Communicable disease

Kenyataan Media KPK 17 Oktober 2022 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus (COVID-19) di Malaysia Minggu Epidemiologi 41 (9 – 15 Oktober 2022)

SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT CORONAVIRUS 2019 (COVID-19) DI MALAYSIA

MINGGU EPIDEMIOLOGI 41

(9 OKTOBER – 15 OKTOBER 2022)

STATUS TERKINI PENGGUNAAN FASILITI KESIHATAN

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa secara keseluruhan, tiada perubahan jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke fasiliti kesihatan (hospital dan PKRC awam) bagi setiap 100,000 penduduk pada minggu epidemiologi ke-41 tahun 2022 (ME41/2022) berbanding ME 40/2022 (Rajah 1);

Jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital awam bagi  setiap 100,000 populasi pada ME41/2022 berbanding ME40/2022 adalah seperti berikut (Rajah 2);

  • Pesakit kategori 1 dan 2 tiada perubahan; manakala
  • Pesakit kategori 3, 4, dan 5, meningkat sebanyak 16.7 peratus.

Peratus pengisian katil fasiliti COVID-19 pada ME41/2022 berbanding ME 40/2022 (Rajah 3) adalah seperti berikut:

  • Katil bukan kritikal kekal tiada perubahan;
  • Katil Unit Rawatan Rapi (ICU) menurun sebanyak 2 peratus; dan
  • Katil Pusat Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), tiada yang aktif.

Peratusan pesakit COVID-19 memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) menurun sebanyak 0.2 peratus (Rajah 4) pada ME41/2022 berbanding ME40/2022.

PEMANTAUAN COVID-19 DI PUSAT PENILAIAN COVID-19 (CAC)

Untuk makluman, kes-kes positif COVID-19 yang dipantau oleh Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di seluruh negara telah menunjukkan penurunan.

Berikut adalah perbandingan data CAC fizikal yang dilaporkan pada ME 40/2022 dan ME 41/2022 (Rajah 5):

  • Bilangan kedatangan pesakit ke CAC menurun sebanyak 7.1 peratus;
  • Bilangan kes COVID-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah meningkat sebanyak 0.25 peratus; dan
  • Bilangan kes COVID-19 yang dirujuk CAC ke PKRC juga meningkat sebanyak 39.2 peratus daripada minggu sebelumnya.

Untuk trend kes aktif harian COVID-19 yang dipantau secara maya (CAC Maya), pada akhir ME 41/2022 ianya meningkat 21.2% berbanding pada akhir ME 40/2022 (dari 25,731 kes kepada 31,197 kes); seperti di Rajah 6:

STATUS TERKINI KES COVID-19

Dari 25 Januari 2020 (ME 4/2020) hingga 15 Oktober 2022 (ME 41/2022), situasi terkini COVID-19 adalah seperti berikut:

  • Kumulatif kes baharu: 4,865,480;
  • Kumulatif kes sembuh: 4,805,200 kes;
  • Kumulatif kes kematian: 36,415 kes; dan
  • Kumulatif kluster: 7,085 kluster (kluster aktif: 8 kluster).

Perbandingan antara ME 40/2022 dan ME 41/2022:

  • Bilangan kes sembuh pada ME 41/2022 menurun sebanyak 13.2 peratus (12,882 kes kepada 11,180 kes) Rajah 7;
  • Bilangan kes baharu pada ME 41/2022 meningkat sebanyak8.5 peratus (11,018 kes kepada 11,957 kes) Rajah 8;
    • Bilangan kes tempatan meningkatsebanyak8.5 peratus (10,987 kes kepada 11,916 kes); dan
    • Bilangan kes import meningkat sebanyak 32.3 peratus (31 kes kepada 41 kes).
  • Bilangan kes kematian pada ME 41/2022 menurun sebanyak 29.2 peratus (24 kes kepada 17 kes).
  • Purata kes aktif setiap hari bagi ME 41/2022 adalah 22,725 iaitu terdapat penurunan sebanyak 3.0 peratus berbanding minggu sebelumnya (Rajah 9).

NILAI RT

Nilai RT pada ME41/2022 adalah 0.99, meningkat berbanding 0.95 pada  ME40/2022, namun masih di bawah nilai 1.00 (Rajah 10).

SURVELAN INFLUENZA-LIKE ILLNESS (ILI) DAN SEVERE ACUTE RESPIRATORY INFECTION (SARI) BAGI COVID-19

KKM ingin memaklumkan bahawa sehingga ME41/2022, hasil survelan COVID-19 di lokasi sentinel seluruh negara mendapati:

  • Sebanyak 75 sampel ILI dikesan positif COVID-19 dengan kadar positif 11.1 peratus pada ME41/2022 (Rajah 11); dan
  • Sebanyak 4.65 peratus sampel SARI dikesan positif COVID-19 pada ME41/2022 (Rajah 12).

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

Sejak 1 April 2022, Malaysia telah berada dalam Fasa Peralihan ke Endemik susulan keberkesanan tindakan pencegahan dan kawalan kesihatan awam. Peralihan fasa ini juga disebabkan oleh kejayaan program vaksinasi COVID-19 di seluruh negara.

Walaupun demikian, KKM ingin menasihati orang ramai agar terus mematuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan iaitu;

  • Elakkan 3S;
  • Amalkan 3W;
  • Amalkan TRIIS;
  • Jalani ujian COVID-19 sekiranya bergejala;
  • Individu positif COVID-19 Kategori 1 dan 2A dan bukan berisiko tinggi (berumur bawah 60 tahun dan tidak mempunyai komorbid), tidak perlu hadir ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC), sebaliknya hanya perlumelakukan pemantauan kendiri melalui HAT dalam aplikasi MySejahtera. SMS atau panggilan daripada perkhidmatan Automated Voice Recording (robocall) akan diterima sekiranya belum atau tidak menjalankan pemantauan kendiri setiap hari;
  • Individu yang perlu hadir ke CAC terdekat (senarai penuh lokasi, nombor telefon dan waktu operasi boleh didapatkan di https://covid-19.moh.gov.my/hotline) untuk penilaian lanjut akan dimaklumkan melalui MySejahtera atau dihubungi CAC melalui SMS atau panggilan telefon;
  • Individu yang positif COVID-19 Kategori 2A (yang berisiko tinggi) dan ke atas atau mempunyai gejala yang semakin teruk, dikehendaki hadir ke CAC atau hospital terdekat bagi pemeriksaan lanjut tanpa menunggu panggilan telefon daripada CAC; dan
  • Individu yang belum menerima dos penggalak vaksin COVID-19 dinasihatkan agar segera mendaftar dan mendapatkan vaksin bagi melindungi diri dan orang tersayang.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO. KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

17 Oktober 2022 @ 11.00 pagi