Sukacita Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa Hospital Papar telah membuka semula Perkhidmatan Pembedahan di hospital ini setelah ianya dinaik taraf dan mematuhi piawaian yang ditetapkan bagi pengoperasian penuh. Pembukaan dewan bedah ini dilaksanakan di bawah program Global Surgery Initiative dan Program Kluster Hospital.
Sebagai fasa permulaan, prosedur Bilateral Tubal Ligation (BTL) telah berjaya dilaksanakan di Hospital Papar pada 20 September 2022. Kes ini telah dilaksanakan oleh Dr. Naumi binti Laboh, Pakar Obstetrik dan Ginekologi (O&G) dari Jabatan O&G Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, yang merupakan anak jati Sabah bersama-sama dengan Dr. Bryan Lee, Pegawai Perubatan dari Hospital Papar, Pegawai Perubatan Anestesiologi Dr. Nur Atikah bt Munir dan kakitangan-kakitangan Dewan Bedah Hospital Papar.
Diharap pembukaan dewan bedah ini akan dapat meningkatkan kebolehcapaian perkhidmatan pembedahan kepada penduduk Daerah Papar dan di sekitarnya, dan seterusnya menjadi pemangkin bagi Hospital Papar untuk memperluaskan lagi perkhidmatan pembedahan lain demi kebaikan dan manfaat masyarakat.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada Hospital Papar dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah di atas usaha murni ini. KKM sentiasa komited untuk menambahbaik kualiti dan mutu perkhidmatan perawatan kepada pesakit di semua fasiliti kesihatan di seluruh negeri Sabah.
TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
22 SEPTEMBER 2022
Categories: Hospital Services, Medical Device, Press
You must be logged in to post a comment.