Communicable disease

Kenyataan Media KPK 30 Ogos 2022 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus (COVID-19) di Malaysia Minggu Epidemiologi 34 (21 Ogos – 27 Ogos 2022)

SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT CORONAVIRUS 2019 (COVID-19) DI MALAYSIA

MINGGU EPIDEMIOLOGI 34 (21 OGOS – 27 OGOS 2022)

STATUS TERKINI PENGGUNAAN FASILITI KESIHATAN Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin mengumumkan bahawa secara keseluruhan, jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke fasiliti kesihatan (hospital dan PKRC awam) bagi setiap 100,000 penduduk menurun pada Minggu Epidemiologi ke-34 tahun 2022 (ME 34/2022) berbanding ME 33/2022 (Rajah 1);

Jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital awam bagi  setiap 100,000 populasi pada ME 34/2022 berbanding ME 33/2022 adalah seperti berikut (Rajah 2);

  • Pesakit kategori 1 dan 2 menurun sebanyak 15.8 peratus; manakala
  • Pesakit kategori 3, 4, dan 5, menurun sebanyak 15.2 peratus.

Peratus pengisian katil fasiliti COVID-19 pada ME 34/2022 berbanding ME 33/2022 (Rajah 3) adalah seperti berikut:

  • menurun sebanyak 3 peratus;
  • Katil Pusat Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), menurun sebanyak 1 peratus.

Peratusan pesakit COVID-19 memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) menurun sebanyak 0.3 peratus (Rajah 4) pada ME 34/2022 berbanding ME 33/2022.

PEMANTAUAN COVID-19 DI PUSAT PENILAIAN COVID-19 (CAC)

Untuk makluman, kes-kes positif COVID-19 yang dipantau oleh Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di seluruh negara telah menunjukkan penurunan.

Berikut adalah perbandingan data CAC fizikal yang dilaporkan pada ME 33/2022 dan ME 34/2022 (Rajah 5):

  • Bilangan kedatangan pesakit ke CAC menurun sebanyak 13 peratus;
  • Bilangan kes COVID-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah menurun sebanyak 19.5 peratus; dan
  • Bilangan kes COVID-19 yang dirujuk CAC ke hospital menurun sebanyak 26 peratus.

Untuk trend kes aktif harian COVID-19 yang dipantau secara maya (CAC Maya), pada akhir ME 34/2022 ianya naik 5.15 peratus berbanding pada akhir ME 33/2022 (dari 52,326 kes kepada 55,021 kes); seperti di Rajah 6:

STATUS TERKINI KES COVID-19

Dari 25 Januari 2020 (ME 4/2020) hingga 27 Ogos 2022 (ME 34/2022), situasi terkini COVID-19 adalah seperti berikut:

  • Kumulatif kes baharu: 4,774,003;
  • Kumulatif kes sembuh: 4,703,315 kes;
  • Kumulatif kes kematian: 36,196 kes; dan
  • Kumulatif kluster: 7,066 kluster (kluster aktif: 31 kluster).

Perbandingan antara ME 33/2022 dan ME 34/2022:

  • Bilangan kes sembuh pada ME 34/2022 menurun sebanyak 5.4 peratus (26,458 kes kepada 25,037 kes) Rajah 7;
  • Bilangan kes baharu pada ME 34/2022 menurun sebanyak 17.9 peratus (22,786 kes kepada 18,715 kes) Rajah 8;
    • Bilangan kes tempatan menurunsebanyak 18.0 peratus (22,756 kes kepada 18,666 kes); dan 
    • Bilangan kes import meningkatsebanyak 63.3 peratus (30 kes kepada 49 kes).
  • Bilangan kes kematian pada ME 34/2022 meningkat sebanyak 7.1 peratus (56 kes kepada 60 kes).  
  • Purata kes aktif setiap hari bagi ME 34/2022 adalah 36,179 iaitu terdapat penurunan sebanyak 13.9 peratus berbanding minggu sebelumnya (Rajah 9).

NILAI RT

Purata nilai RT juga menunjukkan penurunan sebanyak 5.3 peratus pada ME 34/2022 berbanding ME 33/2022 (Rajah 10).

SURVELAN INFLUENZA-LIKE ILLNESS (ILI) DAN SEVERE ACUTE RESPIRATORY INFECTION (SARI) BAGI COVID-19

KKM ingin memaklumkan bahawa sehingga ME 34/2022, hasil survelan COVID-19 di lokasi sentinel seluruh negara mendapati:

  • Sebanyak 140 sampel ILI dikesan positif COVID-19 dengan kadar positif 15.5 peratus pada ME 34/2022 (Rajah 11); dan
  • Tiada sampel SARI dikesan positif COVID-19 dengan kadar positif kekal 0 peratus pada ME 34/2022 (Rajah 12).

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

Sejak 1 April 2022, Malaysia telah berada dalam Fasa Peralihan ke Endemik susulan keberkesanan tindakan pencegahan dan kawalan kesihatan awam. Peralihan fasa ini juga disebabkan oleh kejayaan program vaksinasi COVID-19 di seluruh negara.

Walaupun demikian, KKM ingin menasihati orang ramai agar terus mematuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan iaitu;

  • Elakkan 3S;
  • Amalkan 3W;
  • Amalkan TRIIS;
  • Jalani ujian COVID-19 sekiranya bergejala;
  • Individu positif COVID-19 Kategori 1 dan 2A dan bukan berisiko tinggi (berumur bawah 60 tahun dan tidak mempunyai komorbid), tidak perlu hadir ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC), sebaliknya hanya perlumelakukan pemantauan kendiri melalui HAT dalam aplikasi MySejahtera. SMS atau panggilan daripada perkhidmatan Automated Voice Recording (robocall) akan diterima sekiranya belum atau tidak menjalankan pemantauan kendiri setiap hari;
  • Individu yang perlu hadir ke CAC terdekat (senarai penuh lokasi, nombor telefon dan waktu operasi boleh didapatkan di https://covid-19.moh.gov.my/hotline) untuk penilaian lanjut akan dimaklumkan melalui MySejahtera atau dihubungi CAC melalui SMS atau panggilan telefon;
  • Individu yang positif COVID-19 Kategori 2A (yang berisiko tinggi) dan ke atas atau mempunyai gejala yang semakin teruk, dikehendaki hadir ke CAC atau hospital terdekat bagi pemeriksaan lanjut tanpa menunggu panggilan telefon daripada CAC; dan
  • Individu yang belum menerima vaksin COVID-19 dinasihatkan agar segera mendaftar dan mendapatkan vaksin bagi melindungi diri dan orang tersayang.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO. KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO' SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

30 Ogos 2022 @ 10.00 pagi