Press

Kenyataan Media Presiden Majlis Perubatan Malaysia 28 September 2022 – Penggunaan Istilah Pakar Perubatan Dalam Amalan Perubatan

PENGGUNAAN ISTILAH PAKAR PERUBATAN DALAM AMALAN PERUBATAN

Selaras dengan Seksyen 14C Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012), seseorang berhak untuk didaftarkan dan mengamal sebagai pakar dalam sesuatu bidang kepakaran di dalam Daftar Perubatan Majlis Perubatan Malaysia (MPM) sekiranya memenuhi syarat-syarat yang terkandung di dalam Seksyen 14B Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012).

Syarat utama pendaftaran sebagai seorang pakar adalah pengamal tersebut perlu berdaftar penuh dengan MPM, mempunyai kelayakan kepakaran yang diiktiraf, menghadiri latihan kepakaran dalam bidang kepakaran di institusi yang diiktiraf, dan membuktikan bahawa dia adalah layak dan mempunyai akhlak yang baik.

Kesemua pendaftaran pakar perlu menjalani penilaian oleh jawatankuasa khas MPM yang akan meneliti kesemua syarat-syarat di atas sebelum seseorang pengamal diperakui sebagai pakar perubatan dan dapat mengamal di negara ini.

Sehubungan itu, tiada mana-mana orang atau pihak yang boleh memperakukan diri mereka dan mengamal sebagai seorang pakar perubatan dalam sesuatu bidang jika nama mereka tidak berada di dalam Daftar Perubatan MPM.

Bagi tujuan verifikasi atau penyemakan status pendaftaran seorang pengamal perubatan yang berdaftar dengan MPM, sama ada pengamal tersebut adalah seorang doktor perubatan atau pakar perubatan, semakan boleh dibuat melalui laman web MPM iaitu www.mmc.gov.my  di bawah pautan Search Medical Register dan National Specialist Register. Tujuan MPM menyediakan kemudahan dalam talian ini adalah bagi membantu orang awam dalam memilih hanya pengamal perubatan dan pakar perubatan yang bertauliah sahaja memberi perkhidmatan kesihatan dan rawatan perubatan di negara ini, termasuk dalam hal rujukan perkara berkaitan perubatan dan kesihatan awam.

Dengan ini, dinasihatkan agar orang awam tidak terkeliru atau terpedaya dengan dakwaan mana-mana pihak yang mengaku diri mereka sebagai seorang pengamal perubatan atau pakar perubatan berdaftar di Malaysia.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

PRESIDEN MAJLIS PERUBATAN MALAYSIA

28 September 2022

Categories: Press

Tagged as: