Communicable disease

Kenyataan Media KPK 7 November 2022 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus (COVID-19) di Malaysia Minggu Epidemiologi 44 (30 Oktober – 5 November 2022)

SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT CORONAVIRUS 2019 (COVID-19) DI MALAYSIA

MINGGU EPIDEMIOLOGI 44 TAHUN 2022

(30 OKTOBER – 5 NOVEMBER 2022)

STATUS TERKINI PENGGUNAAN FASILITI KESIHATAN

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin mengumumkan bahawa secara keseluruhan, jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke fasiliti kesihatan (hospital dan PKRC awam) bagi setiap 100,000 penduduk meningkat sebanyak 26.1 peratus pada Minggu Epidemiologi ke-44 tahun 2022 (ME 44/2022) berbanding ME 43/2022 (Rajah 1);

Jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital awam bagi  setiap 100,000 populasi pada ME 44/2022 berbanding ME 43/2022 adalah seperti berikut (Rajah 2);

  • Pesakit kategori 1 dan 2 meningkat sebanyak 39.4 peratus; manakala
  • Pesakit kategori 3, 4, dan 5, meningkat sebanyak 37.4 peratus.

Peratus pengisian katil fasiliti COVID-19 pada ME 44/2022 berbanding ME 43/2022 (Rajah 3) adalah seperti berikut:

  • Katil bukan kritikal meningkat sebanyak 8 peratus;
  • Katil Unit Rawatan Rapi (ICU) meningkat sebanyak 4 peratus; dan
  • Katil Pusat Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), tiada yang aktif, semua ditutup.

Peratusan pesakit COVID-19 memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) meningkat sebanyak 0.9 peratus (Rajah 4) pada ME 44/2022 berbanding ME 43/2022.

PEMANTAUAN COVID-19 DI PUSAT PENILAIAN COVID-19 (CAC)

Untuk makluman, kes-kes positif COVID-19 yang dipantau oleh Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di seluruh negara telah menunjukkan sedikit peningkatan.

Berikut adalah perbandingan data CAC fizikal yang dilaporkan pada ME 43/2022 dan ME 44/2022 (Rajah 5):

  • Bilangan kedatangan pesakit ke CAC meningkat sebanyak 56.4 peratus;
  • Bilangan kes COVID-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah meningkat sebanyak 60.4 peratus; dan
  • Bilangan kes COVID-19 yang dirujuk CAC ke PKRC dan ke hospital adalah sebanyak 48.7 peratus.

Untuk CAC Maya, jumlah kes yang melengkapkan penilaian kendiri (HAT) meningkat 44.1 peratus pada akhir ME 44/2022 berbanding ME 43/2022; iaitu dari 19,098 kepada 27,514 kes. Dari jumlah tersebut, peratusan individu dengan Kategori 2b dan ke atas adalah 8 peratus (2,192 kes) (Rajah 6).

STATUS TERKINI KES COVID-19

Dari 25 Januari 2020 (ME 4/2020) hingga 5 November 2022 (ME 44/2022), situasi terkini COVID-19 adalah seperti berikut:

  • Kumulatif kes baharu: 4,923,538;
  • Kumulatif kes sembuh: 4,850,491 kes;
  • Kumulatif kes kematian: 36,493 kes; dan
  • Kumulatif kluster: 7,104 kluster (kluster aktif: 21 kluster).

Perbandingan antara ME 43/2022 dan ME 44/2022:

  • Bilangan kes sembuh pada ME 44/2022 meningkat sebanyak53.5 peratus (13,495 kes kepada 20,718 kes) (Rajah 7);
  • Bilangan kes baharu pada ME 44/2022 meningkat sebanyak 57.3 peratus (16,917 kes kepada 26,616 kes) (Rajah 8);
    • Bilangan kes tempatan meningkat sebanyak 57.4 peratus (16,890 kes kepada 26,577 kes); dan
    • Bilangan kes import meningkat sebanyak 44.4 peratus (27 kes kepada 39 kes).
  • Bilangan kes kematian pada ME 44/2022 meningkat sebanyak 45.0 peratus (20 kes kepada 29 kes).
  • Purata kes aktif setiap hari bagi ME 44/2022 meningkat sebanyak 18.4 peratus (28,252 kes kepada 33,449 kes) berbanding ME 43/2022 (Rajah 9).

NILAI RT

Nilai RT pada ME 44/2022 adalah 1.20 (Rajah 10).

SURVELAN INFLUENZA-LIKE ILLNESS (ILI) DAN SEVERE ACUTE RESPIRATORY INFECTION (SARI) BAGI COVID-19

KKM ingin memaklumkan bahawa sehingga ME 44/2022, hasil survelan COVID-19 di lokasi sentinel seluruh negara mendapati:

  • Sebanyak 167 sampel ILI dikesan positif COVID-19 dengan kadar positif 23.0 peratus pada ME 44/2022 (Rajah 11); dan
  • Sebanyak 2.5 peratus sampel SARI dikesan positif COVID-19 pada ME 44/2022 (Rajah 12).

TANGGUNGJAWAB KENDIRI DAN SOLIDARITI KOMUNITI DALAM MEMUTUSKAN RANTAIAN JANGKITAN COVID-19

Seperti diumumkan oleh YB Menteri Kesihatan pada 31 Oktober 2022, Malaysia masih berada dalam fasa peralihan ke endemik yang mana sejak kebelakangan ini kes COVID-19 harian menunjukkan trend peningkatan kes harian COVID-19 serta kemasukan kes ke hospital, ICU dan penggunaan alat bantuan pernafasan. Di samping itu, terdapat juga pelaporan kes subvarian Omicron XBB di beberapa negeri.

Antara faktor yang menyumbang serta membantu mengawal situasi penularan jangkitan COVID-19 di dalam negara adalah kesedaran yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia tentang pentingnya tindakan kesihatan awam kendiri seperti pemakaian pelitup muka dan mendapatkan vaksin COVID-19 ataupun dos penggalak. Perkara ini sangat penting bagi memastikan penularan jangkitan COVID-19 di dalam komuniti dapat diputuskan. Rata-rata masyarakat didapati mempunyai tahap kesedaran dan keprihatinan yang tinggi untuk melindungi bukan sahaja diri sendiri tetapi juga keluarga dan seluruh komuniti.

Justeru bagi mengurangkan lagi risiko penularan jangkitan COVID-19, KKM ingin terus mengingatkan orang ramai agar:

  • Memakai pelitup muka dengan betul di kawasan orang ramai dan sesak;
  • Melakukan ujian COVID-19 sekiranya bergejala sebelum menyertai aktiviti berkumpulan;
  • Sentiasa mengamalkan kebersihan tangan, membawa dan menggunakan pensanitasi tangan adalah amat digalakkan; dan
  • Mengamalkan TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform, and Seek) sekiranya bergejala.

Tanggungjawab kendiri dan solidariti komuniti ini adalah penting bagi mengurangkan risiko jangkitan penyakit berjangkit termasuk COVID-19. KKM akan terus memantau situasi kes COVID-19 dari semasa ke semasa. Kerjasama dan komitmen dari semua pihak adalah amat diperlukan bagi memastikan penularan COVID-19 dapat terus dikawal.

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

Sejak 1 April 2022, Malaysia telah berada dalam Fasa Peralihan ke Endemik susulan keberkesanan tindakan pencegahan dan kawalan kesihatan awam. Peralihan fasa ini juga disebabkan oleh kejayaan program vaksinasi COVID-19 di seluruh negara.

Walaupun demikian, KKM ingin menasihati orang ramai agar terus mematuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan iaitu;

  • Elakkan 3S;
  • Amalkan 3W;
  • Amalkan TRIIS;
  • Jalani ujian COVID-19 sekiranya bergejala;
  • Individu positif COVID-19 Kategori 1 dan 2A dan bukan berisiko tinggi (berumur bawah 60 tahun dan tidak mempunyai komorbid), tidak perlu hadir ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC), sebaliknya hanya perlumelakukan pemantauan kendiri melalui HAT dalam aplikasi MySejahtera. SMS atau panggilan daripada perkhidmatan Automated Voice Recording (robocall) akan diterima sekiranya belum atau tidak menjalankan pemantauan kendiri setiap hari;
  • Individu yang perlu hadir ke CAC terdekat (senarai penuh lokasi, nombor telefon dan waktu operasi boleh didapatkan di https://covid-19.moh.gov.my/hotline) untuk penilaian lanjut akan dimaklumkan melalui MySejahtera atau dihubungi CAC melalui SMS atau panggilan telefon;
  • Individu yang positif COVID-19 Kategori 2A (yang berisiko tinggi) dan ke atas atau mempunyai gejala yang semakin teruk, dikehendaki hadir ke CAC atau hospital terdekat bagi pemeriksaan lanjut tanpa menunggu panggilan telefon daripada CAC; dan
  • Individu yang belum menerima dos penggalak vaksin COVID-19 dinasihatkan agar segera mendaftar dan mendapatkan vaksin bagi melindungi diri dan orang tersayang.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO. KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO' SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

7 November 2022 @ 12.00 tengahari