Communicable disease

Kenyataan Media KPK 21 November 2022 – Situasi Semasa Jangkitan Penyakit Coronavirus (COVID-19) di Malaysia Minggu Epidemiologi 46 (13 – 19 November 2022)

SITUASI SEMASA JANGKITAN PENYAKIT CORONAVIRUS 2019 (COVID-19) DI MALAYSIA

MINGGU EPIDEMIOLOGI 46 TAHUN 2022

(13 NOVEMBER 2022 – 19 NOVEMBER 2022)

STATUS TERKINI PENGGUNAAN FASILITI KESIHATAN

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin mengumumkan bahawa secara keseluruhan, jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke fasiliti kesihatan (hospital) bagi setiap 100,000 penduduk meningkat sebanyak 8.7 peratus pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-46 tahun 2022 (ME 46/2022) berbanding ME 45/2022 (Rajah 1);

Jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital awam bagi  setiap 100,000 populasi pada ME 46/2022 berbanding ME 45/2022 adalah seperti berikut (Rajah 2);

  • Pesakit kategori 1 dan 2 meningkat sebanyak 11.3 peratus; manakala
  • Pesakit kategori 3, 4, dan 5, meningkat sebanyak 13.9 peratus.

Peratus pengisian katil fasiliti COVID-19 pada ME 46/2022 berbanding ME 45/2022 (Rajah 3) adalah seperti berikut:

  • Katil bukan kritikal meningkat sebanyak 2 peratus;
  • Katil Unit Rawatan Rapi (ICU) meningkat sebanyak 3 peratus; dan
  • Katil Pusat Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), tiada yang aktif, semua ditutup.

Peratusan pesakit COVID-19 memerlukan alat bantuan pernafasan (ABP) menurun sebanyak 0.1 peratus (Rajah 4) pada ME 46/2022 berbanding ME 45/2022.

PEMANTAUAN COVID-19 DI PUSAT PENILAIAN COVID-19 (CAC)

Untuk makluman, kes-kes positif COVID-19 yang dipantau oleh Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di seluruh negara telah menunjukkan sedikit penurunan berbanding minggu sebelum ini.  

Berikut adalah perbandingan data CAC fizikal yang dilaporkan pada ME 45/2022 dan ME 46/2022 (Rajah 5):

  • Bilangan kedatangan pesakit ke CAC menurun sebanyak 13 peratus;
  • Bilangan kes COVID-19 baharu yang menjalani pemantauan di rumah turut menurun sebanyak 19 peratus; dan

Bilangan kes COVID-19 yang dirujuk CAC ke hospital juga menurun sebanyak 6 peratus jika dibandingkan dengan minggu sebelumnya.

Untuk CAC Maya, jumlah kes yang melengkapkan penilaian kendiri (HAT) meningkat sebanyak 8 peratus pada akhir ME 46/2022 berbanding ME 45/2022; iaitu dari 28,212 kepada 30,399 kes. Dari jumlah tersebut, peratusan individu dengan Kategori 2b dan ke atas adalah 6 peratus (1,888 kes) (Rajah 6).

STATUS TERKINI KES COVID-19

Dari 25 Januari 2020 (ME 4/2020) hingga 19 November 2022 (ME 46/2022), situasi terkini COVID-19 adalah seperti berikut:

  • Kumulatif kes baharu: 4,965,666;
  • Kumulatif kes sembuh: 4,902,284 kes;
  • Kumulatif kes kematian: 36,593 kes; dan
  • Kumulatif kluster: 7,147 kluster (kluster aktif: 62 kluster).

Perbandingan antara ME 45/2022 dan ME 46/2022:

  • Bilangan kes sembuh pada ME 46/2022 menurun sebanyak19.6 peratus (28,704 kes kepada 23,089 kes) (Rajah 7);
  • Bilangan kes baharu pada ME 46/2022 menurun sebanyak 17.2 peratus (23,045 kes kepada 19,083 kes) (Rajah 8);
    • Bilangan kes tempatan menurun sebanyak 17.2 peratus (23,027 kes kepada 19,068 kes); dan
    • Bilangan kes import menurun sebanyak 16.7 peratus (18 kes kepada 15 kes).
  • Bilangan kes kematian pada ME 46/2022 menurun sebanyak11.3 peratus (53 kes kepada 47 kes).
  • Purata kes aktif setiap hari bagi ME 46/2022 menurun sebanyak 18.3 peratus (34,033 kes kepada 27,806 kes) berbanding ME 45/2022 (Rajah 9).

NILAI RT

Nilai RT pada ME 46/2022 adalah 0.91 (Rajah 10).

SURVELAN INFLUENZA-LIKE ILLNESS (ILI) DAN SEVERE ACUTE RESPIRATORY INFECTION (SARI) BAGI COVID-19

KKM ingin memaklumkan bahawa sehingga ME 46/2022, hasil survelan COVID-19 di lokasi sentinel seluruh negara mendapati:

  • Sebanyak 210 sampel ILI dikesan positif COVID-19 dengan kadar positif 26.8 peratus pada ME 46/2022 (Rajah 11); dan
  • Tiada sampel SARI dikesan positif COVID-19 pada ME 46/2022 (Rajah 12).

NASIHAT KESIHATAN BERKAITAN COVID-19

Sejak 1 April 2022, Malaysia telah berada dalam Fasa Peralihan ke Endemik susulan keberkesanan tindakan pencegahan dan kawalan kesihatan awam. Peralihan fasa ini juga disebabkan oleh kejayaan program vaksinasi COVID-19 di seluruh negara.

Walaupun demikian, KKM ingin menasihati orang ramai agar terus mematuhi saranan serta nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan iaitu;

  • Elakkan 3S;
  • Amalkan 3W;
  • Amalkan TRIIS;
  • Jalani ujian COVID-19 sekiranya bergejala;
  • Individu positif COVID-19 Kategori 1 dan 2A dan bukan berisiko tinggi (berumur bawah 60 tahun dan tidak mempunyai komorbid), tidak perlu hadir ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC), sebaliknya hanya perlumelakukan pemantauan kendiri melalui HAT dalam aplikasi MySejahtera. SMS atau panggilan daripada perkhidmatan Automated Voice Recording (robocall) akan diterima sekiranya belum atau tidak menjalankan pemantauan kendiri setiap hari;
  • Individu yang perlu hadir ke CAC terdekat (senarai penuh lokasi, nombor telefon dan waktu operasi boleh didapatkan di https://covid-19.moh.gov.my/hotline) untuk penilaian lanjut akan dimaklumkan melalui MySejahtera atau dihubungi CAC melalui SMS atau panggilan telefon;
  • Individu yang positif COVID-19 Kategori 2A (yang berisiko tinggi) dan ke atas atau mempunyai gejala yang semakin teruk, dikehendaki hadir ke CAC atau hospital terdekat bagi pemeriksaan lanjut tanpa menunggu panggilan telefon daripada CAC; dan
  • Individu yang belum menerima dos penggalak vaksin COVID-19 dinasihatkan agar segera mendaftar dan mendapatkan vaksin bagi melindungi diri dan orang tersayang.

KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan di dalam negara, dan juga luar negara melalui maklumat yang diperolehi daripada pihak WHO. KKM akan memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

Sekian, terima kasih.

TAN SRI DATO' SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

21 November 2022 @ 11.30 pagi