Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum laporan akhbar Berita Harian pada 6 Oktober 2022 bertajuk “66 kanak-kanak maut di Gambia selepas minum ubat batuk” yang merujuk kepada empat (4) produk yang dikilangkan oleh pengilang Maiden Pharmaceuticals, India iaitu Promethazine Oral Solution, Kofexmalin Baby Cough Syrup, Makoff Baby Cough Syrup dan Magrip N Cold Syrup.
Semakan ke atas pangkalan data produk berdaftar Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), KKM mendapati bahawa keempat-empat produk tersebut tidak berdaftar di Malaysia.
KKM menerusi NPRA akan menjalankan pemantauan secara berterusan berkaitan kejadian ini untuk memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan ubat-ubatan di negara ini terjamin. KKM akan memaklumkan perkembangan kepada orang ramai dari semasa ke semasa.
Sekian, terima kasih.
TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
7 OKTOBER 2022