Crisis & Disaster

Kenyataan Media KPK 1 Disember 2022 – Situasi Bencana Banjir Dan Kesiapsiagaan Menghadapi Banjir Monsun Timur Laut 2022/2023

SITUASI BENCANA BANJIR DAN KESIAPSIAGAAN MENGHADAPI BANJIR MONSUN TIMUR LAUT 2022/2023

Jabatan Metereologi Malaysia telah mengeluarkan kenyataan bahawa Monsun Timur Laut (MTL) sudah bermula sejak 7 November 2022 dan akan berakhir pada Mac 2023. Dalam tempoh ini, kejadian hujan lebat berterusan boleh menyebabkan kejadian banjir. Pada hari ini, iaitu sehingga 9 pagi terdapat 419 mangsa banjir ditempatkan di empat (4) pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu masing-masing dua (2) PPS di Selangor dan Perak disebabkan hujan lebat dan ribut petir. Pasukan perubatan dan kesihatan dari Pejabat Kesihatan Daerah yang terlibat telah digerakkan bagi memberi perkhidmatan kepada mereka.

Menghadapi bencana banjir semasa fasa peralihan endemik COVID-19 akan memberi cabaran kepada mangsa banjir dan semua agensi tindak balas yang bertanggungjawab untuk membantu dan mengurus mangsa-mangsa banjir.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah bersedia untuk memberi perkhidmatan terbaik bagi meneruskan kesinambungan perkhidmatan kesihatan kepada mangsa-mangsa banjir dan juga bagi mencegah penularan penyakit berjangkit yang boleh berlaku semasa banjir.

Beberapa siri mesyuarat kesiapsiagaan bagi menghadapi banjir telah diadakan antara Ibu Pejabat KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) telah diadakan. Surat Arahan Persediaan Menghadapi Banjir MTL telah diedarkan kepada semua Pengarah Kesihatan Negeri dan Institusi KKM sejak 21 September 2022.

Anggota-anggota KKM telah bersedia bagi menghadapi bencana banjir. Pasukan-pasukan yang terlibat termasuklah:

  • Pasukan perubatan dengan 6,397 anggota berperanan melawat dan memberi rawatan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS);
  • Pasukan kesihatan dengan 4,688 anggota melakukan pemantauan, pencegahan, dan kawalan penyakit serta pemeriksaan persekitaran di PPS;
  • Pasukan Mental Health and Psychosocial Support Services (MHPSS) dengan 5,964 anggota memberikan dan menyelaraskan perkhidmatan sokongan psikososial kepada mangsa dan petugas;
  • Pasukan Rapid Assessment Team (RAT) dan Rapid Response Team (RRT) dengan 1,770 anggota bertanggungjawab memberi respon bagi mencegah dan mengawal kejadian wabak semasa banjir.

Semua JKN juga telah mengemaskini maklumat peralatan dan kenderaan serta keperluan logistik lain dan telah bersiap sedia untuk digunakan semasa banjir bagi meneruskan kesinambungan perkhidmatan kesihatan.

Stok bekalan ubatan mencukupi di fasiliti kesihatan untuk 3 bulan dan stok tambahan 3 bulan disimpan oleh pembekal yang sentiasa bersedia untuk digunakan apabila diperlukan oleh KKM. Stok bekalan kit ujian RTK-Antigen COVID-19, ubatan COVID-19, dan vaksin juga mencukupi.

Semua JKN juga telah mengenalpasti fasiliti kesihatan altenatif kepada fasiliti kesihatan yang berisiko banjir bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat sekiranya fasiliti kesihatan tersebut terjejas operasi akibat banjir.

Bagi menghadapi cabaran banjir dan penularan COVID-19, KKM telah mengeluarkan garis panduan Garis Panduan Pencegahan dan Pengurusan COVID-19 di Pusat Pemindahan Sementara Mangsa Bencana sebagai panduan kepada semua agensi dan anggota yang terlibat dalam memberi tindak balas semasa bencana banjir. Garis panduan ini memberi penekanan kepada aspek pencegahan COVID-19 di PPS yang perlu diamalkan dan diberi perhatian oleh semua penghuni dan agensi yang bertanggungjawab dalam pengurusan dan kebajikan mangsa di PPS. Amalan mencuci tangan yang betul serta etika batuk dan bersin yang betul perlu diamalkan sepanjang masa. Pemakaian pelitup muka amat digalakkan kepada semua mangsa yang berada di PPS dan diwajibkan kepada mereka yang positif COVID-19.

Mangsa banjir bergejala dan disyaki COVID-19 di PPS perlu menjalani ujian COVID-19 dan diasingkan di tempat khas atau dirujuk ke hospital bagi yang memerlukan isolasi, pemantauan dan rawatan lanjut. Langkah ini adalah penting bagi mengelakkan berlakunya kejadian kluster COVID-19 dalam kalangan mangsa banjir di PPS.

Selain dari peranan agensi tindak balas, peranan mangsa-mangsa banjir atau orang ramai adalah sangat penting bagi sama-sama menghadapi bencana banjir dan COVID-19 ini. Sehubungan dengan itu, KKM ingin menasihatkan orang ramai yang tinggal di kawasan-kawasan yang berisiko banjir hendaklah sentiasa bersedia dan berwaspada serta mematuhi arahan-arahan pihak yang berwajib, khususnya keperluan untuk berpindah awal. Ini dapat mengelakkan sebarang kesulitan serta mengelak daripada berlakunya kemalangan dan kehilangan jiwa. 

Orang ramai juga perlu peka dengan arahan semasa dari pihak berkuasa dan sentiasa mengambil langkah-langkah penjagaan kesihatan kendiri seperti berikut bagi mencegah penyakit-penyakit lain yang sering terjadi semasa musim banjir:

  1. Elak bermain dengan air banjir terutamanya jika mempunyai luka atau masalah kulit bagi mengelakkan risiko jangkitan kuman penyakit leptospirosis (jangkitan kuman kencing tikus) dan meloidosis yang ditularkan melalui air banjir yang tercemar. Gunakan alat pelindung diri seperti boot getah dan sarung tangan getah semasa aktiviti pembersihan terutamanya jika melibatkan banjir lumpur.
  2. Minum air yang telah dimasak dan makan makanan yang bersih bagi mengelakkan kejadian penyakit bawaan air dan makanan seperti keracunan makanan, kolera, tifoid, hepatitis A dan acute gastroenteritis (AGE).
  3. Amalkan penjagaan kebersihan diri iaitu sentiasa membasuh tangan dengan sabun dan air yang bersih sebelum menyediakan makanan, sebelum makan, selepas ke tandas, selepas membuat aktiviti pembersihan, selepas menyentuh barang-barang yang dicemari oleh air banjir atau kumbahan (sewage).
  4. Sekiranya bekalan elektrik terputus, pastikan bekalan makanan yang disimpan di dalam peti sejuk tidak rosak sebelum dimasak. Elakkan memakan makanan yang terdedah kepada air banjir, yang berada pada suhu bilik melebihi 4 jam atau ada perubahan rasa, bau atau tesktur.
  5. Awasi risiko renjatan elektrik sekiranya rumah dinaiki air. Elakkan penggunaan soket elektrik yang terdedah kepada air banjir sebelum ianya dipastikan selamat.
  6. Sentiasa mengamalkan penjagaan kebersihan persekitaran. Pembuangan sampah di merata tempat akan mendatangkan risiko penyakit, pembiakan vektor pembawa penyakit seperti tikus, nyamuk dan lain-lain. Semasa banjir, bekas-bekas menakung air akan menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes dan anopheles. Ini menyebabkan populasi nyamuk bertambah dan meningkatkan penyebaran penyakit bawaan nyamuk seperti demam denggi, chikungunya dan malaria.
  7. Semasa tinggal di pusat-pusat pemindahan, amatlah penting bagi semua penghuni untuk mengamalkan sikap bertoleransi, saling bantu-membantu dan hormat-menghormati bagi mengelakkan ketegangan atau tekanan dalam kalangan penghuni.
  8. Sila dapatkan rawatan segera dari pasukan perubatan di PPS atau fasiliti kesihatan yang berhampiran jika mengalami sebarang gejala penyakit seperti demam, sakit perut, muntah, cirit-birit, batuk dan sebagainya.

Maklumat lanjut mengenai langkah-langkah pencegahan dan garis panduan bagi pencegahan COVID-19 di PPS boleh dirujuk di laman sesawang https://covid-19.moh.gov.my/garis-panduan/garis-panduan kkm/ANNEX_41_GARIS_PANDUAN_PUSAT_PEMINDAHAN_SEMENTARA_MANGSA_BENCANA_BAGI_MENCEGAH_COVID-19_20092022.pdf

Sekian dan terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

1 Disember 2022 @ 2.30 petang

Categories: Crisis & Disaster, Floods, Press

Tagged as: