Communicable disease

Kenyataan Media KPK 24 Oktober 2022 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus (COVID-19) di Malaysia Minggu Epidemiologi 42 (16 – 22 Oktober 2022)

KENYATAAN MEDIA

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT CORONAVIRUS 2019 (COVID-19) DI MALAYSIA

MINGGU EPIDEMIOLOGI 42

(16 OKTOBER – 22 OKTOBER 2022)

STATUS TERKINI PENGGUNAAN FASILITI KESIHATAN

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa secara keseluruhan, jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke fasiliti kesihatan (hospital dan PKRC awam) bagi setiap 100,000 penduduk meningkat sebanyak 6.9% pada minggu epidemiologi ke-42 tahun 2022 (ME 42/2022) berbanding ME 41/2022 (Rajah 1);

Jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital awam bagi  setiap 100,000 populasi pada ME 42/2022 berbanding ME 41/2022 adalah seperti berikut (Rajah 2);

  • Pesakit kategori 1 dan 2 meningkat sebanyak 18.2%; manakala
  • Pesakit kategori 3, 4, dan 5, meningkat sebanyak 9.5%.

Peratus pengisian katil fasiliti COVID-19 pada ME 42/2022 berbanding ME 41/2022 (Rajah 3) adalah seperti berikut:

  • Katil bukan kritikal meningkat sebanyak 1%;
  • Katil Unit Rawatan Rapi (ICU) meningkat sebanyak 2%; dan
  • Katil Pusat Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), tiada yang aktif, semua ditutup.

Peratusan pesakit COVID-19 memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) menurun sebanyak 0.1% (Rajah 4) pada ME 42/2022 berbanding ME 41/2022.

PEMANTAUAN COVID-19 DI PUSAT PENILAIAN COVID-19 (CAC)

Untuk makluman, kes-kes positif COVID-19 yang dipantau oleh Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di seluruh negara telah menunjukkan sedikit peningkatan.

Berikut adalah perbandingan data CAC fizikal yang dilaporkan pada ME 41/2022 dan ME 42/2022 (Rajah 5):

  • Bilangan kedatangan pesakit ke CAC mengalami sedikit peningkatan sebanyak 9.9%;
  • Bilangan kes COVID-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah juga meningkat sebanyak 12.2%; manakala,
  • Bilangan kes COVID-19 yang dirujuk CAC ke PKRC atau hospital menurun sebanyak 9.0%  daripada minggu sebelumnya.

Untuk trend kes aktif harian COVID-19 yang dipantau secara maya (CAC Maya), pada akhir ME 42/2022 ianya meningkat 20.7% berbanding pada akhir ME 41/2022 (dari 31,197 kes kepada 37,647 kes); seperti di Rajah 6:

STATUS TERKINI KES COVID-19

Dari 25 Januari 2020 (ME 4/2020) hingga 22 Oktober 2022 (ME 42/2022), situasi terkini COVID-19 adalah seperti berikut:

  • Kumulatif kes baharu: 4,880,005;
  • Kumulatif kes sembuh: 4,816,278 kes;
  • Kumulatif kes kematian: 36,444 kes; dan
  • Kumulatif kluster: 7,087 kluster (kluster aktif: 8 kluster).

Perbandingan antara ME 41/2022 dan ME 42/2022:

  • Bilangan kes sembuh pada ME 42/2022 menurun sebanyak 0.9 peratus (11,180 kes kepada 11,078 kes) Rajah 7;
  • Bilangan kes baharu pada ME 42/2022 meningkat sebanyak21.5 peratus (11,957 kes kepada 14,525 kes) Rajah 8;
    • Bilangan kes tempatan meningkatsebanyak21.6 peratus (11,916 kes kepada 14,493 kes); dan
    • Bilangan kes import menurun sebanyak 22.0 peratus (41 kes kepada 32 kes).
  • Bilangan kes kematian pada ME 42/2022 meningkat sebanyak 70.6 peratus (17 kes kepada 29 kes).
  • Purata kes aktif setiap hari bagi ME 42/2022 adalah 24,867 iaitu terdapat penurunan sebanyak 9.4 peratus berbanding minggu sebelumnya (Rajah 9).

NILAI RT

Nilai RT pada ME42/2022 adalah 1.08 (Rajah 10).

SURVELAN INFLUENZA-LIKE ILLNESS (ILI) DAN SEVERE ACUTE RESPIRATORY INFECTION (SARI) BAGI COVID-19

KKM ingin memaklumkan bahawa sehingga ME42/2022, hasil survelan COVID-19 di lokasi sentinel seluruh negara mendapati:

  • Sebanyak 94 sampel ILI dikesan positif COVID-19 dengan kadar positif 12.4 peratus pada ME 42/2022 (Rajah 11); dan
  • Tiada sampel SARI dikesan positif COVID-19 pada ME 42/2022 (Rajah 12).

SELAMAT MENYAMBUT HARI DEEPAVALI

KKM ingin mengucapkan Selamat Hari Deepavali kepada semua rakyat Malaysia yang menyambut pesta cahaya ini, khususnya kepada mereka yang beragama Hindu. Biarpun ia disambut oleh penganut beragama Hindu, kemeriahan dan kegembiraan perayaan ini turut dirasai dan diraikan oleh kaum-kaum lain di negara kita.

Sempena perayaan Deepavali ini, KKM ingin menasihatkan orang ramai supaya teruskan mengamalkan norma baharu iaitu memakai pelitup muka terutamanya di kawasan sesak dan sempit terutama bagi individu yang berisiko tinggi dan tidak sihat. Selain itu, bagi individu yang bergejala, lakukan TRIIS dan buatlah penilaian kendiri sebelum menziarahi sanak saudara yang lain. Bagi yang ingin pulang ke kampung halaman pula, sentiasa berhati-hati semasa memandu di jalan raya. Pandu cermat, jiwa selamat dan ingatlah orang yang tersayang. Semoga perayaan Deepavali ini membawa sinar cahaya kegembiraan dan kebahagiaan kepada semua. Deepavali Valthukkal!

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

Sejak 1 April 2022, Malaysia telah berada dalam Fasa Peralihan ke Endemik susulan keberkesanan tindakan pencegahan dan kawalan kesihatan awam. Peralihan fasa ini juga disebabkan oleh kejayaan program vaksinasi COVID-19 di seluruh negara.

Walaupun demikian, KKM ingin menasihati orang ramai agar terus mematuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan iaitu;

  • Elakkan 3S;
  • Amalkan 3W;
  • Amalkan TRIIS;
  • Jalani ujian COVID-19 sekiranya bergejala;
  • Individu positif COVID-19 Kategori 1 dan 2A dan bukan berisiko tinggi (berumur bawah 60 tahun dan tidak mempunyai komorbid), tidak perlu hadir ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC), sebaliknya hanya perlumelakukan pemantauan kendiri melalui HAT dalam aplikasi MySejahtera. SMS atau panggilan daripada perkhidmatan Automated Voice Recording (robocall) akan diterima sekiranya belum atau tidak menjalankan pemantauan kendiri setiap hari;
  • Individu yang perlu hadir ke CAC terdekat (senarai penuh lokasi, nombor telefon dan waktu operasi boleh didapatkan di https://covid-19.moh.gov.my/hotline) untuk penilaian lanjut akan dimaklumkan melalui MySejahtera atau dihubungi CAC melalui SMS atau panggilan telefon;
  • Individu yang positif COVID-19 Kategori 2A (yang berisiko tinggi) dan ke atas atau mempunyai gejala yang semakin teruk, dikehendaki hadir ke CAC atau hospital terdekat bagi pemeriksaan lanjut tanpa menunggu panggilan telefon daripada CAC; dan
  • Individu yang belum menerima dos penggalak vaksin COVID-19 dinasihatkan agar segera mendaftar dan mendapatkan vaksin bagi melindungi diri dan orang tersayang.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO. KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO' SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

24 Oktober 2022 @ 12.00 tengahari