INFLUENZA-LIKE ILLNESS (ILI) DAN SEVERE ACUTE RESPIRATORY INFECTION (SARI) BAGI COVID-19

KKM ingin memaklumkan bahawa sehingga ME 33/2022, hasil survelan COVID-19 di lokasi sentinel seluruh negara mendapati:

  • Sebanyak 101 sampel ILI dikesan positif COVID-19 dengan kadar positif 14.0 peratus pada ME 33/2022 (Rajah 10); dan
  • Tiada sampel SARI dikesan positif COVID-19 dengan kadar positif kekal 1.8 peratus pada ME 33/2022 (Rajah 11).

NASIHAT KESIHATAN BERIKUTAN PENINGKATAN KES COVID-19 DI ICU

KKM ingin mengingatkan bahawa pada ME 33/2022, terdapat peningkatan bilangan pesakit yang dimasukkan ke ICU dan penggunaan alat bantuan pernafasan untuk kes COVID-19 di hospital masing-masing sebanyak 5.0 peratus dan 0.3 peratus. Sebagai langkah lanjut, KKM ingin menasihati orang ramai untuk tidak mengambil ringan perkembangan ini dan ingin menasihatkan beberapa perkara penting iaitu:

  • Mengasingkan diri sekiranya mempunyai gejala (contohnya; demam, batuk, sakit tekak dan selsema) dan segera melakukan ujian pengesanan COVID-19 RTK (Ag) kendiri. Sekiranya positif COVID-19:
    • Tidak perlu ulangi dengan ujian RT-PCR.
    • Pesakit yang tidak bergejala atau bergejala ringan (Kategori 1 dan 2A), perlu menjalani kuarantin di rumah dan melaporkan status kesihatan dua kali sehari melalui Health Assessment Tool (HAT) di MySejahtera. Tempoh kuarantin adalah tujuh (7) hari dari hari keputusan positif diterima.
    • Pesakit bergejala teruk (Kategori 2B ke atas), golongan berisiko tinggi seperti warga emas 60 tahun ke atas, individu mempunyai komorbid, wanita mengandung dan individu yang tidak lengkap atau tidak divaksinasi, perlu hadir ke CAC berdekatan untuk dinilai status kesihatan. Pesakit tidak perlu gusar atau bimbang untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan dan rawatan di CAC.
  • Ubat antiviral Paxlovid®  disyorkan sebagai rawatan pesakit COVID-19 dewasa berumur 18 tahun dan ke atas yang tidak memerlukan terapi oksigen serta berisiko tinggi untuk mendapat gejala COVID-19 yang teruk. Bagi pesakit yang telah dinilai di CAC dan layak untuk mendapatkan ubat tersebut, mereka dinasihatkan untuk mengambilnya bagi mengelakkan komplikasi COVID-19 yang lebih teruk.
  • Petugas kesihatan di fasiliti berkaitan diingatkan agar memberikan ubat antiviral Paxlovid®  kepada pesakit COVID-19 yang layak setelah membuat penilaian.
  • Individu yang masih belum menerima dos penggalak dan juga dos penggalak kedua amat digalakkan untuk segera mendapatkannya, terutama bagi individu yang berisiko tinggi. Aplikasi tempahan janji temu bagi dos penggalak telah dilancarkan dalam MySejahtera bagi memudahkan masyarakat membuat tempahan dengan lebih efisen. Ikuti laman sesawang Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mendapatkan maklumat-maklumat terkini mengenai PICK Booster.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

Sejak 1 April 2022, Malaysia telah berada dalam Fasa Peralihan ke Endemik susulan keberkesanan tindakan pencegahan dan kawalan kesihatan awam. Peralihan fasa ini juga disebabkan oleh kejayaan program vaksinasi COVID-19 di seluruh negara.

Walaupun demikian, KKM ingin menasihati orang ramai agar terus mematuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan iaitu;

  • Elakkan 3S;
  • Amalkan 3W;
  • Amalkan TRIIS;
  • Jalani ujian COVID-19 sekiranya bergejala;
  • Individu positif COVID-19 Kategori 1 dan 2A dan bukan berisiko tinggi (berumur bawah 60 tahun dan tidak mempunyai komorbid), tidak perlu hadir ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC), sebaliknya hanya perlumelakukan pemantauan kendiri melalui HAT dalam aplikasi MySejahtera. SMS atau panggilan daripada perkhidmatan Automated Voice Recording (robocall) akan diterima sekiranya belum atau tidak menjalankan pemantauan kendiri setiap hari;
  • Individu yang perlu hadir ke CAC terdekat (senarai penuh lokasi, nombor telefon dan waktu operasi boleh didapatkan di https://covid-19.moh.gov.my/hotline) untuk penilaian lanjut akan dimaklumkan melalui MySejahtera atau dihubungi CAC melalui SMS atau panggilan telefon;
  • Individu yang positif COVID-19 Kategori 2A (yang berisiko tinggi) dan ke atas atau mempunyai gejala yang semakin teruk, dikehendaki hadir ke CAC atau hospital terdekat bagi pemeriksaan lanjut tanpa menunggu panggilan telefon daripada CAC; dan
  • Individu yang belum menerima vaksin COVID-19 dinasihatkan agar segera mendaftar dan mendapatkan vaksin bagi melindungi diri dan orang tersayang.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO. KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

22 Ogos 2022 @ 10.00 pagi