Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa Mantan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mohammad Najib bin Tun Abdul Razak telah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada hari Jumaat, 9 September 2022 sebagai kes elektif (bukan kecemasan) untuk memastikan kesihatan beliau berada pada tahap yang baik dan optimum.
Pemeriksaan dan ujian berkaitan telah dijalankan oleh Pakar-pakar perunding kanan bertauliah yang terdiri daripada Ketua-ketua perkhidmatan klinikal bagi bidang masing-masing. Pihak HKL juga telah mengadakan sidang keluarga (family conference) sebanyak dua (2) kali yang telah dihadiri oleh Mantan Perdana Menteri dan ahli keluarga beliau. Keputusan ujian-ujian telah dimaklumkan semasa sidang ini mengikut amalan professional kedoktoran. Mereka juga telah dimaklumkan mengenai keputusan sebulat suara pakar-pakar perunding agar beliau dibenarkan untuk didiscaj daripada HKL. Dimaklumkan juga bahawa jenis-jenis ubat yang dipreskrib semasa kemasukan wad adalah yang sama jenisnya dan dalam senarai ubatan KKM. Keadaan beliau juga sihat sebelum dibenarkan discaj daripada HKL.
KKM ingin memaklumkan bahawa KKM komited dan telus dalam pemberian perkhidmatan kesihatan kepada mana-mana individu, namun pada masa yang sama mempunyai tanggungjawab mematuhi tata etika kerahsiaan pesakit di bawah Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012). Sebarang maklumat terperinci mengenai kesihatan seseorang pesakit boleh dikemukakan kepada Mahkamah sekiranya diarahkan Mahkamah.
Sekian, terima kasih.
TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
12 September 2022 @ 5:15 petang
Categories: Press