Hari Penglihatan Sedunia (World Sight Day) adalah hari kesedaran yang disambut secara global untuk menyedarkan masyarakat tentang kepentingan deria penglihatan, kesihatan mata dan masalah kebutaan. Inisiatif ini dimulakan melalui Sight First Campaign oleh Lions Club International Foundation pada tahun 2000 dan kemudiannya telah disepadukan ke dalam Vision 2020 : The Right to Sight yang diselaraskan oleh International Agency for Prevention of Blindness (IAPB) dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Tema untuk Hari Penglihatan Sedunia pada tahun ini adalah Love Your Eyes ataupun Sayangi Mata Anda. Tema ini menekankan unsur 4P dalam penjagaan kesihatan mata untuk mencegah kebutaan iaitu Prevent (Cegah), Protect (Lindung), Preserve (Pelihara) dan Prioritise (Keutamaan).
Berdasarkan Banci Mata Kebangsaan 2014, prevalens kebutaan di Malaysia adalah 1.2% dari populasi negara dan antara punca utama kebutaan di Malaysia adalah katarak (58.6%), diabetik retinopati (10.4%) dan glaukoma (6.6%). Manakala, penyebab utama penglihatan terhad adalah katarak (68%) dan rabun penglihatan yang tidak dirawat (14%). Walau bagaimanapun, hampir 80% penyebab utama kebutaan boleh dirawat dan dicegah.
Sehubungan dengan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin menekankan agar masyarakat;
- Menumpukan perhatian kepada penjagaan kesihatan mata dan pencegahan kebutaan sebagai isu global;
- Meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penjagaan kesihatan mata dalam kalangan individu, keluarga dan komuniti;
- Menyediakan platform bagi mempengaruhi pihak berwajib untuk mengutamakan inisiatif penjagaan kesihatan mata;
- Membangkitkan keperluan akses kepada perkhidmatan penjagaan mata bagi mencegah kebutaan; dan
- Mempromosi aktiviti saringan penglihatan dan kempen pencegahan kebutaan kepada masyarakat.
Sepanjang sambutan Hari Penglihatan Sedunia 2022 hari ini, KKM juga ingin menyeru agar masyarakat bersama-sama mengambil bahagian dalam aktiviti pertandingan e-Poster, forum kesihatan, saringan penglihatan, simulasi kebutaan, pameran dan kuiz.
Sayangilah mata anda dengan mengambil langkah-langkah pencegahan untuk melindungi dan mengekalkan penglihatan yang baik. Berikan keutamaan dan lakukan pemeriksaan mata secara berkala untuk memastikan kesihatan mata dan penglihatan kekal baik dan membolehkan kita menikmati kehidupan yang lebih bermakna dan berkualiti.
TAN SRI DATO’ SERI DR NOOR HISHAM BIN ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN
13 OKTOBER 2022
Categories: Press
You must be logged in to post a comment.