SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT CORONAVIRUS 2019 (COVID-19) DI MALAYSIA
MINGGU EPIDEMIOLOGI 45 TAHUN 2022
(6 NOVEMBER 2022 – 12 NOVEMBER 2022)
STATUS TERKINI PENGGUNAAN FASILITI KESIHATAN
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin mengumumkan bahawa secara keseluruhan, jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke fasiliti kesihatan (hospital dan PKRC awam) bagi setiap 100,000 penduduk meningkat sebanyak 14.4 peratus pada minggu epidemiologi ke-45 tahun 2022 (ME 45/2022) berbanding ME 44/2022 (Rajah 1);
Jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 populasi pada ME 45/2022 berbanding ME 44/2022 adalah seperti berikut (Rajah 2);
- Pesakit kategori 1 dan 2 menurun sebanyak 15.2 peratus; manakala
- Pesakit kategori 3, 4, dan 5, meningkat sebanyak 16.2 peratus.
Peratus pengisian katil fasiliti COVID-19 pada ME 45/2022 berbanding ME 44/2022 (Rajah 3) adalah seperti berikut:
- Katil bukan kritikal meningkat sebanyak 9 peratus;
- Katil Unit Rawatan Rapi (ICU) meningkat sebanyak 5 peratus; dan
- Katil Pusat Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), tiada yang aktif, semua ditutup.
Peratusan pesakit COVID-19 memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) meningkat sebanyak 0.4 peratus (Rajah 4) pada ME 45/2022 berbanding ME 44/2022.
PEMANTAUAN COVID-19 DI PUSAT PENILAIAN COVID-19 (CAC)
Untuk makluman, kes-kes positif COVID-19 yang dipantau oleh Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di seluruh negara telah menunjukkan sedikit peningkatan.
Berikut adalah perbandingan data CAC fizikal yang dilaporkan pada ME 44/2022 dan ME 45/2022 (Rajah 5):
- Bilangan kedatangan pesakit ke CAC meningkat sebanyak 32.3 peratus;
- Bilangan kes COVID-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah meningkat sebanyak 19.6 peratus; dan
- Bilangan kes COVID-19 yang dirujuk CAC ke PKRC dan ke hospital menurun sebanyak 3.0 peratus.
Untuk CAC Maya, jumlah kes yang melengkapkan penilaian kendiri (HAT) menunjukkan peningkatan 2.5 peratus pada akhir ME 45/2022 berbanding ME 44/2022; iaitu dari 27,514 kepada 28,212 kes. Dari jumlah tersebut, peratusan individu dengan Kategori 2b dan ke atas adalah 7.3 peratus (2,192 kes). Rajah 6.
STATUS TERKINI KES COVID-19
Dari 25 Januari 2020 (ME 4/2020) hingga 12 November 2022 (ME 45/2022), situasi terkini COVID-19 adalah seperti berikut:
- Kumulatif kes baharu: 4,946,583;
- Kumulatif kes sembuh: 4,879,195 kes;
- Kumulatif kes kematian: 36,546 kes; dan
- Kumulatif kluster: 7,134 kluster (kluster aktif: 49 kluster).
Perbandingan antara ME 44/2022 dan ME 45/2022:
- Bilangan kes sembuh pada ME 45/2022 meningkat sebanyak38.5 peratus (20,718 kes kepada 28,704 kes) (Rajah 7);
- Bilangan kes baharu pada ME 45/2022 menurun sebanyak 13.4 peratus (26,616 kes kepada 23,045 kes) (Rajah 8);
- Bilangan kes tempatan menurun sebanyak 13.4 peratus (26,577 kes kepada 23,027 kes); dan
- Bilangan kes import menurun sebanyak 53.8 peratus (39 kes kepada 18 kes).
- Bilangan kes kematian pada ME 45/2022 meningkat sebanyak 82.8 peratus (29 kes kepada 53 kes).
- Purata kes aktif setiap hari bagi ME 45/2022 meningkat sebanyak 1.7 peratus (33,449 kes kepada 34,033 kes) berbanding ME 44/2022 (Rajah 9).
NILAI RT
Nilai RT pada ME 45/2022 adalah 1.05 (Rajah 10).
SURVELAN INFLUENZA-LIKE ILLNESS (ILI) DAN SEVERE ACUTE RESPIRATORY INFECTION (SARI) BAGI COVID-19
KKM ingin memaklumkan bahawa sehingga ME 45/2022, hasil survelan COVID-19 di lokasi sentinel seluruh negara mendapati:
- Sebanyak 194 sampel ILI dikesan positif COVID-19 dengan kadar positif 25.5 peratus pada ME 45/2022 (Rajah 11); dan
- Sebanyak 1.7 peratus sampel SARI dikesan positif COVID-19 pada ME 45/2022 (Rajah 12).
NASIHAT AM KEPADA PENGUNDI KETIKA PILIHANRAYA UMUM (PRU) KE-15
Menjelang 19 November 2022, iaitu tarikh yang ditetapkan bagi Hari Pengundian bagi Pilihanraya Umum ke-15, KKM mengambil inisiatif untuk menasihatkan orang ramai supaya mengikuti beberapa saranan kesihatan. Ini bagi memastikan proses pengundian dapat berjalan dengan selamat terutamanya dari segi mengurangkan risiko penularan jangkitan COVID-19. Antaranya:
- Semua individu positif COVID-19 wajib memakai pelitup muka, manakala pemakaian pelitup muka bagi pengundi lain adalah amat digalakkan;
- Pengundi positif COVID-19 tidak dibenarkan menaiki kenderaan awam termasuk e-hailing, singgah di mana-mana sebelum dan selepas mengundi, dan perlu pulang segera selepas selesai mengundi;
- Menggunakan pensanitasi tangan yang disediakan di tempat mengundi. Membawa pensanitasi tangan sendiri adalah disyorkan;
- Pengundi positif COVID-19 perlu mematuhi penjarakan fizikal yang selamat, manakala penjarakan fizikal bagi pengundi lain amat digalakkan; dan
- Individu yang belum menerima dos penggalak vaksin COVID-19 dinasihatkan agar segera mendaftar dan mendapatkan vaksin bagi melindungi diri dan orang tersayang.
Marilah kita bersama-sama mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 kepada pengundi dan petugas di pusat mengundi sepanjang PRU ke-15.
NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19
Sejak 1 April 2022, Malaysia telah berada dalam Fasa Peralihan ke Endemik susulan keberkesanan tindakan pencegahan dan kawalan kesihatan awam. Peralihan fasa ini juga disebabkan oleh kejayaan program vaksinasi COVID-19 di seluruh negara.
Walaupun demikian, KKM ingin menasihati orang ramai agar terus mematuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan iaitu;
- Elakkan 3S;
- Amalkan 3W;
- Amalkan TRIIS;
- Jalani ujian COVID-19 sekiranya bergejala;
- Individu positif COVID-19 Kategori 1 dan 2A dan bukan berisiko tinggi (berumur bawah 60 tahun dan tidak mempunyai komorbid), tidak perlu hadir ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC), sebaliknya hanya perlumelakukan pemantauan kendiri melalui HAT dalam aplikasi MySejahtera. SMS atau panggilan daripada perkhidmatan Automated Voice Recording (robocall) akan diterima sekiranya belum atau tidak menjalankan pemantauan kendiri setiap hari;
- Individu yang perlu hadir ke CAC terdekat (senarai penuh lokasi, nombor telefon dan waktu operasi boleh didapatkan di https://covid-19.moh.gov.my/hotline) untuk penilaian lanjut akan dimaklumkan melalui MySejahtera atau dihubungi CAC melalui SMS atau panggilan telefon; dan
- Individu yang positif COVID-19 Kategori 2A (yang berisiko tinggi) dan ke atas atau mempunyai gejala yang semakin teruk, dikehendaki hadir ke CAC atau hospital terdekat bagi pemeriksaan lanjut tanpa menunggu panggilan telefon daripada CAC,
KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO. KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.
TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
14 November 2022 @ 11.30 pagi
Categories: Communicable disease, Crisis & Disaster, Press
You must be logged in to post a comment.